Petang tadi hujan turun agak lebat di kota kecil ini. Ia berlarutan hingga ke malam. Cuma malam ini tinggal sisa-sisa hujan, rintik-rintik halus yang sesekali kasar masih belum berhenti hingga saat ini.
Ketika malam terus dibungkus dingin, anak lelaki JR yang akan mengambil SPM tak lama lagi bergegas keluar rumah untuk ke kelas tuisyen. Kelas tuisyennya bermula pada jam 8 hingga 10 malam. Biasanya dia pergi tuisyen dengan menaiki motorsikal tapi malam ini JR menegahnya.
"Hujan tu, nanti selsema pula. Biar abah hantar naik kereta" pelawa JR.
Anak JR akur dengan kata-kata JR.
Kami sampai ke kelas tuisyen ketika jam dalam kereta sudah menunjukkan 8.03 malam. Anak JR bergegas memanjat tangga di tingkat satu untuk ke kelas tuisyen. JR pula bergegas balik ke rumah.
Entah mengapa malam ini terdetik hati JR nak menggunakan jalan pintas untuk pulang ke rumah. Jalan itu jarang-jarang JR gunakan kerana selain ia agak sempit, jalannya banyak lubang. Kalau pandu kereta perlu berhati-hati dan cuma boleh bawa tidak lebih dari kelajuan sebuah basikal tua.
Tapi malam ini nasib baik tiada kenderaan lain melaluinya, alhamdulillah perjalanan sangat lancar ketika melalui jalan sempit yang dipayungi pohonan rimbun di kiri kanan jalan. Di tengah hujan rintik, segalanya lancar hingga tiba di satu selekoh. Di kanan selekoh ada sebuah tembok yang menempatkan sebuah banglo usang.
Tiba-tiba seorang lelaki tua berkain pelikat warna cerah tanpa baju melintas jalan kira-kira 5 meter di hadapan JR. Sungguh tahan kulit pakcik itu, fikir JR, tak pakai baju dalam cuaca hujan sedingin ini, sedang JR sendiri memakai baju tebal dalam kereta.
Di celah sorotan lampu kereta, mata JR mengikuti langkah pakcik itu yang seperti nak memasuki banglo usang di kanan JR. Tapi ketika betul-betul berada di tepi tembok, pakcik itu terus hilang dari penglihatan JR.
Hebat pakcik itu, hati JR berkata, bagaimana dia boleh menghilangkan dirinya dalam tembok? Kalau David Copperfield tengok apa yang JR nampak sebentar tadi pasti dia juga akan angkat topi, ada orang Melayu yang sehebatnyanya! Kalau David Copperfield boleh menghilangkan Statue of Liberty dan Tembok Besar China, pakcik ini pula boleh menghilangkan diri dalam tembok.
Ketika JR tiba di rumah hujan masih turun rintik-rintik. Malam ini pasti seronok tidur dalam kedinginan malam.
Cuma hati sampai sekarang masih tertanya-tanya: siapa gerangan pakcik yang menghilangkan dirinya dalam tembok banglo usang itu?
Tak mungkin lelaki tua berkain pelikat cerah tanpa baju itu adalah illusi JR. Atau mungkin ia cuma sebuah fatamorgana??
alamak, mujur bukan malam jumaat. kalau tak, makin bertambah unsur suspen tu...
ReplyDeleteRezeki JR boleh nampak pakcik tu..
ReplyDeletehehe..nasib baik dia tak tahan kereta,mintak tumpang...
ReplyDeletekadang-kadang...ada perkara yg kekal misteri, tak mampu kita rungkaikan.
ReplyDeleteMasa jemput ambik anak JR pukul 10 tak lalu jalan tu balik ke jR?
ReplyDeletenasib pokcik tu x paling muka...hehehhe..kalau tak mesti demam seminggu...
ReplyDelete