»

23 June 2011

Cerita Hantu Malam Jumaat: Kisah Benar Terjumpa Budak Misteri



 Di kawasan begini pun wujud benda-benda ghaib....

Cepat sungguh masa berlalu...tuptuptup (kata orang utara), seminggu dah hampir berlalu. Tiba-tiba Khamis datang lagi, cepatnya!! Dan malam ini malam Jumaat, kata orang malam Jumaat malam penuh berkat. Tapi ada pula yang mengaitkan malam Jumaat dengan cerita hantu!

Hari Khamis malam Jumaat lepas JR ada ceritakan mengenai kisah JR terjumpa pocong di pekan Air Itam, Kedah beberapa tahun lepas. Ini ada satu lagi cerita hantu, kali ini hantu yang JR jumpa di Pulau Pinang pula.

Peristiwa itu sebenarnya dah lama berlaku tapi kerana ia membabitkan satu peristiwa pelik, JR tak dapat melupakannya hingga kini. Ketika itu JR tinggal dan masih belajar di Tingkatan Lima di sebuah pekan kecil di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Suatu hari ibu JR meminta JR ke kedai yang terletak lebih kurang 1 kilometer dari kampung kami. Yang paling tak best arahan meminta ke kedai itu keluar dari mulut ibu ketika waktu maghrib telah hampir tiba. Tapi apa nak buat, JR sebagai anak yang taat kepada perintah ibu bapa mengikut saja perintah ibu. JR pergi ke kedai dengan menaiki basikal...

Untuk ke kedai, kami penduduk kampung terpaksa melalui satu kawasan sawah yang agak luas. Begitulah JR pada malam itu...terpaksa melalui kawasan sawah yang luas itu untuk ke kedai. Memandangkan ketika itu dah masuk waktu maghrib, tiada kenderaan di jalanan. Tiba-tiba ketika tiba betul-betul di tengah sawah, JR terlihat seorang kanak-kanak yang kelibatnya seperti di kenali.

"Oh, Abang Cik, buat apa di tengah sawah ni?" tegur JR apabila melihat kanak-kanak itu ialah adik lelaki JR yang kami panggil "Abang Cik".

Tapi adik lelaki JR itu diam saja, tak menjawab apa-apa.
"Mai la naik basikal ni, kita ke pekan temankan abang" ajak JR. JR memberhentikan basikal dan adik JR bernama Abang Cik itu terus membonceng JR di belakang.

"Beratnya hang hari ni Abang Cik, hang makan apa?" tegur JR kerana merasakan berat badan adik JR itu agak berat malam itu. Tapi adik JR itu diam saja. Tak apalah, kata hati JR, dia penat kot sebab tu dia diam saja sepanjang perjalanan.

Bila saja tiba di depan kedai hari telah beransur gelap. Sebaik saja JR memberhentikan basikal, JR terkejut besar kerana adik JR yang membonceng di sepanjang perjalanan tadi tiada di atas basikal. Aiit budak ni, pikir JR, masa mana pula dia terjun dari basikal?

Selepas membeli barang yang dipesan ibu, JR terus pulang ke rumah. Bila memasuki rumah, JR bersua dengan adik JR yang bernama Abang Cik tu.

"Haai... hang ni Abang Cik, tadi ikut abang ke kedai, lepas tu bila sampai ke kedai hang hilang pula. Masa mana hang terjun dari basikal, buat orang terkejut saja?" tanya JR.

"Apaa..ikut abang naik basikal? Tak lah!! Mana ada ikut abang naiki basikal. Tadi orang pi main bola...ni baru sampai ke rumah ni, mana pula orang ikut abang?" kata Abang Cik penuh hairan.

"Jadi sapa yang ikut abang tadi?" tanya JR.

Abang Cik cuma ketawa, "Hantu kot yang ikut" katanya.

Sampai sekarang JR tertanya-tanya: siapa makhluk yang mengikut JR ke kedai tu?

3 comments:

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....