»

13 August 2014

Selamat Hari Lahir Faez!!


Masa dalam kandungan ibunya, dia terlalu kecil sehingga kandungan isteri  perlu sentiasa diperiksa rapi oleh doktor pakar HKL. Setiap kali berjumpa doktor  beberapa perkataan sering diulang ucap doktor dan jururawat:

"Baby dalam kandungan terlalu kecil"
"Baby terlalu kecil. Perlu caesarean demi keselamatan ibu dan bayi.."
"Jaga  pemakanan supaya anak dalam kandungan membesar normal.."

Tapi yang paling mengejutkan ialah peristiwa pada suatu hari apabila kes kandungan isteri JR dirujuk kepada seorang doktor pakar dari India. Tiba-tiba doktor itu mengeluarkan kata-kata seperti bom nuklear yang meranapkan jantung JR:

"I'm sorry, but your baby has  anencephaly...." kata doktor itu sambil tangannya menunjukkan imej ultrasound kepada JR dan isteri.

Doktor berusia kira-kira 40an itu menerangkan dengan lebih lanjut tentang apa itu  anencephaly. Perkataan yang sering diulangnya ialah no head, no head, no head..

Ketika itu rasa seperti separuh nyawa JR hilang. Apa...anak kedua aku cacat, anencephaly...tempurung kepalanya tidak terbentuk dengan sempurna? My baby has no head? No brain? Ya Allah, apa ujian yang sedang Kau turunkan kepada hambaMu yang lemah ini?

Kejadian itu berlaku beberapa bulan sebelum Faez dilahirkan. Walaupun isteri (dia seorang jururawat kerajaan) nampak tenang dan tak begitu kisah dengan ramalan doktor pakar dari India itu, tapi tidak bagi JR. Paling menakutkan, kata-kata doktor itu terbawa-bawa hingga ke dalam mimpi. Banyak kali JR bermimpi buruk, kebanyakannya menggambarkan isteri akan melahirkan seorang bayi  yang cacat, tak ada kepala. Pernah juga termimpi isteri melahirkan bayi berbentuk seperti toyol. Ngeri!

Tapi ketakutan itu menjadikan hubungan JR dengan Tuhan semakin rapat. Solat tengah malam yang dulu bukan amalan menjadi kemestian. Hanya pada Dia hambaNya mengadu semoga apa yang dikatakan oleh doktor pakar itu salah belaka!

Dua hari sebelum tarikh kelahiran, isteri mengalami pendarahan yang agak teruk. Dia dikejarkan ke HKL, dimasukkan ke wad di bawah pengawasan rapi sekumpulan doktor dan kakitangan perubatan. JR sentiasa berulang alik dari rumah ke HKL, menjenguk isteri beberapa kali sehari, memberi semangat kepadanya. Biasanya JR cuma pulang ke rumah selepas dinasihatkan oleh jururawat untuk keluar...

Suatu awal pagi, 22 tahun lalu, kira-kira pukul 5.00 pagi, JR terima panggilan telefon daripada HKL.

"Encik J..... Isteri encik dah selamat melahirkan anak lelaki. Jika encik nak  datang melawat bolehlah.."

Cepatnya isteri bersalin...baru lewat petang semalam ketika JR melawat isteri, doktor kata 4 hari lagi baru mereka nak induce, tapi tiba-tiba saja pagi ini dah diberitahu dia bersalin...

Sepanjang memandu kereta dari rumah di Ampang ke HKL, jantung JR tak henti berdegup.  Anencephaly.. anencephaly.. anencephaly.. itu saja perkataan yang bermain di kepala. Seperti tak sanggup menghadapinya, seperti tak sanggup sebentar lagi mengangkat dan mengazan tubuh kecil bayi kami yang tidak sempurna tempurung kepalanya. Sesekali rasa air mata menitik. Tapi sebagai suami aku mesti kuat...itu kata hati.

Selepas parkir kereta di HKL, JR terus ke tingkat bawah untuk menaiki lif ke Wad Bersalin. Tapi ketika menghampiri lif,  tiba-tiba ketakutan itu datang lagi. 

JR berpatah balik, tak jadi naik lif. Tak jadi menjenguk isteri dan bayi kami yang baru lahir. JR duduk termangu di sebuah tembok tingkat bawah HKL sambil beristighfar panjang. Ya Allah, berikan hambaMu ini kekuatan menghadapi segala kemungkinan dan berita buruk!!

