»

24 April 2014

Tragedi Tersalah Kereta


Beberapa hari lepas JR ada buat entri mengenai tragedi tersalah isteri. Seperti yang dijanjikan, JR akan bercerita tentang 2 lagi tragedi - tragedi tersalah kereta dan tragedi tersalah ayah.

Hari ini JR nak mulakan tentang tragedi tersalah kereta:

1. Tragedi Tersalah Kereta 1

Cerita ini berlaku ketika JR masih bekerja di KL. Kalau tak silap ia berlaku pada tahun 2000. 

Hari itu boss meminta JR mewakilinya hadir dalam satu mesyuarat penting di Kementerian Kerja Raya yang terletak di Jalan Sultan Salahuddin, KL. Selalunya JR pergi apa-apa mesyuarat di KL dengan menaiki kereta sendiri, tapi hari itu kereta berada di bengkel, pergi kerja pun naik LRT. Jadi JR terpaksa meminta bantuan kereta pejabat untuk menghantar JR ke mesyuarat itu. Pemandu JR hari itu ialah Pak Wan yang menaiki kereta Volvo 850 berwarna biru muda.

Sebelum keluar dari kereta JR dah pesan kepada Pak Wan ambik JR semula di tempat sama dalam tempoh 2 jam lagi.

Lepas mesyuarat selesai, JR terburu-buru turun ke bawah untuk mendapatkan kereta pejabat. Perlu balik segera ke pejabat kerana ada hal penting di pejabat di sebelah petang. 

Keluar saja lif JKR, tak jauh dari lobi dah nampak kereta Volvo 850 biru muda sedang menunggu. 

JR membuka pintu Volvo 850 dan terus duduk di sebelah pemandu. Dah jadi kebiasaan JR untuk duduk di seat sebelah pemandu, berbeza dengan kebanyakan kawan-kawan yang suka duduk di seat belakang..

1 minit berlalu lepas masuk kereta, tapi kereta masih tak bergerak, sedangkan biasanya lepas saja letak punggung di kusyen kereta, pemandu akan terus berlalu pergi.

"Pak Wan...mengapa tak jalan lagi. Jalan sekarang la Pak Wan..." kata JR sambil membelek-belek fail mesyuarat sebentar tadi. Maklumlah lepas sampai ke pejabat perlu segera buat catatan apa yang dibincang dan keputusan mesyuarat tadi untuk dilapor kepada big boss. 

"Boss saya tak sampai lagi encik, lepas boss saya sampai baru kereta boleh jalan..." kata Pak Wan.

Anehnya tiba-tiba suara Pak Wan berubah, agak garau dari suara Pak Wan yang dah bertahun-tahun JR kenali.

Ketika itu baru JR memandang wajah Pak Wan. Alamak...pemandu itu bukan Pak Wan, aku tersilap kereta ni!!!

"Maaf..maaf, saya tersilap kereta" kata JR dengan wajah sedikit malu, "Encik pun tak beritau saya, saya tersilap naik kereta...".

"Tak apalah, sesekali tukar kereta bagus juga" kata pemandu kereta itu cuba buat lawak, "Lagi pun saya dah biasa macam ni, encik bukan orang pertama yang tersilap kereta...".

Rupanya pemandu itu sedang menunggu bossnya, seorang pegawai agensi lain.. Bila ditinjau-tinjau, baru nampak  kereta pejabat JR berada di belakang kereta yang JR naiki tadi. Patutlah keliru, ada dua kereta sama jenis sama warna diletak berdekatan!

Bila masuk kereta Pak Wan ketawa berdekah-dekah. 

"Kalau pemandunya pompuan bagus juga kann? Dapatlah Encik J  berkenalan..." kata Pak Wan cuba buat lawak yang sangat tak lawak....

2. Tragedi Tersalah Kereta 2

Kejadian ini berlaku ketika JR tinggal di Taman Ampang Indah, KL. Tarikh kejadian berlaku dah tak ingat tapi kalau tak silap lewat 1990an atau awal 2000. 

Suatu pagi minggu, JR pergi ke restoran mamak di Bukit Indah untuk membeli sarapan pagi. JR letakkan kereta Kancil putih kepunyaan isteri di depan restoran, kemudian terus masuk ke restoran untuk order roti canai.

Lepas roti canai siap, JR terus masuk kereta Kancil isteri...

Heran sungguh, seingat JR tadi pintu kereta memang dikunci, tapi bila pegang pintu kereta, terus terbuka. Terlupa kunci rupanya! Tak apalah, kadang-kadang nyanyuk sekali sekala dalam hidup biasalah...

Tapi bila masuk kereta rasa pelik semacam pula. Pewanginya punyalah harum, sedangkan kereta isteri JR seingat JR tak seharum itu. Harumnya bukan seperti pewangi kereta, tapi seperti pewangi badan. 

Kemudian bila JR nak start kereta, susah pula kunci nak masuk. Eh, kunci ni apa hal, bengok ke, apa ke, nak masuk pun payah.

Tiba-tiba seorang amoi seksi dengan skirt pendek merah paras paha dan t-shirt putih menampakkan sebahagian dada datang mendekati JR dengan wajah sangat tak friendly.

"Apa you buat ni, nak curi kereta I ke...? Nanti I report polis baru tau..." katanya dengan suara agak kuat. 

Suaranya yang kuat menarik perhatian beberapa orang pengunjung restoran. Ramai mata mula memandang JR, malah ada yang mula bangun dari kerusi bergerak menghampiri 'kereta isteri JR'.

JR keluar dari kereta Kancil putih itu dan ketika itu baru terperasan kereta isteri JR yang diparking di belakang sedikit (jarak 3 kereta) dari kereta yang JR naiki tadi. Rupanya tersalah kereta!!

Bila JR jelaskan pada amoi itu sambil menunjuk ke arah kereta isteri JR, barulah wajah singanya bertukar menjadi wajah sekuntum bunga yang sangat manis. Bertambah manis wajahnya lepas dia ketawa terbahak-bahak sehingga tergoncang-goncang dadanya yang seksinya itu...

Beberapa pengunjung restoran yang dah bersedia untuk mempertahankan amoi itu jika keretanya dicuri duduk semula di kerusi masing-masing. Nasib baik ada penjelasannya, jika tidak pecah kepala aku dikerjakan mereka!!

7 comments:

  1. Amboi...tersilap keta dgn amoi tak cukup kain pulak tu! Wife tau tak? Nanti dia kata JR saje je buat2 silap. :D

    ReplyDelete
  2. cerita kedua lawaklah ! hahaa amoi amoi .

    ReplyDelete
  3. lawak betullah pengalam JR nie..tersengih2 membacanya..heheh..sib baik tak kena tendang ngan amoi tuh ..kalautidak...:)

    ReplyDelete
  4. Best nya baca n3 en. Jr sengeh sokmo.

    ReplyDelete
  5. IM dah banyak kali tersalah kereta. Ada satu kes, sampai perempuan (isteri pemandu sebenar) menjerit...

    ReplyDelete
  6. malunya...mesti time tu rasa mcm nak sorok muka kedalam baju hehe..
    saya pernah,hampir2 terkena...masa suami mula2 tukar kereta,...
    lps peristiwa tu,saya pastikan akan hafal no plat kereta,bkn tgk pada warna atau jenisnya...

    ReplyDelete
  7. Pandai pulak Pak Wan buat lawak. Hahahaha.

    Amboi Pak Lang JR, part dada seksi tu tak tinggal eh?

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....