CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

SELAMAT DATANG

terima kasih kerana sudi hinggap seketika ke teratak buruk JR..

23 May 2013

From Langkawi To Oklahoma


Korang ada tengok video mengenai puting beliung di Oklahoma Isnin lepas? 

Dahsyat sungguh bila angin dengan kelajuan 320 km sejam melanda bumi. Bayangkan kelajuan 320 km sejam!! Pengalaman JR, ribut 40 km sejam pun sudah menyebabkan separuh tubuh menggigil (takut bumbung rumah terbang  sebab bumbung rumah jiran pernah tercabut terbang diangkat ribut). Ini  pula angin 320 km sejam. Tak hairanlah jika 90 orang lebih meninggal di Oklahoma.

Tapi tau tak korang dua hari sebelum puting beliung besar melanda Oklahoma, satu puting beliung dengan awan berekor panjang telah membadai Langkawi hingga menyebabkan pekan Kuah blackout seketika?



Puting beliung di jeti Kuah, Langkawi (sumber: google)

Video amatur telah berjaya mengambil gambar puting beliung di Langkawi itu, lihat di sini....

Seorang yang menyaksikan puting beling di jeti Kuah ini menulis begini di youtube:


tak merbahaya pada bot tetapi kereta aku yg parking kat jetty kuah cermin belakang pecah..kereta sebelh kiri n kanan aku cermin depan n cermin tempat driver pecah..van teksi kt belakang kereta aku juga cermin belakang pecah..dengar cite..perdana v6 kt depan aku di angkat n dihempaskan balik..


Jadi jangan ingat jika di Oklahoma boleh berlaku puting beliung, negara kita bebas dari puting beliung. 

Dulu kita ingat gempa bumi hanya berlaku di luar negara, tapi sekarang di negara ini telah mula terima tempiasnya. Begitu juga puting beliung...

Mungkin yang berlaku di Langkawi tempo hari tak sedahsyat yang berlaku di Oklahoma, tapi ingatlah jika Allah menyatakan jadi, maka jadilah.

Semoga Dia melindungi tanah bertuah ini dari malapetaka, amin......

22 May 2013

Harga Minyak Turun...Terima Kasih Kerajaan!!!



RON97 turun 20 sen mulai malam tadi

  • Bern
  • 8:34PM Mei 22 2013
Harga jualan runcit petrol RON97 di seluruh negara turun 20 sen seliter kepada RM2.70 seliter berbanding RM2.90 seliter berkuat kuasa malam tadi.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hassan Malek kepada Bernama ketika dihubungi di ibu negara hari ini.

-Bernama

Tapi ehem..ehem...minyak untuk kereta mewah (Ron97) dah turun, bila pulak minyak untuk rakyat marhaen yang memakai kereta cabuk  (Ron95) nak turun harga?

Apa pun terima kasih kerajaan kerana menurunkan harga minyak untuk pemilik kereta mewah....

Segagah-Gagah Amerika


Amerika memang gagah. Amerika memang kuat. Di dunia ini tiada kuasa dunia yang lebih kuat dari Amerika. Bukan saja dari segi persenjataan, tentera, ekonomi dan teknologi, dalam sukan pun Amerika yang terkuat, selalu menjadi juara Olimpik.

Kerana dirinya kuat Amerika suka buli negara lain. Amerika pernah melepaskan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki menyebabkan 220,000 orang mati (yang mati itu lebih kurang sama dengan keseluruhan penduduk Perlis). 

Tanpa belas kasihan Amerika juga pernah menyerang Vietnam, Iraq, Afghanistan dan Libya. Amerika menggunakan senjata canggih mereka untuk membunuh  ribuan orang di serata dunia.

Tapi tanpa belas kasihan juga Amerika sering diserang bencana alam: ribut, taufan, puting beliung dan gempa bumi. Yang terbaru seramai 90 orang terbunuh apabila puting beliung dahsyat melanda Oklahoma Isnin lalu yang menyebabkan kebanyakan tempat di bandar itu ranap seperti di serang bom nuklir.

