Terlebih dulu JR memohon maaf kerana tidak dapat menyambung entri pada 10 Jun lalu seperti yang dijanjikan. Memang JR nak menyambung cerita mengenai 'misteri bayangan hitam' yang merayap-rayap di ruang tamu rumah JR dua hari lepas, tapi JR terlalu sibuk sejak beberapa hari ini. Nampaknya lepas balik bercuti dari Melaka dan Johor tempoh hari JR hampir tak punya banyak masa untuk berdampingan dengan blog buruk ini seperti dulu.
OK berbalik kepada 'misteri bayangan hitam' itu, ia berlaku pada awal pagi 10 Jun 2012. Bangun saja tidur pagi tu anak lelaki JR sibuk bercerita kepada adik perempuannya tentang pengalamannya kira-kira jam 4 pagi itu. Ketika itu dia sedang menghabiskan kerja rumahnya di ruang tamu. Tiba-tiba dia terlihat satu bayangan berbentuk tangan berkuku runcing yang merayap dan bergerak di atas meja di hadapannya. Kejadian itu berulang sebanyak lima kali dikuti oleh rasa seram sejuk setiap kali bayangan hitam itu merayap di atas meja.
Pada mulanya anak JR menganggap bayang hitam itu cuma reflection dari cahaya lampu di bilik atas. Tapi bila dia mendongak ke atas, tidak ada apa-apa cahaya lampu di bilik atas. Malah kata anak JR dia melihat kalendar yang tergantung di ruang tamu seperti dipukul angin kuat selepas bayangan hitam itu muncul, walaupun ketika itu dia telah mematikan kipas angin dan menutup aircon di ruang tamu.
Pada mulanya JR menyangka anak lelaki JR itu cuma nak menakut-nakutkan adik perempuannya yang memang penakut itu. Tapi selepas bertanya dengannya sendiri, dia bersungguh-sungguh bercerita kejadian itu memang benar-benar berlaku ketika dia sedar sepenuhnya.
Lagi pun ini bukan kali pertama kejadian misteri berlaku di rumah JR tinggal ini. Semasa kerja-kerja renovation dilakukan terhadap rumah yang diduduki JR bersama keluarga sekarang, pekerja-pekerja yang bertugas pernah melaporkan beberapa kejadian misteri yang mereka tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku. Ia termasuk bunyi sesuatu bergerak di atas bumbung rumah, ketukan di pintu tapi bila dibuka tiada sesiapa dan bila ditutup ketukan berulang lagi. Kadang-kadang pula mereka terdengar seperti ada yang menaiki tangga rumah walaupun bila didekati sebenarnya tiada siapa di atas tangga. Semua kejadian itu berlaku di waktu malam kerana JR telah membenarkan pekerja-pekerja itu bermalam di rumah yang kami beli bagi mempercepatkan kerja pembaikannya.
Sebenarnya rumah yang JR tinggal kini dibeli dari seorang ahli perniagaan yang kebetulan ingin berpindah bagi mengembangkan bisnesnya di KL. Memandangkan harga jualannya yang sangat murah (tak sampai RM200,000) dan mempunyai keluasan bangunan yang agak selesa (80'x30') serta halaman yang luas (50'x40') kami tak teragak-agak membelinya. JR suka tinggal di sini dengan pepohon hijau mengelilingi rumah dan di belakang rumah ada sawah terbentang luas. Untuk memiliki rumah ini hutang institusi kewangan sikit pun tak pa, asal dapat tinggal di rumah yang lebih selesa dari rumah sebelumnya.
Teratak JR, foto diambil masa mula diduduki pada 2009. Sekarang
dah berubah sikit, pasu keliling rumah, cili, serai, rambutan, durian
semua ada....
dah berubah sikit, pasu keliling rumah, cili, serai, rambutan, durian
semua ada....
Sebelum membeli rumah ini JR terlebih dulu meminta pandangan jiran-jiran kerana takut tertipu. JR juga bertanya sama ada 'kisah-kisah pelik' pernah berlaku ke atas rumah itu sebelum ini. Tapi jiran-jiran semuanya menyokong pembelian rumah yang kata mereka sangat-sangat murah dan jika kami enggan membelinya mereka akan membelinya sekarang juga!!
Sekarang JR telah tinggal di rumah yang di kelilingi kedamaian pohon-pohon hijau ini sudah tiga tahun. Sepanjang kami tinggal selama tiga tahun ini tidak pernah berlaku kejadian-kejadian pelik seperti yang pernah diceritakan oleh pekerja-pekerja yang membaiki rumah ini dulu. Cuma kadang-kadang memang terdengar seperti bunyi sesuatu yang berjalan di atas bumbung, tapi JR percaya ia adalah angkara musang yang telah beberapa kali JR nampak bergerak menerusi talian letrik memanjat bumbung rumah JR.
Bagi JR sendiri menyaksikan kejadian pelik yang tak boleh dihuraikan oleh akal fikiran yang logik bukan perkara baru kerana JR sendiri pernah banyak kali melihatnya tapi ia bukanlah di dalam rumah atau sekitar rumah JR tinggal sekarang. JR pernah lihat benda putih bergolek di tengah jalan ketika memandu kereta seorang diri di awal pagi (kira-kira jam 1.30 pagi) di Air Itam, Kedah. Orang kata ia hantu pocong. JR juga pernah melihat cahaya besar menghampiri JR di suatu malam di Pulau Pinang. Orang kata itu hantu penanggalan. Semasa di sekolah menengah JR juga pernah ditumpangi oleh 'seseorang' yang menyerupai adik JR. Ketika itu JR sedang menaiki basikal untuk membeli barang di kedai dan setibanya di kedai 'adik JR' hilang. Rupanya ia bukan adik JR yang ternyata ketika itu sedang berada di rumah!!
Oleh itu bila mendengar cerita anak JR tentang tangan hitam yang kelihatan merayap di depannya dua hari lepas JR percaya ia adalah sebahagian dari gangguan makhluk halus. Mungkin makhluk itu kesepian dan tersesat ketika itu dan memilih anak JR untuk memperlihatkan kewujudannya. JR memberitahu anak-anak usah takut kepada benda-benda pelik yang mereka lihat kerana di dunia ini bukan saja manusia yang menghuninya, masih banyak makhluk lain termasuk jin yang berada di sekitar kita. Sebagai manusia kita adalah lebih mulia dari makhluk-makhluk itu dan oleh itu tak perlu gentar menghadapi mereka. Ada ayat-ayat tertentu sebenarnya bagi melemahkan makhluk-makhluk ini dan jangan lupa ketika kita sedang berhadapan dengan mereka Allah sedang menyaksikan segalanya dan bersedia menghulurkan bantuan jika kita memohon kepadaNya...
cantik rumah JR, luas pulak tu :)
ReplyDeletemakhluk halus ni memang ada. tapi betul la yang JR kata tu darjat kita lebih tinggi dari dia, asalkan dia tak tunjukkan diri tu nampaknya kena redha je la. dia juga sama mcm kita, hamba yang tunduk kepada kekuasaan Allah jua adanya.
JR ni selalu ada cerita seram. Tangan hitam tu mmg seram. Tapi rumah tu cantik. Siap ada laman umah. Harga pun boleh tahan.
ReplyDeleteadehhh...salah pulak membaca time malam2 sorang2 kat bilik ni...@_@
ReplyDeleteheheh
Kat mana-mana pun adalah JR...Kaalau kita tak kacau dia...dia tak kacau kita...
ReplyDelete