»

04 March 2012

Terima Kasih Ayah, Terima Kasih Cikgu Kerana Merotan Saya!!


Salam pagi minggu buat semua pembaca blog JR.

Bila menghampiri bulan April ni hati JR selalu rasa hiba. Tiba-tiba teringat Allayarham ayah yang pergi buat selamanya pada bulan April beberapa tahun dulu. Jikalah dia masih ada...

Sesuatu yang sentiasa menjadi ingatan JR terhadap ayah ialah ketegasannya mendidik dan mendisiplin anak. Dia sentiasa mahu setiap anaknya menjadi manusia berpendidikan, bersopan dan mematuhi ajaran agama. Jika malas pergi mengaji Quran, rotan akan naik ke tubuh. Jika malas pergi sekolah, rotan akan melilit belakang. Jika kacau adik, buli kawan, ejek anak jiran, juga rotan akan singgah sampai berhari-hari meninggalkan lebam. 

Tapi ibu kami tidak pernah menentang ayah bila anak-anaknya kena rotan. Ibu tak pernah pergi membuat laporan polis bila badan anak-anaknya lebam dirotan ayah. Ibu tau tujuan ayah baik - untuk mendidik dan mengubah perangai anak-anaknya menjadi lebih baik.

Di sekolah juga begitu. Jika ada murid yang nakal semasa di sekolah, dia akan dirotan cikgu. Jika ada murid nakal yang suka membuli murid lain, dia akan dimarahi cikgu, jika kenakalannya masih berulang dia akan dirotan pula. Biasanya hukuman rotan dilakukan oleh cikgu disiplin dan guru besar sendiri. JR juga mengaku pernah kena rotan cikgu. Apa kesalahan JR tak payahlah diceritakan di sini, biarlah rahsia, seperti kata Datuk Siti Norhaliza...

Tapi hukuman rotan jika melanggar disiplin, rotan jika berperangai tak baik, rotan jika mengganggu ketenteraman orang-orang sekitar kita, rotan kerana malas membaca telah banyak mendidik JR dan adik-adik menjadi kami seperti hari ini. Tanpa rotan mungkin JR membesar sebagai manusia tak bersopan, tak menghormati tetangga dan kaki gaduh. Atau mungkin JR membesar sebagai kaki buli kerana ketika kecil JR tak dihalang jika membuli orang lain. Tanpa rotan mungkin JR bukan seperti yang isteri JR kenal JR hari ini, malah mungkin JR tidak memiliki apa yang JR miliki hari ini. Hukuman rotan seorang bapa dan seorang guru adalah untuk mendidik, untuk membaiki perangai kita yang dirotan, ia bukan untuk mencederakan. Kecualilah jika bapa dan cikgu itu ada masalah mental lainlah..

Kepada JR, JR nak ucapkan terima kasih kepada Allayarham ayah dan cikgu kerana pernah merotan JR dulu. Terima kasih ayah dan cikgu kerana pernah merotan saya!!

Tapi ada bapa hari ini terlebih memanjakan anak. Anak kena rotan sikit bapa dah mengamuk dan buat laporan polis. Anak dimanjakan keterlaluan. Patutlah mat rempit, mat ragut dan macam-macam lagi mat yang mengganggu ketenteraman orang ramai semakin berleluasa, kerana mereka membesar sebagai remaja yang tak ada orang berani tegur.

Hari ni pun ada satu berita mengenai cikgu rotan murid di Melaka. Korang nilailah sendiri sama ada cikgu itu yang terlebih hukum atau anak muridnya yang terlebih nakal:



MELAKA – Seorang bapa mendakwa anaknya yang belajar di sebuah sekolah agama swasta sejak hampir dua bulan lalu dirotan sehingga lebam semata-mata kerana kesalahan mengejek kawan-kawannya.

Abdul Rahim Abdul Wahid, 37, mendakwa anaknya, Amir Azamuddin, 14, disebat dengan rotan sebesar ibu jari pada pukul 7.30 pagi Khamis lalu oleh seorang guru Madrasah Tahfiz Al-Quran Ar Rashidin, Alor Gajah sebanyak 10 kali di belakang, bahu kiri dan kedua-dua betis sehingga lebam-lebam dan luka.

Katanya, Amir Azamuddin memberitahu, kejadian mengejek kawan-kawannya itu berlaku di asrama mereka di Taman Seri Bayu, Alor Gajah pada malam Rabu lalu sebelum seorang rakannya mengadu perkara berkenaan kepada guru terbabit keesokan harinya.

“Sebaik menerima aduan, guru itu yang juga seorang ustaz berjumpa anak saya dan tiga lagi rakannya sebelum merotan mereka" kata bapa yang tak berpuas hati anaknya dirotan itu. Kerana marah anaknya dirotan bapa yang baik hati itu telah melaporkan hal itu kepada Pejabat Polis Alor Gajah.

Sementara itu guru yang merotan Amir Azamuddin mengaku dia memang merotan muridnya 'dengan niat mendidik dan mengubah perangai murid tersebut yang didakwanya 'nakal'. Katanya pada hari kejadian, pelajar itu membuli dan mengugut seorang pelajar lain berusia 10 tahun hingga mangsa buli itu takut dan telah lari dari sekolah. Pelajar mangsa buli Amir Azamuddin  itu hanya ditemui semula oleh polis pada pukul 12.00 tengah malam.

Guru tersebut menyatakan selepas menerima aduan itu dia terus menemui Amir Azamuddin dan beberapa murid lain yang terbabit sebelum merotan meraka....(Sumber Harian Metro)

Soalnya wajarkah cikgu merotan murid yang nakal dan tak berdisiplin? Biarkan saja mereka membuli dan mengganggu murid-murid lain, apa peduli, tiap bulan cikgu dapat gaji??


2 comments:

  1. Ayah dia tu tak tgk filem Anakku Sazali kot. Saya rasa, kalau cikgu nak rotan boleh. Tapi jgn rotan kat badan. Dlm Islam pun menganjurkan supaya rotan kat kaki.

    Ibubapa zaman skrg ni mmg pantang kalo anak derang kena rotan. Mungkin sbb derang sendiri tak penah jentik pun anak dia. Ni mesti jenis yg takleh terima hakikat anak dia kurang baik. CUba zaman dulu bila kena rotan kita mengadu kat ayah, confirm kena tambah rotan oleh ayah plak. Tapi skrg, bila anak kena rotan, ayah plak pegi marah cikgu.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....