Walaupun Amerika dengan senjata canggihnya berupaya membunuh beribu-ribu orang di Jepun, Vietnam, Iraq, Afghanistan dan Libya, tapi Amerika sendiri tidak dapat melindungi berjuta-juta rakyatnya dari korban malapetaka alam. Walaupun mereka mempunyai teknologi canggih, tapi teknologi itu tidak berupaya melawan teknologi Tuhan. Bila Allah mahu menimpakan balanya, manusia tidak dapat menahannya melalui teknologi yang tercapai oleh akal  fikiran mereka.

Amerika mungkin nampak gagah di hadapan orang Iraq, Afghanistan dan Libya, tapi segagah-gagah Amerika, Allah lagi gagah. Hingga akhirnya Amerika yang suka bunuh penduduk negara lain tak upaya menahan serangan cuaca yang ditimpakan Allah.

Apa yang berlaku itu perlu menjadi iktibar kepada kita juga..Jangan ingat bila kita ada kuasa, kita berhak menggunakan kuasa itu sewenang-wenang, membuli orang lain sesuka hati. Jangan ingat bila kita ada kuasa, kita memandang rendah kepada keupayaan orang-orang kerdil di bawah kita. Bila Allah hendak menunjukkan kuasaNya dia boleh melakukan sesuatu yang menyebabkan mereka yang ada kuasa hilang kuasanya. Kerana Allah sentiasa ada untuk mendengar doa hambaNya yang teraniaya. 

NOTA: Catatan di atas cuma catatan seorang JR yang petang ini tak dapat turun padang berjoging seperti biasa kerana cuaca yang tak mengizinkan.....

Wordless Wednesday: Tersilap Cetak Ke Ni??


Haaaaaa???????

Awatnya lagu tu ?? ;)


















Soalan pertama: mengapa jadi begini? Tersilap cetak atau sabotaj?
Soalan kedua: Jika tersilap cetak apa maksud sebenar kata-kata itu? Jom teka...

(Foto iklan yang diceduk dari FB PTC ini diambil beberapa hari sebelum PRU-13. Mungkin iklan ni dah diturunkan kot...)

21 May 2013

Awas Bila Beli Sim Kad Celcom...Saya Dah Kena Dua Kali!!


Ni yang nak marah ni. Dah kali kedua kena tipu. Pisang dah berbuah 2 kali, cissssss.......

Kali pertama lebih kurang 3 tahun dulu. Anak pertama JR kena tipu. Ada orang gunakan namanya untuk mendapatkan 4 simkad Celcom. Dia pun tak tau ada 4 simkad Celcom kerana dia cuma pakai satu talian maxis (prepaid). Bila Celcom telefon minta settle hal ini baru dia tau ada orang guna namanya untuk beli 4 simkad Celcom, kemudian lanyak cakap sebanyak-banyaknya. Campur-campur jumlah 4  talian yang memakai  namanya itu digunakan untuk bercakap dan SMS hingga mencecah lebih RM2,000!

Bila dia pergi ke pejabat Celcom, mereka  nasihatkan buat laporan polis, kemudian isi borang. Agaknya dah settle kot isu ni sebab lepas serah laporan polis dan isi borang yang diberi oleh Celcom, perkara itu pun senyap sampai sekarang...

Tapi hari Khamis lepas Celcom menelefon anak nombor tiga pula yang kini sedang bercuti panjang semester 2. Kes sama seperti anak nombor satu berulang lagi - ada orang guna namanya untuk beli simkad Celcom kemudian pakai talian itu (postpaid) untuk bercakap dan SMS sebanyak mungkin.

Petang semalam JR bawa anak nombor 3 ke Celcom. Pegawai Celcom beritau ada seseorang menggunakan namanya untuk membeli simkad Celcom di Kuala Lumpur pada Ogos tahun lepas. Ketiga-tiga bil Celcom yang menggunakan nama anak itu berjumlah lebih kurang RM500.

Anak JR tidak pernah ke KL pada tahun lepas kerana dia sedang belajar di UTeM Melaka. Kali terakhir dia ke KL ialah lebih 2 tahun lepas ketika kami menghantar abangnya belajar ke UTHM Johor. 

Bagaimana mereka boleh menggunakan namanya?

