»

04 August 2014

Bukan Semua Yahudi Jahat...


Ketika Gaza sedang bermandi darah akibat kekejaman Israel, JR terbaca banyak seruan yang meminta rakyat Malaysia memboikot barangan yang ada kaitan dengan orang Yahudi.

Tapi benarkah SEMUA Yahudi itu jahat? Sampai ada yang meletakkan kaum Yahudi di tahap yang lebih jijik dari anjing dan babi?

Bukankah Yahudi juga manusia dan sebagai manusia, Yahudi seperti juga manusia Melayu ada yang baik dan ada yang jahat? 

Mungkin ramai yang terlupa sebagai manusia, bukan semua orang Yahudi beragama Yahudi, ada juga orang Yahudi beragama Kristian dan Islam. Di Israel sendiri mengikut sumber media mereka, pada tahun lepas terdapat 115 kes golongan muda Yahudi yang menukar agama daripada Yahudi kepada Islam. Jika semua Yahudi jahat, mengapa ada yang beragama Islam?

Ada aktor yang ramai peminat di Malaysia seperti Ahmad Dhani ibunya adalah seorang Yahudi. Perdana Menteri pertama Singapura, David Marshall yang merupakan sahabat karib bapa kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman adalah juga seorang berketurunan Yahudi.

Mungkin ada yang terkeliru antara Yahudi, Israel dan zionis. Mungkin ramai yang ingat semua Yahudi itu menyokong Israel, semua Yahudi menyokong fahaman zionis (fahaman ekstremis Yahudi yang menghalalkan pengusiran dan pembunuhan orang Palestin). 

Mana mungkin kita kata semua Yahudi itu jahat jika Allah sendiri memilih ramai Rasul dari keturunan Yahudi, seperti Nabi Ishak, Yaakub, Yusuf, Ayub,  Syuaib, Musa, Harun, Zulkifli, Yunus dan Isa? Mana mungkin Allah memilih orang jahat menjadi RasulNya?

Mana mungkin kita kata semua Yahudi jahat jika isteri Nabi Muhammad s.a.w bernama Safiyyah itu sendiri seorang Yahudi?

Yahudi sebenarnya cuma satu bangsa. Tidak semua di dalam sesuatu bangsa itu jahat seperti tidak semua dalam sesuatu bangsa seperti Melayu ini baik.

Begitu juga kalau kita nak kata semua orang Israel itu jahat pun tak kena juga. Terdapat 1.6 juta orang Arab di Israel (20% dari penduduk Israel), bolehkah kita kata semua orang Israel jahat?

Tapi jika ada yang kata kerajaan Israel jahat, penyokong fahaman zionis itu jahat, JR setuju sangat-sangat.

Kalau korang nak tau lebih lanjut mengenai Yahudi korang  boleh baca artikel oleh bekas Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin seperti yang pernah tersiar di Malysiakini:

Islam adalah agama yang menghormati semua keturunan manusia. Islam tidak menghukum seseorang disebabkan keturunannya. Islam juga tidak memaksa orang menganut Islam dan memerangi dan menghukum hanya kerana perbezaan agama.

Demikian seseorang Yahudi tidak boleh dihukum hanya kerana dia berketurunan Yahudi atau beragama Yahudi. Permusuhan berlaku antara masyarakat Yahudi dan Nabi Muhammad SAW dalam sejarah disebabkan sikap permusuhan mereka terhadap Islam, bukan keturunan mereka.

Dalam sejarah Nabi SAW; baginda mempunyai isteri yang merupakan seorang Yahudi iaitu Safiyyah binti Huyai.

Sahabat Nabi SAW yang dianggap ilmuwan ‘Abdullah bin Salam, juga seorang Yahudi. Baginda Nabi SAW dalam urusan muamalat pernah menggadai barang kepada Yahudi.

Baginda juga menziarahi Yahudi yang sakit.

Ini menunjukkan kita boleh berbuat baik kepada Yahudi atas dasar persahabatan yang tidak mengkhianati Islam atau atas asas dakwah. Bahkan Al-Quran dalam Surah al-Maidah membenarkan perkahwinan dengan wanita Yahudi dan Kristian yang dikatagori sebagai Ahlul Kitab.

Maka, kenyataan yang menyatakan bahawa kita boleh berurusan dengan Yahudi yang tidak menzahirkan permusuhan kepada umat Islam, adalah benar.

Adapun yang memerangi Islam, maka dia dimusuhi tanpa mengira apapun agamanya.

Firman Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)

Ayat di atas menjadi asas urusan antara muslim dan agama lain.

6 comments:

  1. kita tdk blh memilih utk dilahirkan dlm agama dan bangsa apa . Nak jadi baik atau jahat tak ikut agama atau bangsa tapi hati ... org Islam pun ramai juga yg jahat ... ermmm

    ReplyDelete
  2. Anak saya pernah menumpang kasih pada satu klrga Yahudi. Melayani anakanda saya seperti anak sendiri...

    ReplyDelete
  3. Yg kita tentang habis habisan ialah zionis yahudi..

    ReplyDelete
  4. Betul tu bro JR. Ramai juga Nabi daripada keturunan Yahudi. Yang jahat adalah Zionis.

    ReplyDelete
  5. Betul3. Sebenarnye kebanyakan nabi keturunan yahudi. Yg jd permusuhan yahudi dan islam sebab nabi muhammad bukan dari bangsa yahudi. Tapi dari bangsa arab.

    ReplyDelete
  6. fahaman zionis tu yg tak betul....

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....