»

11 March 2014

MH370: Pengalaman Berubat Dengan Bomoh (Kisah Benar)


Bila kerajaan sanggup panggil bomoh untuk membantu mencari lokasi MH370 berada, ramai yang gelak. Tak cukupkah dengan segala peralatan canggih yang ada termasuk yang didatangkan dari Amerika dan China untuk mengesan MH370, kini Malaysia gunakan khidmat bomoh pula? Kelmarin seorang bomoh yang dipanggil "Raja Bomoh VIP" (kerana selalu memberi khidmat kepada golongan VIP) melakukan acara mistik di Balai Ketibaan KLIA untuk mengesan lokasi MH370 berada.


                                                 (foto: SinarHarian)

JR tak tau sama ada berita Malaysia menggunakan khidmat bomoh untuk mencari MH370 ini masuk dalam berita luar negara ke tidak. Kalau berita mengenainya masuk dalam media luar, semakin popularlah Malaysia agaknya. Lepas ini tentu semakin ramai pelancong luar datang le Malaysia untuk cari bomoh kita yang pakar dalam pencarian benda hilang. Orang luar negara yang kehilangan anak (kerana mengikut kekasih mereka) atau suami isteri yang kehilangan pasangan masing-masing (kerana mengikut cinta baru mereka) bolehlah datang ke Malaysia kerana Malaysia mempunyai bomoh-bomoh yang hebat.

Korang pernah gunakan khidmat bomoh atau pernah berurusan dengan bomoh? Sesiapa yang pernah berurusan dengan bomoh tentu malu mengakuinya.

JR nak cerita dua pengalaman berurusan secara tak langsung dengan bomoh. JR ulang: berurusan secara tak langsung. Maknanya ia berlaku secara tak sengaja.

PENGALAMAN 1:

JR tak ingat bila sebenarnya kejadian ini berlaku. Tapi kalau tak silap dah lebih 20 tahun dulu ketika JR baru memulakan kerja di Pulau Pinang. Satu hari pejabat kami nak adakan satu majlis yang akan dihadiri oleh seorang VVIP terkenal - pegawai tinggi kerajaan Pulau Pinang. 

Dalam mesyuarat persiapan majlis itu, boss kami berkata dia risau hujan akan turun pada majlis yang akan diadakan kerana ketika itu musim hujan. Seorang staff veteran pejabat bernama Pak Man mencadangkan khidmat bomoh hujan digunakan bagi mengelakkan hujan turun ketika majlis berlangsung. Walaupun pada mulanya boss menyatakan ia satu idea yang sangat kelakar tapi akhirnya boss bersetuju juga. Apa salahnya kata boss, ia sebahagian dari ikhtiar.

Satu jam sebelum majlis yang dijangka bermula pada pukul 3.00 petang, JR yang merupakan pengerusi jawatankuasa persiapan dah rasa tak senang hati kerana melihat awan yang semakin hitam memenuhi langit. Kalau hujan turun ketika majlis sedang berlangsung susahlah! Kalau hujan turun bukan saja khemah VVIP dan khemah orang ramai akan kena tempias hujan tapi acara lain di atas padang juga mungkin tergendala.

Di penjuru padang JR nampak seorang lelaki berbaju  Melayu hitam sedang berdiri sambil mukanya mendongak ke langit. Lelaki itu bergerak ke setiap penjuru padang sambil menadah tangan seperti berdoa. Bila JR tanya Pak Man, dia beritahu itulah bomoh hujan yang akan cuba membantu majlis kami.

Tak lama lepas itu kelihatan tompokan awan hitam di langit tiba-tiba bergerak ke arah timur. Aneh, langit yang tadinya hitam legam seperti hujan lebat akan turun bila-bila masa tiba-tiba bertukar wajah. Cuaca menjadi terang benderang, awan hitam diganti oleh awan seputih kapas!

Kira-kira pukul 5 petang majlis selesai. Orang yang paling gembira pastilah boss kerana segalanya berjalan lancar, cuaca pula sepanjang majlis berlangsung sangat baik. Tambah gembira kerana VVIP yang merasmikan majlis memuji boss kerana pandai mengendalikan majlis yang berlangsung dengan teratur.

Kira-kira 1 jam selepas majlis selesai (kira-kira pukul 6 petang), ketika semua VVIP dan orang ramai dah meninggalkan majlis, tiba-tiba hujan lebat turun di kawasan itu sehingga ada khemah yang tumbang dipukul angin. Nasib baik hujan lebat turun ketika semua orang dah balik!

Bila JR tanya Pak Man, katanya bomoh itu menggunakan 'khadam'nya untuk mengalihkan seketika awan hitam itu ke tempat lain. Selepas majlis itu selesai 'khadam'nya membawa semula awan hitam itu ke tempat hujan sepatutnya turun. Sebab itulah hujan lebat turun selepas majlis selesai.


