»

04 March 2012

Kopi Tahi Musang Dah Halal Diminum Pula, Jom Secawan!!!


Salam petang minggu buat semua pembaca blog JR

Masa isteri JR pergi ke Bali, Indonesia, tahun lepas antara barang yang dibelinya ialah kopi luwak. Korang pernah dengar pasal kopi luwak tak? Kopi luwak ialah sejenis kopi dari Indonesia yang dihasilkan dari tahi musang. Musang yang memakan kopi akan mengeluarkan semula biji kopi yang dimakannya  melalui ususnya. Ia menghasilkan kopi yang dikatakan berbau sangat harum dan rasanya tersangatlah sedap. Sebab itulah harga kopi luwak ni  sangat mahal.

Harga kopi  luwak mencecah sehingga AS$800 (RM2,422) sekilogram bila dijual di Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura. Secawan kopi luwak yang diiktiraf antara kopi yang termahal di dunia mampu mencecah harga sehingga AS$100 (RM300) secawan di beberapa lokasi terkemuka di London. Tu dia....RM300 secawan beb!!!

Tapi kopi luwak yang isteri JR beli tu cuma tersimpan di dapur. Harganya kata isteri JR tak mahal sangat. Kopi ni belum pernah digunakan lagi. Ini kerana ketika itu ada ulamak Malaysia yang mengeluarkan fatwa kopi itu tidak halal diminum kerana ia dikeluarkan melalui saluran najis musang.

Tapi hari ini JR terbaca Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan sebaliknya pula mengenai kopi luwak ni:




PUTRAJAYA: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-98 yang bersidang pada 13 hingga 15 Februari lalu, memutuskan hukum minum `kopi tahi musang’ atau kopi luwak adalah harus.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berkata biji kopi berkenaan mesti masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam, serta perlu disucikan terlebih dulu daripada najis.

Pada masa sama, kopi luwak yang dihasilkan juga perlu mendapatkan sijil pengesahan halal daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.

“Selepas meneliti keterangan, hujah dan pandangan yang dikemukakan, muzakarah menegaskan bahawa Allah memerintahkan umat-Nya supaya memilih rezeki yang halal dan memakan makan yang baik.  Muzakarah juga berpandangan bahawa kaedah fiqhiyyah (fiqah) menetapkan, hukum asal mengenai sesuatu adalah harus selagi tidak ada dalil muktabar (dalil kuat) yang mengharamkannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.


Katanya, ulama fiqh muktabar menjelaskan bahawa mana-mana bijian yang dimuntahkan oleh haiwan atau yang keluar bersama najis haiwan itu, selagi mana ia tidak rosak dan masih kekal dalam rupa bentuknya yang asal atau jika ditanam ia mampu tumbuh, maka ia dihukumkan sebagai
mutanajjis (bukan najis).
 
Kenyataan itu, selaras dengan penegasan dan pandangan itu, muzakarah bersetuju memutuskan biji kopi luwak adalah bersifat mutanajjis dan harus dijadikan bahan minuman.(Sumber: Berita Harian)


Hmmm....petang ni JR nak cuba intai-intai kat dapur di mana kopi tahi musang tu tersimpan. Nak cuba rasa kesedapannya, keharumannya. Tapi hmmmm...walaupun hukumnya harus, boleh ke tekak JR menerimanya? Dan satu lagi yang amat penting, kopi yang dibeli dari Bali yang kebanyakan penduduknya beragama Hindu itu tak ada  cop  Jakim. Kalau macam tu kopi kat dapur tu dijadikan pameran ajelah....


1 comment:

  1. baru je minggu lepas lecturer citer pasai kopi ni.. kata beliau, sedap..

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....