»

09 September 2013

Resepi Nasi Lemak Berkuah Petrol


Mungkin cerita ini dah terlewat 2 hari. Tapi tak apalah terlewat 2 hari dari membiarkan blog ini kosong tanpa cerita maupun berita hari ni. 

Cerita yang nak JR sampaikan di sini mengenai nasi lemak....

Pagi Sabtu lepas Mem kat rumah yang mulanya bercadang nak buat nasi lemak tapi alih-alih tak jadi buat. Tak apalah, beli saja nasi lemak ready made, bukan tak pernah beli, memang jika emergency selalu juga beli nasi lemak dan kuih dari penjual gerai tepi jalan.

Lalu JR ke gerai yang selalu dikunjungi untuk membeli beberapa bungkus nasi lemak, bihun dan sedikit kuih untuk anak-anak, isteri dan mak mentua yang tinggal serumah. Biasanya di gerai yang biasa JR beli di Jalan Langgar ni nasi lemak biasa (ikan bilis telur) harganya ialah RM1.00 sebungkus. Memang ada juga nasi lemak yang dijual 70 sen sebungkus di gerai lain tapi saiznya kecik sikit. 

Sebelum membayarnya JR dah congak-congak harganya: nasi lemak dan bihun RM1.00 sebungkus, kuih 30 sen sebungkus. Anak-anak lelaki kalau makan nasi lemak tak cukup sebungkus, mesti dua bungkus, yang pompuan sebungkus dah kenyang. Pada perkiraaan JR jumlah harga belian nasi lemak, bihun dan kuih pagi tu tak lebih RM10.

Tapi bila menghulur RM10, si-penjual berkata, "Tak cukup bang..."

Rupanya nasi lemak dan bihun dah naik harga, bukan RM1.00 sebungkus lagi, tapi sekarang dah naik jadi RM1.20Naik 20 sen! Tapi harga kuih masih kekal sama 30 sen sebiji.

JR malas nak tanya mengapa harga nasi lemak dan bihun naik kerana dah tau jawapannya. Semuanya pasti kerana harga petrol naik.  Maklumlah nak goreng ikan bilis kena guna minyak petrol, bukan minyak masak. Rebus telur pun gunakan minyak petrol, bukan air. Dan kuah sambal itu pun perlu dicampur dengan minyak petrol supaya rasanya bertambah pedas dan memikat pelanggan. Begitu juga beras yang dimasak itu kalau tak dimasukkan perencah minyak petrol mungkin nasinya rasa kurang lemak dan kurang sedap.

Sebab itu kot harga nasi lemak naik 20 sen selepas harga petrol naik 20 sen, kerana ia resepi nasi lemak berkuah petrol!

Hari Jumaat lepas ketika beli goreng pisang lepas solat Jumaat, JR terperasan bilangan pisang yang dijual semakin kurang. Kalau dulu beli RM3 goreng pisang dah boleh melapik perut 3 orang, tapi sekarang nampak RM3 goreng pisang sekarang sama seperti RM2 goreng pisang sebelum minyak naik.

Ketika itu dalam hati ringan saja nak bertanya kepada gadis penjual goreng pisang itu, "Dik...ni goreng pisang guna minyak masak ke atau guna minyak petrol??"

Tapi tiba-tiba teringat buat apalah mencetuskan polemik di tepi jalan. Baru saja lepas solat Jumaat, kemudian dapat dosa kerana menyakitkan hati penjual goreng pisang...Jadi simpan sajalah apa yang terbuku di hati...

Jiran JR juga mengadu perkara yang sama kepada JR. Katanya nasi ayam yang dijual di sebuah gerai yang selalu dikunjunginya, walaupun harga nasi ayam masih sama (RM3.50-RM4.00 sebungkus), tapi saiz ayam tak sama seperti sebelum harga petrol naik lagi. Kini saiz ayam "sangat cute dan slim" tak lagi gemuk dan sasa macam dulu. 

Lalu JR teringat kata-kata Menteri yang jaga hal ehwal pengguna pada minggu lepas. Menteri itu kata kenaikan harga petrol Ron95 sebanyak 20 sen tak akan membebankan pengguna. Kalau ada kenaikan barang pun kata Menteri itu cuma sekitar 0.1% saja

Tu dia...kenaikannya kecil, cuma 0.1% saja!

Tiba-tiba JR tergelak dalam hati. Bila harga nasi lemak naik dari RM1.00 ke RM1.20, itu kenaikan  0.1% ke? Bila bilangan goreng pisang semakin susut pada harga sama berbanding sebelum harga petrol naik, itu kenaikan 0.1% ke? Bila bilangan saiz ayam dalam nasi ayam menjadi semakin cute dan slim, itu kenaikan 0.1% ke?

Entahlah, JR memang agak lemah dalam matematik agaknya, tak sepintar pak Menteri kita...

8 comments:

  1. hehehe..kita taktau cara congak pak menteri, mungkin peniaga pun taktau cara congak pak menteri kot JR, sepatutnya pak menteri bg cara pengiraan di Buletin Utama..heee. Nasi lemak RM1.00 naik harga jadi RM1.20 bukan kenaikan 0.1% dah.

    ReplyDelete
  2. emmm..ada yg kata,kenaikan harga barang adalah KETETAPAN ALLAH..:)
    oppss...

    ReplyDelete
  3. tu lah hadiah pk menteri untuk rakyat,..diorang dah kaya memang tak rasa apa2...yang rakyat jelata ni terasa sangat

    ReplyDelete
  4. Memang sekarang ni kita kena hadapi harga kenaikan barang ni. Turunnya tak, tapi makin naik je harga.

    ReplyDelete
  5. susah nak komen..sbb barisan pemimpin yg patut dah tau apa kesannya bila buat kptsn begini.
    Nak naik, naiklah benda lain..bkn petrol, sbb kesannya lebih besar.

    ReplyDelete
  6. Peniaga2 pun tersepit gak JR. Bahan mentah yg mahal tu. Kalo katakan mereka tak naikkan harga nasik lemak tu, dgn keuntungan seperti biasa, tapi nak belanja minyak kereta yg dah naik harga, itu yg terpaksa naikkan harga jugak. Bukan sbb nak buat nasik lemak kena guna minyak petrol, tapi nak beli petrol guna untung jual nasik lemak tu.

    ReplyDelete
  7. kadang2 minyak naik...makanan pun naik harga..

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....