Dok tak dok (loghat Utara yang bermaksud tanpa disedari..) dah 8 hari kita berada dalam bulan Syawal. Bagi yang berpuasa sunat enam berturut-turut sejak 2 Syawal, hari ini mereka dah 'menyambut raya'.
JR pula baru hari ni nak memulakan puasa sunat Syawal. Menjadi kelaziman JR setiap tahun memulakan puasa sunat Syawal pada minggu kedua Syawal, kerana minggu pertama banyak sangat berziarah ke rumah saudara mara hingga sukar untuk menolak merasa hidangan yang pelbagai itu. Biasanya JR berpuasa berselang hari, hari Jumaat dan Sabtu pula tak berpuasa...
Selama seminggu Syawal ini JR tak pasti berapa kilo lemak yang telah berjaya dikumpulkan dalam badan hasil kemasukan lemang, ketupat, nasi beriani, mi, laksa, bihun, kuih muih dan pelbagai lagi makanan berasaskan kolestrol. Yang pasti dalam seminggu ni rasa badan letih semacam, pernafasan kurang selesa dan kadang-kadang perut yang sendat meragam, mungkin tanda protes kerana ia dizalimi dengan pelbagai benda yang disumbat tanpa rasa belas kasihan.
Tapi hari ni duhai perut engkau boleh berehat seketika kerana tuanmu berpuasa enam. Tiada makanan yang akan menceroboh masuk ruang kamarmu hingga ke waktu maghrib. Selamat berehat duhai perut..
Kepada korang yang dah menyempurnakan puasa sunat enam, alhamdulillah...Kepada yang belum boleh memulakannya selepas ini. Puasa sunat enam bukan saja baik untuk kesihatan, tapi sangat dianjurkan oleh agama kita:
1) "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( hadis sahih riwayat Imam Muslim).
2) “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya” (hadis riwayat Imam al-Tabrani)
Slmt hari raya bang....maaf zahir batin :)
ReplyDelete