Lebih kurang setengah jam JR berada di tingkat bawah, mata masih memandang pintu lif, tapi kaki tiada kekuatan untuk melangkah naik ke Wad Bersalin. Hingga tiba suatu saat, Allah memberi JR kekuatan untuk menghadapi apa saja kemungkinan, lalu JR menaiki lif ke wad bersalin dengan hati masih berdebar-debar.

Masuk saja ke Wad Bersalin, terlihat susuk isteri di atas katil dengan wajah sangat manis. JR menerpa ke katil kecil di sisinya untuk melihat bayi kami.

Tentulah bahagian pertama yang JR renung ialah kepalanya... 

Tapi kepalanya sangat sempurna, tiada apa-apa kecacatan pun, alhamdulillah... 

Lepas itu JR periksa kakinya, tangannya, malah seluruh jari jejarinya... Ya Allah betapa besar kuasaMu, memakbulkan doa hambaMu, menganugerahkan seorang bayi lelaki untuk kami yang sangat sempurna. Tiada  anencephaly...semuanya sempurna!

Sambil mengangkat bayi kecil itu, bisikan syukur tak henti-henti keluar dari mulut dan hati JR.

Pagi itu suara azan mendayu-dayu memecah keheningan Wad  Bersalin kelas satu HKL. Tanpa sedar beberapa titik air mata menitik jatuh ke atas muka bayi dalam dukunganku...

Semasa kecil Faez kerap sakit, selalu demam. Pernah mengejarkan dia ke klinik 24 jam pukul 3 pagi bila suhu badannya panas membara. Hingga usia 3  tahun barulah dia sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain -  sangat lasak dan aktif. Yang menggembirakan JR sejak tadika hingga sekolah menengah, keputusan peperiksaan Faez tak pernah mengecewakan. Setiap tahun bila ada Hari Anugerah Cemerlang, namanya tak pernah tercicir dari menerima anugerah. Siapa sangka anak yang diramal tak ada kepala mempunyai kepala yang boleh tahan geliganya??

Sekarang dia telah dewasa, telah melepasi sem enam kursus ijazah kejuruteraan awam UTHM. Kini dia sedang mengikuti latihan praktikal (LI) di JKR Kedah.


Selamat hari lahir ke-22 Faez!! 

13 comments:

  1. selamat hari lahir faez...
    touching sungguh kesah faez nie..Alhamdulillah semuanya ditentukan Allah semoga faez berjaya dunia akhirat

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah...dah besar panjang anak bujang JR....hensem pulak tu...tak lama lagi dah kerja...sebaya dengan anak bungsu bunda kot...tahun 1992...

    Ramalan manusia tidak dapat mengatasi Kehendak dan Ciptaan Nya..

    ReplyDelete
  3. Selamat hari lahir. Alamak, ramai yang nak buat menantu ni!

    ReplyDelete
  4. Kini hensem sudah. Hihi. Selamat hari lahir utk anak JR, Faez. Tua setahun dari ana. ^_^ berbaloi rupanye berkorban demi seorang anak. Semoga Faez menjadi anak yang soleh.

    Agak2 kalau dia baca entri ayahnye, JR. Konfem terharukan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rasanya dia tak baca kot... sebab dia tak pernah diberitau ayahnya mempunyai blog....

      Delete
  5. terharu pulak baca..selamat hari lahir Faez..moga menjadi anak yg soleh..
    ensem Faez ni..:)

    ReplyDelete
  6. Alhamdulillah. Dah besar dah dengan didikan yang sempurna. Dia tau tak kisah ni bro JR?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang dia tau...sejak kecil cerita ini salah satu cerita yg popular dalam keluarga kami. Cuma dia tak tau kisah ini diceritakan dalam blog ayahnya, sebab rasanya dia tak tau ayahnya mempunyai blog...

      Delete
  7. Selamat Hari Lahir buat Faez..
    Moga sentiasa sihat dan dilindungiNYA selalu..

    dia tau kewujudan blog ni tak.. hehehe.. ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kecuali anak bongsu, anak-anak lain dan isteri tak tau JR mempunyai blog (kecuali anak bongsu membocor rahsia!!)

      Delete
  8. sangat risau membaca n3 bro JR kali ini. Subahanallah seorang umat nabi muhammad yg cukup sifat.selamat hari lahir Faez..dah bujang dah kan..

    ReplyDelete
  9. sangat risau membaca n3 bro JR kali ini. Subahanallah seorang umat nabi muhammad yg cukup sifat.selamat hari lahir Faez..dah bujang dah kan..

    ReplyDelete
  10. Encik boleh saya tahu pengalaman encik ? Sebab sy sekrang tngh mngndung kn ank yg tiada tempurung .. kalau sudi boleh encik wtshp sy

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....