»

31 August 2014

Tuhan..Ampuni Aku Kerana Belum Merdeka!!


Jika kamu sudah merdeka, beritahu aku 
beritau resepi kejayaan kamu merdeka
kerana sejujurnya aku belum merdeka
belum merdeka dari penjajahan iblis!

Kadang-kadang aku marah atas sebab-sebab kecil
iblis masih menjajahku
kerana bukankah marah itu datang dari api yang dihasut iblis?

Kadang-kadang aku tertonton drama dan filem di TV 
kerapkali ternampak aurat wanita yang terdedah
mata menjilat paha, betis, lengan, leher mereka yang bukan muhrim
sedangkan aku ada pilihan untuk memejam mata, memaling muka atau menutup TV 
tapi aku tidak melakukannya
kerana iblis begitu kuat menerjah dan menjajah minda
melihat kemaksiatan di depan mata.

Kadang-kadang aku cemburu dengan kejayaan orang 
mereka kurang berusaha tapi lebih berjaya 
bukankah cemburu itu datang dari jiwa yang dijajah iblis?

Kerapkali aku malas bangun malam untuk tahajud
minda tidak sedarku leka melayan mata 
enak diulit mimpi indah
sedangkan aku amat tahu  solat tahajud adalah amalam Rasulallah
tapi iblis begitu kuat menjajah mataku menyeru jangan bangun
tidurlah sepuasmu hingga ke Subuh.

Kadang-kadang aku terlengah solat fardu beberapa minit
kelewatan atas sebab-sebab tersangat kecil 
sebab-sebab yang tak akan menyebabkan aku tercedera 
sedangkan aku sangat tahu  
aku patut berada atas sejadah tepat pada waktu 
siap berwuduk sebelum masuk waktu
tapi iblis yang menjajahku mengatakan aku tak perlu tergesa-gesa
dan aku sangat lemah menghadapi bisikannya.

Kadang-kadang aku tidak solat berjemaah
hanya atas sebab-sebab kecil 
tanpa keuzuran yang nyata
sedang aku amat sedar  berjemaah itu fardu kifayah
tapi iblis kadang-kadang membisik tak perlu selalu ke surau 
kadang-kadang tak apa lakukan saja solat di rumah
walau jarak surau dengan rumah cuma 150 meter
dan aku terlalu lemah untuk menolak ajakan iblis.

Tuhan...ampuni dosa hambaMu yang masih terjajah
Tuhan... ampuni dosa hambaMu kerana masih gagal merdeka 
Tuhan... beri aku kekuatan untuk merdeka sepenuhnya!!

~ JR
sesudah subuh 
31 Ogos 2014.

4 comments:

  1. sajak nie karangan JR sendiri yer..sangat bagus...:)
    iblis adalah penjajah sebenarnya,,takkan meredeka wpun dah kekubur...diakhirat nanti pun belum tentu lg merdeka wpun didunia nie kita merdeka, bukan hamba lagi....tp kita hamba Allah selamanya...

    ReplyDelete
  2. Penjajah Iblis sangat suka malah bertepuk sorak bila berjaya menyesatkan umat manusia. Selagi kita bernyawa selagi itu iblis tak berhenti berusaha..

    ReplyDelete
  3. Saya juga belum merdeka sepenuhnya..

    ReplyDelete
  4. hurmm..muhasabah diri sendiri...

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....