Kata anak nombor 3 JR dia pernah dapat simkad percuma Celcom ketika bekerja sementara dengan ejen Celcom masa tunggu SPM bulan Januari hingga Mac tahun lepas. Biasalah sebelum dapat simkad kena isi borang, beri IC dan lain-lain. Mungkin butiran peribadi anak JR digunakan oleh mereka yang tak bertanggung jawab untuk memohon simkad baru, bukan 1 tapi 3 simkad serentak! Dalam kes anak pertama JR dulu pun lebih kurang sama juga, dia mendapat simkad percuma Celcom dari seorang agen Celcom, tapi butiran peribadinya kemudian digunakan untuk mendapatkan 4 simkad Celcom atas namanya.

Seperti kes pertama, pegawai Celcom nasihatkan anak JR pergi ke balai polis untuk buat laporan polis. Kemudian balik isi borang aduan Celcom dan lepas itu serah laporan kepada Celcom. Celcom kemudian akan menyiasat kes ini.

Leceh betul bila perlu buang masa untuk settle benda-benda yang bukan salah kita...

Tapi yang herannya mengapa cuma Celcom saja yang jadi kes penipuan seperti ini? Maxis dan DiGi, ada kes-kes penipuan seperti ini juga ke?

Apa pun, korang perlu berhati-hati ketika mengisi borang maklumat peribadi kerana di zaman ini ramai orang tak takut neraka berada di sekeliling kita.....

20 May 2013

Rugi....Rugi....Rugi...Ruuuugi!!!!


Berapakah kekerapan korang membaca Al-Quran dalam sehari, seminggu dan sebulan? Rasanya tak perlu guna kalkulator untuk membilang, guna jari pun boleh....

Rasa hati terpukul bila mendengar kata-katanya.....



Memang manusia sentiasa dalam kerugian kan??

"Demi masa
sesungguhnya manusia dalam kerugian
kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh
dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran
serta berpesan-pesan dengan sabar"
(Al-Asr: 1-3)

19 May 2013

Di Persimpangan Dilema - Matrik Atau Diploma?


JR rasa kebanyakan lepasan SPM sedang menghadapi masalah yang sama seperti anak keempat JR ni. Nak pilih yang mana satu? Mana satu idaman kalbu?

Kira-kira dua minggu lepas Fahmie (F) anak keempat JR menerima tawaran untuk memasuki Kolej Matrikulasi Pahang yang terletak di Gambang. Sesi pengajian akan bermula pada 27 hb Mei 2013. Tak lama lagi la tu...

Dua hari lepas pula F menerima tawaran dari UPU (Unit Pusat Universiti) untuk memasuki UiTM. Hari ini bila semak baru dapat tahu dia dapat di UiTM kampus Arau, Perlis.

Sekarang dia sedang pening memikirkan nak ke Kolej Matrikulasi Gambang atau UiTM Arau.

Kalau ambil matrik cuma belajar setahun, kemudian boleh sambung ijazah. Kalau ambil diploma kena belajar 3 tahun sebelum menyambung ijazah...rugi dua tahun.

Anak kedua JR juga dulu menghadapi dilema yang sama. Dia dapat Kolej Matrikulasi Teknikal Kedah dan UiTM Arau, kedua-duanya bidang kejuruteraan. Pada mulanya dia nak pergi ambil diploma sebab berdasarkan pembacaannya dalam internet ramai yang membuat cerita yang menyeramkan tentang matrik. Kena belajar gila-gila dalam matrik, jadaul belajar terlalu padat hingga nak mandi tak sempat, ada budak jadi tak siuman kerana tak tahan dengan tekanan dan lain-lain. Semuanya menakutkan!!!

Tapi akhirnya anak nombor dua JR itu memilih matrik, dia kata dia mahu melawan cabaran. Memang belajar setahun di sana JR dapat merasai kesakitan yang dihadapinya. Bila sesekali balik, termasuk cuti semester yang sangat singkat itu, sentiasa ada assignment yang perlu disiapkannya. Bila cuti Raya pun hatinya sentiasa teringat assignment yang belum siap. Katanya pelajar di sana juga semuanya ulat buku, sebab kalau tak jadi ulat buku, kita akan jadi ulat bangkai, maksudnya gagal

Tapi nasib baik anak nombor dua itu dapat menamatkan pengajian dengan jaya dengan pointer yang agak lumayan. Sekarang dia sedang berada di semester 4 di UTHM, Johor. Bulan September nanti dia akan memasuki Tahun Tiga. Malang sekali bagi rakan-rakan yang memilih diploma, ketika dia sudah berada di Tahun Tiga, mereka baru nak mendaftarkan diri di semester 1 Tahun 1. 

