Selamat tahun baru 2012 buat semua pembaca blog JR.
Sejak kecil, bila ada rakan atau sesiapa saja yang bertanya, "Apa azam tahun baru hang??", JR akan bertanya balik, "Mengapa perlu ada azam tahun baru? Kalau tak ada azam, dunia akan kiamat ke??"
Sebenarnya JR tak pernah ada azam tahun baru. JR sesungguhnya sangat heran mengapa setiap hujung tahun baru sebahagian kita nak bermuhasabah diri kemudian berfikir tentang apa yang nak dibuat tahun berikutnya? Setahun sekali baru nak buat azam, ia satu idea yang sangat mengarut!!
JR tak pernah ada azam tahun baru. Tanpa azam tahun baru pun, Allah masih membekalkan kita oksigen untuk dihirup dan keyakinan untuk meneruskan hidup. Dan dunia tak pernah pun kiamat kerana JR dan sebahagian kita tak punya azam tahun baru. Betul kan??
Sebenarnya pada pandangan JR, sikap menanam azam tahun baru cumalah sekadar ikut-ikutan, orang sibuk bercakap tentang azam tahun baru, kita pun terikut-ikut kononnya nak berazam juga. Hinggakan ada yang malu bila ditanya apa azam tahun baru mereka kerana idea itu tak pernah terlintas dalam fikiran mereka sebelumnya. Lalu bila ditanya tentang azam tahun baru akan keluarlah idea-idea spontan yang kadang-kadang sangat mengarut dan tak mungkin tercapai.
Sebenarnya masyarakat kita sudah di peringkat mudah merasa malu jika ketinggalan dari mengikuti idea-idea yang kononnya terkini seperti azam tahun baru. Orang memasang azam, kita juga mahu berazam. Lalu bila ditanya kita pun mencipta azam tahun baru yang sebenarnya cuma secebis mimpi di siang hari.
Bagi JR, jika pun nak berfikir tentang azam, biarlah sesuatu yang bersifat harian dan bukannya setahun sekali. Katakan pada diri setiap hari bahwa esok adalah lebih baik dari hari ini. Kita tak perlu menunggu akhir tahun untuk bermuhasabah diri, tiada salahnya setiap malam sebelum memejam mata, elok diingati kembali apa yang telah dilakukan sepanjang 24 jam tadi. Kiranya ada yang tak kena, ada yang kekurangan, esok harus kita perbaiki.
Tapi jika korang masih terikut-ikut untuk membina azam tahun baru, silakan. Asalkan apa yang diazamkan jadi kenyataan tahun berikutnya, ia memang sangat baik. Tapi jika azam tahun baru cuma angan-angan yang tak akan pernah diingati lagi selepas itu, jadilah seperti JR yang tak payah membuang masa untuk berfikir tentang azam-azam mengarut...
Apa yang penting lakulah yang terbaik supaya hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini...
No comments:
Post a Comment
Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....