Wartawan: Mak cik, sebelum pak cik kena langgar dan meninggal tu, ada tak mak cik perasan pak cik berkelakuan ganjil ke, pelik ke...?
Mak Cik: Tak ada pula...(sambil cuba mengingat sesuatu)..eh, ada, ada, ada, memang ada...
Wartawan: Kalau ada, apa kelakuan ganjil pak cik tu?
Mak Cik: Pak cik ni bukan jenis lelaki makan kuat. Dia makan sikit-sikit aje, maklumkan orang nak jaga badan...Tapi hari sebelum dia kena langgar tu dia makan nasi sampai tambah dua kali. Katanya makanan yang mak cik masak hari tu sungguh sedap. Rupanya dia tambah nasi dua kali sebagai tanda dia nak pergi...(sambil mengesat air mata).
Dan hasil temu bual wartawan dengan mak cik itu, esoknya keluarlah berita dengan tajuk di dada akhbar: "Makan Nasi Tambah Dua Kali Sebagai Tanda Nak Ajal"
Tapi benarkah seseorang itu akan berperangai pelik dan ganjil sebelum dia meninggal? Apakah Allah telah memberikan tanda-tanda awal sebelum seseorang itu mengadapNya?
Atau segala yang berlaku sebelum seseorang meninggal tu cuma kebetulan, dengan izin Allah? Katalah 'pak cik' dalam cerita di atas tak meninggal dunia, bila dia makan tambah dua kali, empat kali atau sepuluh kali pun tak sesiapa yang akan mengaitkannya dengan kematian, kerana selera seseorang tak siapa boleh ramalkan, kadang-kadang tak lalu makan, kadang-kadang berselera pula. Tapi bila dia makan lebih dan beberapa jam atau beberapa hari lepas tu dia meninggal, ia dianggap sebagai tanda ajalnya dah dekat.
Kelmarin ketika JR balik kampung di Penang, adik JR bercerita tentang ipar kami (perempuan) yang meninggal dunia dua bulan lepas kerana kanser. Adik JR bercerita banyak peristiwa pelik berlaku sebelum kematian ipar kami itu. Antaranya suatu hari ketika aruah sedang memasak, tiba-tiba seekor ular jatuh dari bumbung rumah ke dalam periuk yang akan dimasaknya. Sungguh pelik, tiba-tiba ular boleh jatuh dalam periuk di dapur yang mengandungi bahan makanan!
Beberapa hari kemudian ketika berada di belakang rumah mencari ulam untuk hidangan makan tengahari, tak semena-mena seekor biawak pula terjun ke atas belakang ipar JR. Sekali lagi... ia sesuatu yang sangat ganjil!!
Bagi adik JR, apa yang berlaku itu adalah antara tanda-tanda kematian ipar kami. Seperti Allah mengutuskan ular dan biawak itu untuk memberitahu kematiannya akan berlaku dua bulan kemudian.
Tapi benarkah begitu, atau sekali lagi ia cuma kebetulan, dengan izin Allah?
Seperti aruah ibu JR, suatu hari ketika demam dia tiba-tiba meminta nak minum kopi o, sedang dia dari dulu cuma suka minum teh. Lalu ada adik beradik JR yang berbisik, "Eh...mak ni buat tabiat ke apa?"
Tapi ibu JR yang "buang tabiat" tu tak meninggal pun lepas tu. Dia cuma meninggal dunia dua belas tahun kemudian kerana kencing manis.
Katalah ibu JR meninggal beberapa hari atau beberapa jam lepas dia minum kopi o itu, tentu ada orang yang akan berkata, "Errr...patut la dia tak semena-mena minta minum kopi o, rupanya itu tanda dia nak meninggal.."
Bagi JR, segala yang berlaku adalah takdir Illahi. Kematian adalah rahsia Allah dan soal perlu ada tanda berupa keganjilan-keganjilan tertentu tidak perlu dipersoalkan.. Kalau Allah berkata 'jadilah' maka sesuatu itu akan terjadi, tanpa perlu ada tanda-tanda keganjilan....
Wallahua'lam... tak tahu la nak kata apa.. part ular dan biawak tu klu tinggal kat bandar memang pelik la..tp klu kat kg rasanya tak mustahil..
ReplyDeletetakdir...kita cuma buat andaian,tapi yang betul betul akan berlaku,who knows?
ReplyDeleteSetuju dgn pendapat abg JR...
ReplyDelete