Sekarang F anak keempat JR sedang berasap kepala nak pilih matrik atau diploma. Dia di persimpangan dilema...

Bila F tanya pandangan JR, dia nak pilih matrik atau diploma, JR beri pro & cons matrik dan diploma. JR tak mau memaksa, sebab JR takut tersilap. Jika daya ketahanannya tinggi dia boleh ikut jejak abang nombor dua yang ambik matrik (sekarang buat ijazah di UTHM Johor). Kalau tidak yakin, dia boleh ikut langkah abang nombor tiga yang ambil diploma (sekarang di UTeM Melaka)

Antara Pro & Cons Matrik dan Diploma:

MATRIK
Pro:
i) Pengajian cuma setahun, lepas tu boleh sambung ijazah
ii)Kerajaan tanggung pengajian sepenuhnya, tak perlu pinjaman PTPTN
iii)Cepat dapat kerja, lepas dapat ijazah terus boleh cari kerja...
Cons:
i) Jadual belajar sangat ketat, sebab nak habiskan semua subjek dalam setahun. Kepala selalu berasap, rasa nak pecah...
ii) Peraturan di asrama juga khabarnya agak ketat bagi melahirkan pelajar terbaik yang dapat sambung ke peringkat ijazah.
iii) Jika dapat pointer yang rendah, alamat tak dapat sambung ke peringkat ijazah, kena patah balik ambil diploma pula, lepas tu baru boleh sambung ijazah, rugi berganda...
iv) Kelulusan matrikulasi tak laku untuk pasaran kerja. Ini kerana kelulusan Kolej Matrikulasi tidak menerima sijil, yang ada cuma slip peperiksaan matrikulasi.

DIPLOMA
Pro:
i) Pengajian tiga tahun, ada masa untuk honeymoon di awal tahun.
ii)Kelulusan diploma boleh digunakan untuk memohon kerja, tidak seperti slip peperiksaan matrikulasi yang tak boleh digunakan untuk minta kerja.
Cons:
i) Perlu dapatkan pinjaman PTPTN untuk biayai pelajaran (tidak seperti matrik yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan)
ii) Perlu belajar selama tiga tahun (36 bulan) sebelum menyambung ijazah. 
iii) Lambat dapat kerja kerana lepas belajar 3 tahun untuk diploma kena sambung untuk ijazah pula...

Apa pun, anak JR kena buat keputusan sehari dua ni ke mana dia nak pergi. Kalau masih buntu di persimpangan dilema, JR nasihatkan dia buat solat istikharah....

18 May 2013

Hadiah Barang Naik?


Pagi tadi JR dan isteri pergi ke Pasar Besar Alor Setar. Ia rutin biasa setiap weekend. Memang banyak juga borong barang, maklumlah untuk keperluan seminggu.

Dalam kereta, isteri merungut banyak barang naik harga, dari barang basah hingga barang tak basah. Sejujurnya JR tak perasan tentang kenaikan harga barang. Mungkin kerana JR tak hafal berapa harga bawang sekilo, berapa harga cili merah 100 gm, berapa harga susu setin minggu ini berbanding minggu lepas. JR cuma sediakan duit, isteri yang tentukan apa nak beli. 

Perempuan...biasalah mereka cukup familiar tentang angka-angka pada harga ni. Lelaki (bukan semua) tau bayar saja, kena tipu pun tak sedar....

Tapi bukan saja isteri yang merungut tentang harga barang, di market tadi pun ada juga dengar ada yang kata banyak barang naik harga. Cuma JR nak tergelak bila ada yang buat kenyataan sinis, "Terima kasih kerajaan kerana hadiahkan kenaikan harga kepada pengundi.." 

Minggu lepas memang dengar ada jiran kata harga susu tepung bayi dah naik harga. JR tak tau pula hal itu, maklumlah anak kecil pun dah berusia 14 tahun tak hisap dah susu tepung jenis tu lagi!