PENGALAMAN 2:

Kalau tak silap kejadian ini berlaku pada tahun 2003. Ketika itu JR kerja di Perlis. Satu hari kawan sepejabat JR bernama Z kehilangan dompet wang ketika sedang bersolat zohor di sebuah masjid di Kangar. Banyak juga duitnya yang hilang kerana lepas solat zohor dia bercadang nak membayar ansuran keretanya di sebuah bank di Kangar.

Seorang kerani pejabat mencadangkan kepada Z untuk pergi menemui seorang bomoh yang sangat pakar dalam hal-hal duit dan harta benda yang hilang. Z pula mengajak JR menemaninya ke rumah bomoh itu bersama-sama kerani tadi. JR yang sangat bersimpati dengan nasib Z bersetuju menemaninya.

Sebaik saja sampai dan duduk bersila di atas tikar getah rumah bomoh itu, tiba-tiba bomoh itu berkata kepada Z: "Patutlah barang hilang, hang selalu lalai. Cuba buka kancing baju hang  tu, ada parut di lengan kiri kan? Tu lalai lah tu, parut akibat accident masa kecik!"

Terkejut beruk Z sambil memerhatikan baju lengan panjangnya. JR juga hairan, ketika itu Z berbaju lengan panjang, bagaimana bomoh itu tahu ada parut di lengan kirinya? JR yang dah 3 tahun berkawan dengan Z pun tak sedar di lengannya ada parut bekas accident masa kecik, tapi bomoh yang baru 5 minit mengenalinya tahu rahsia dalam bajunya!

Diringkaskan cerita, lepas membaca doa dan melihat air dalam mangkuk di depannya, bomoh itu meyakinkan Z bahawa dompetnya masih ada tak jauh dari tempat ia hilang.

"Ada budak kecik ambik beg duit hang masa hang solat tadi. Tapi dia tak dan (tak sempat) guna duit tu, mungkin dia terkejut dan tak jadi ambik. Dia letak balik beg duit dalam kawasan masjid. Lepas ni hang pi balik masjid tu, hang cari di penjuru sebelah kanan masjid, insyallah jumpalah beg duit tu. Pi cepat ke masjid, nanti orang lain pula ambik beg duit..."

Selepas sedekahkan sejumlah wang kepada bomoh itu, JR, kerani pejabat kami dan Z bergegas ke masjid itu semula. Alhamdulillah, dompet wangnya ditemui semula di bawah karpet di penjuru kanan dewan masjid.

Apa hukumnya meminta bantuan bomoh untuk sesuatu tujuan yang baik? Kalau mengikut seorang ustaz di TV, semua keajaiban yang berlaku (seperti mengalihkan hujan dan menemui semula dompet yang hilang) mungkin dengan bantuan jin. Kata ustaz tujuan tidak menghalalkan cara. Orang yang menggunakan khidmat bomoh dan jika bomoh itu bersekongkol dengan jin sama ada untuk tujuan baik atau tujuan buruk, ia tetap berdosa kerana perbuatan meminta bantuan jin boleh menyebabkan akidah tergelincir dan mendekati syirik.

10 comments:

  1. Khadam dia tu, jin la kan..
    Jadi apa hukum minta tolong dgn jin, bukan dengan Allah?
    Sendiri mau ingat

    ReplyDelete
  2. sesat lagi menyesatkan hehe...sendiri ingatlah bila syirik kepada ALLAH...
    "Ketua Juruterbang 777-200 MAS, Kapten Norudin Abd Majid berkata, hanya ada DUA cara bagi membolehkan pesawat MH370 ditemui.

    Pertama, doa orang yang soleh.

    Kedua, doa ahli keluarga..."

    ReplyDelete
  3. "..ia tetap berdosa kerana perbuatan meminta bantuan jin boleh menyebabkan akidah tergelincir dan mendekati syirik." ..itu juga dlm fikiran sy yg jahil ni..

    ReplyDelete
  4. Betul...saya setuju dgn PCL. Kembalilah kepada ajaran Islam hanya kepada Allah kita memohon dan berserah.

    ReplyDelete
  5. Tengok gambaq tu buleh gelak tau, teropong guna buluh! Apa ingat cerita P.Ramle?

    ReplyDelete
  6. yang penting berdoa semoga cepat di temukan

    ReplyDelete
  7. penah juga saya mintak bantuan bomoh ni. tu pun secara tak sengaja sbb mula2 ingatkan dia ustaz, guna ayat quran. Tapi bila gi umah dia, lain macam je tgk vcd dangdut. Pastu terus stop la.

    ReplyDelete
  8. Bomoh tu joget dangdut ke?

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum. Jika sape2 cari bomoh yg benar blh hubungi sy 0172465094 lyana. sy dh try seorang tok bomoh inshallah segalanya dah berjaya. Ingin nk tahu pengalaman sy blh wasap terus. Terima kasih

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....