Semalam ada seorang rakan bertanya aku: apa azam tahun baru hang?
Aku tak menjawab soalannya. Tapi aku tanya dia balik: Yang hang pula, apa azam tahun baru hang?
Kawan itu lantas menjawab: nak kumpul duit beli Mercedes!!
Semoga hajat kawan itu dipenuhi Allah pada tahun ni. Sama ada Mercedes yang dimaksudkannya model baru C Class, CL Class, CLC Class, E Class, S Class atau model lama tahun 1970 dan 1980, Mercedes tetap juga Mercedes. Mercedes lama yang banyak teksi pakai tu pun, Mercedes juga, harganya pun murah saja, tak sampai RM10,000.00.
Itu azam tahun baru 2011. Aku tanya kawan itu pula: adakah dia punya azam tahun 2010? Jawabnya: ada!
Lalu aku tanya dia balik: apa azam hang tahun 2010? Kawan itu mendongak langit, menggaru kepala dan tiba-tiba sambil tersengih memaparkan giginya yang sedikit rongak menjawab,"Entah...tak ingat!!"
Itulah... sebahagian kita hanya menjadikan azam tahun baru sebagai trend topik bualan tahun baru. Sebab orang ada azam tahun baru, kita pun kononnya ada juga azam tahun baru. Tapi kita tak serius dengan azam itu, tak pernah review balik setiap bulan dan akhirnya selepas 12 bulan terlupa apa azamnya itu!! Malang sungguh!!!
Dan aku pula? Aku tak pernah pasang azam tahun baru, tak pernah...never & never. Sebelum tidur aku hanya punya satu nawaitu: semoga esok aku menjadi manusia terbaik di planet bumi ini. Dan bila bangun pagi aku ulangi nawaitu itu: menjadi manusia terbaik di planet bumi. Jadi aku tak perlu pasang azam tahun baru, kerana setiap hari aku ada azam tersendiri, azam sepanjang zaman.....
Mengapa aku mau menjadi manusia terbaik di planet bumi? Ini kerana aku seringkali dikelilingi manusia-manusia yang sudah hilang sifat manusiawinya, sudah hilang kemanusiaannya dan justru aku selalu memasang impian dan doa semoga Allah mengurniakan aku sifat yang berbeza dengan mereka....menjadi benar-benar manusia dalam dunia di mana ramai manusia berhati binatang...
Dan korang pula, apa azam tahun baru korang? Jika korang ada azam tahun baru aku nak tanya sikit: mengapa azam tahun baru selalu muncul pada awal tahun Masehi, awal tahun kalendar Barat? Mengapa azam tahun baru itu tidak ditanam pada awal tahun Hijrah, awal tahun kalendar Islam? Korang takut kena sumpahan Allah ke jika azam tak tercapai?
Atau seperti dalam entry aku semalam di sini yang menyatakan sambutan tahun baru (termasuk azam tahun baru) itu adalah berteraskan budaya Roman dan Kristian, korang tak mahu azam tahun baru dipasang pada tahun baru 1432 Hijrah tapi pada tahun 2011 Masehi kerana...kerana...kerana korang takut disumpah oleh Jesus ke? Atau korang takut jika azam tahun baru tu dibuat mengikut kalendar Islam dunia akan kiamat esok??
~ JR
entry terbaikla JR..hehehee memang cun,
ReplyDelete