»

20 December 2012

Nostalgia Island Of Peace (Pulau Aman)


Beberapa hari lepas JR terima panggilan telefon dari seorang kawan lama yang kini bekerja di sebuah pejabat kerajaan di Bukit Mertajam. Lamanya tak jumpa rakan yang bernama PY tu, kali terakhir jumpa kira-kira 6 tahun lepas ketika JR bertugas di Perlis dan dia pula bekerja di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Dalam sembang punya sembang, dia mengimbau kenangan lama tentang Pulau Aman. JR dan PY dulu sering ke Pulau Aman...Island of Peace, paling jarang pun dua bulan sekali mesti ke sana kerana urusan pejabat. 

Korang pernah dengar nama Pulau Aman? Pulau Aman ialah sebuah pulau di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Pulau ini ada sejarah tersendiri: pernah menjadi tempat persembunyian lanun untuk merompak kapal-kapal yang melaui Selat Melaka...

Pulau Aman..memang aman..

Teringat nostalgia ketika itu, zaman 1980an...Ketika itu JR baru bekerja di Jawi, Seberang Perai Selatan dan belum kawin. Itu zaman Alleycat, Search,  Blues Gang, Ella dan Jamal Abdillah baru menempa nama. Pulau Aman ketika zaman 1980an itu sebuah perkampungan nelayan dengan penduduk tak sampai 200 orang. Untuk ke sana perlu menaiki bot nelayan dari Bukit Tambun. Perjalanan ke sana dari Bukit Tambun mengambil masa kira-kira 40 minit. 

Ketika itu bekalan letrik di Pulau Aman menggunakan tenaga solar. Di Pulau Aman tiada jalan raya, semua penduduk cuma berjalan kaki dalam perkampungan nelayan yang cuma berpusat di sekitar jeti. Berjalan setengah jam dah dapat tengok semua rumah penduduk di Pulau Aman yang cuma didiami kira-kira 30 keluarga. Ia sebuah pulau yang sangat aman, sebab itu namanya pun Pulau Aman..

Kalau pergi ke Pulau Aman ketika itu dua produk terkenal yang selalu dibawa balik ke tanah besar ialah belacan dan buah sukun. Belacan Pulau Aman ketika itu adalah antara belacan yang paling terkenal dan sedap di Pulau Pinang. 

Tentang buah sukun, sebaik saja mendarat di Pulau aman akan kelihatan banyak pokok sukun kerana tanah gembur di pulau itu sangat sesuai dengan buah sukun yang bila digoreng rasanya 25 kali mengalahkan kesedapan pisang goreng...

Apa yang istimewanya Pulau Aman ketika itu? Yang istimewanya Pulau Aman selain dari belacan dan buah sukunnya ialah makanan laut segar terutama udang dan ketam serta alam semulajadinya, laut, pantai dan flora yang belum tercemar. Dan satu lagi yang istimewa ketika itu ialah kambing Pulau Aman yang tidak pernah makan rumput dan oleh itu rasanya agak berbeza dengan kambing di tempat lain yang biasanya mempunyai bau yang agak kuat. Kambing Pulau Aman cuma makan kertas buangan, daun dan kulit pokok sukun dan oleh itu ia tidak mengeluarkan bau hamis seperti kambing lain.

Di Pulau Aman juga ketika itu sudah ada Klinik Desa dan sekolah. Tapi sekolah di situ cuma sekolah rendah dengan 2 bilik darjah: murid darjah 1, 2 dan 3 berkongsi satu bilik darjah, manakala murid darjah 3, 4 dan 5 berkongsi satu bilik darjah lain. Mereka terpaksa berkongsi bilik darjah kerana bilangan murid sekolah rendah di pulau itu cuma kira-kira 30 orang saja. Sampai sekarang JR tertanya-tanya bagaimana cara cikgu mengajar murid-murid yang kelasnya bercampur seperti itu...pasti sangat susah!!

Banyak lagi kenangan di Pulau Aman, tapi mungkin apa yang JR catatkan di atas tak sama lagi dengan keadaan Pulau Aman hari ini, kerana seperti kata kawan lama JR, PY, Pulau Aman sekarang sudah banyak berubah. Dulu orang pergi Pulau Aman balik hari, tapi sekarang kita boleh menginap di chalet dan homestay di sana dengan kadar sewa yang berpatutan. Bagi kaki pancing malam indah mereka boleh dipenuhi dengan aktiviti memancing. 

Tiba-tiba bila mengenangkan Island of Peace itu, hati JR rasa seperti teringin untuk ke sana, walaupun JR tak pasti sama ada orang-orang Pulau Aman seperti Pak Yob dan Encik Rahman masih ada di sana. Teringin nak ke beberapa lokasi bersejarah di kampung nelayan itu seperti  Makam Purba, Gudang Peluru, Gua Lanun, Telaga Emas, Batu Payung, Gua Lanun dan Batu Perompak...

5 comments:

  1. First time dengarlah jr...hihihi tgk gambar suasana aman jer..

    ReplyDelete
  2. 1. wah, penduduk ni pioneer yang sebenar sebab tahun 1980-an dah guna tenaga solar. tahniah...

    2. kambing kat sana mesti kacak sebab berbau wangi...

    3. pulau dan pantai memang tempat kegemaran. terima kasih, satu lokasi yang dalam pemerhatian...

    ReplyDelete
  3. sronoknya knangan yg JR pegi . mstilah tak same mcm skrg kan .

    ReplyDelete
  4. belum pernah pegi lagi pulau ni...

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....