Petang ini belek-belek FB ada ternampak rungutan kenaikan harga barang lagi:

Busseroa Abd Jalil

Suami sy terlibat dlm bisnes jual brng ke oversea. Sjk smlm semua brng dh x blh nk pos. Kos pos meningkat hmpir 8 kali ganda. Klu dulu kos pos rm10 skrng dh jd rm70++. Ingatkn kos antarabngsa yg naik. Bila chck blk kos antarabngsa sama. Kos pos malaysia yg meningkat. Siap ada surat kbnran dr kementerian utk kenaikn hrga trsebut. Satu soaln je saya nk tanya... Apasal kenaikn harga semua benda di malaysia sjk seminggu ni mcm pesta lakk???


Masalahnya mengapa lepas pilihanraya ni banyak rungutan harga barang naik? Benarkah ia sebagai hadiah kerajaan untuk kita yang mengundinya??

17 May 2013

Tolong Jangan Kemalangan Di Sini..


Tengok papan tanda di bawah ni, ada sesuatu yang kelakar...


hati2
hospital jauh
(Foto: Ihsan FB PSC)

Ya lah...hospital jauh, kalau jadi kemalangan di sini, tersangatlah payah...

Tapi bagaimana nak "melarang" kemalangan?

NOTA: Di Indonesia, kemalangan disebut kecelakaan, hospital disebut rumah sakit.

16 May 2013

Demi Mu Sahabat....


Cerita ini JR baca masa di sekolah rendah dahulu. Jika ada blogger yang arif, sila beritau nama perang ini, sebab JR dah lupa...

Ceritanya begini:

Dalam satu peperangan di zaman keagungan Islam dulu, ramai tentera Islam yang terbunuh dan cedera ketika berperang dengan tentera bukan-Islam.

Tentera yang tercedera bergelimpangan di tanah. Mereka banyak hilang darah dan rasa sangat dahaga. 

"Air..air..air.." bunyi suara seorang tentera mengerang. Seorang petugas yang berada di situ berlari ke arah suara itu dan menghulurkannya segelas air.

Belum pun tentera itu meneguk air, terdengar suara di sebelahnya, "Air..air..air.."

"Berikan air ini kepada sahabat saya, dia lebih memerlukannya.." pinta tentera pertama.

Petugas itu berlari ke arah tentera kedua. Tapi belum pun tentera kedua meneguknya terdengar suara di sebelahnya, "Air..air..air.."

"Berikan air ini kepada sahabat saya, dia lebih memerlukannya.." pinta tentera kedua.

Petugas itu berlari pula ke arah tentera ketiga. Tapi belum pun tentera ketiga meneguknya terdengar suara di sebelahnya, "Air..air..air.."

"Berikan air ini kepada sahabat saya, dia lebih memerlukannya.." pinta tentera ketiga..

Petugas itu berlari pula ke arah tentera keempat. Tapi belum pun tentera keempat meneguknya terdengar satu suara yang agak keras di hujung sekali, "Air..air..air.."

"Berikan air ini kepada sahabat saya di hujung sana, dia tentu sangat memerlukannya.." pinta tentera keempat

Petugas itu berlari ke arah suara keras di hujung sana. 

Rupanya dia adalah tentera pertama yang diberikan air sebelum ini. Tetapi bila petugas itu sampai suara meminta air dari mulut tentera pertama itu tidak terdengar lagi. Dia telah meninggal kerana kehilangan banyak darah.

Petugas itu berlari pula ke arah tentera kedua yang mungkin memerlukan air. Tetapi dia juga sudah meninggal. Begitu juga tentera ketiga dan keempat, mereka juga sudah meninggal kerana kehilangan banyak darah.

Masing-masing lebih mendahulukan sahabat dari keperluan diri sendiri. Akhirnya semuanya meninggal.

Di zaman ini masih adakah manusia sebegitu yang sanggup mengorbankan diri demi sahabat, demi jiran, demi orang-orang yang dekat atau jauh dengan kita?

Apa yang kita nampak ramai yang berebut mengejar nama, pangkat, harta. Mereka sanggup memijak sahabat sendiri, sanggup menganiaya saudara sendiri, sanggup buat apa saja demi mengejar kemegahan duniawi.....