Salam pagi Khamis buat semua pembaca blog JR.
JR bukan nak kritik polis jika tajuk entri ini boleh membawa maksud sedemikian. Apa yang nak diceritakan di sini tidak ada kena mengena dengan mana-mana anggota polis Malaysia. Polis adalah manusia biasa dan setiap manusia biasa ada baik dan buruknya. Dan sudah jadi lumrah hidup kita lebih tertarik kepada cerita-cerita buruk dari baik.
JR tertarik dengan satu berita di Indonesia bagaimana rakyat mereka 'mengajar' perangai anggota polis dan sistem keadilan yang kelihatan berat sebelah. Ia bermula apabila seorang budak berusia 15 tahun didapati bersalah oleh mahkamah daerah Sulawesi Tengah semalam kerana mencuri selipar seorang pegawai polis.
Hakim yang membicarakan budak itu mendapati dia bersalah dan mengenakan hukuman penjara sehingga lima tahun tetapi dibebaskan semula untuk diberi kaunseling sahaja.
Mengikut berita, anggota polis yang seliparnya dicuri itu bersama beberapa rakannya telah berjaya menahan budak yang mencuri seliparnya dan kemudian mereka beramai-ramai membelasah budak itu dengan teruk. Polis berkenaan yang masih tak berpuas hati kemudiannya telah telah meminta budak tersebut menggantikan semula selipar yang dicuri itu.
Masyarakat Indonesia yang marah dengan mahkamah dan geram dengan tindakan pegawai polis yang meminta selipar buruknya diganti dengan selipar baru menunjukkan protes mereka melalui 'kempen mengumpul selipar'. Mereka melambakkan lebih 1,200 pasang selipar di pusat pungutan di seluruh negara sebagai tanda sokongan terhadap budak yang dihukum penjara itu. Ia juga sebagai sindiran kepada pegawai polis yang meminta selipar buruknya itu diganti oleh budak itu.
“Tindakan yang ditunjukkan rakyat dan orang awam ini jelas menunjukkan mereka tidak setuju dengan jenayah yang membabitkan remaja. Namun undang-undang perlu menunjukkan keadilan. Dalam kes ini hanya membabitkan kecurian selipar dan kebetulan ia dimiliki seorang pegawai polis," kata Arist Merdeka Sirait, pengerusi Suruhanjaya Pelindungan Kanak-Kanak Indonesia.
JR tertarik dengan cara rakyat Indonesia melakukan protes cara diam ini. Tak perlu berdemonstrasi, tak perlu menjerit, tak perlu baling selipar kepada hakim mahkamah, tak perlu baling selipar kepada pegawai polis, tapi cukup hanya dengan mengumpul selipar untuk menunjukkan mereka tak setuju kepada sesuatu tindakan pihak berkuasa..
betul tu..cara begini pun sudah cukup sinis untuk mengajar orang2 seperti anggota polis tu..
ReplyDelete