»

30 September 2014

Ibu Mentuaku (Bukan Versi P.Ramlee)


Ini bukan filem versi P.Ramlee. Ini tentang kisah hidup JR yang tak akan difilemkan. Kebetulan di dalamnya ada karektor ibu mentua - ya, ibu mentuaku..
Sejak kecil JR menyimpan niat untuk bersama mak dan ayah sendiri ketika mereka di penghujung usia - menjaga mereka, menyediakan ubat ketika  mereka sakit, sesekali menyediakan makanan dengan tangan JR sendiri. Bila mereka sakit tenat pula, tolong ajar mereka mengucap syahadah, berdoa dan membaca Yasin dalam keadaan mereka masih sedar. Itulah cita-cita JR sejak kecil.


Tapi semuanya itu tak kesampaian. Takdir Tuhan berbeza dari cita-cita masa kecil.

Ayah JR meninggal di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang ketika JR sedang bekerja di KL. Tak sempat langsung membaca Yasin untuknya ketika dia  sedang nazak, apa lagi mengajar dia mengucap syahadah. Membaca Yasin ketika ayah sudah terbujur kaku tanpa nyawa tidak sama dengan ketika dia masih mendengar suara anaknya..

Begitu juga dengan mak. Tak pernah sekali pun seumur hidup JR memasak untuknya, menyediakan air untuknya, apa lagi mengurus kencing beraknya di hujung usianya jauh sekali. Dia sentiasa sihat bila balik ke kampung dan JR tak berpeluang melakukan apa-apa yang membanggakannya ketika itu.. 

Sehari sebelum mak meninggal, JR sempat pulang ke rumah pusaka di Pulau Pinang menjenguk mak yang sedang tenat. Tapi ketika itu mak sudah dalam keadaan koma. Dalam kedaaan dia tak sedar itu sempat juga membaca Yasin berpuluh kali dan mengajar dia mengucap syahadah walaupun JR tak pasti dia mendengarnya atau tidak. Dan akhirnya mak pergi dengan tenang di depan JR tanpa menyedari kehadiran anaknya ini.

Beberapa tahun kemudian selepas kematian mak dan ayah, Allah memberi kepada JR apa yang pernah JR niatkan kepada dua ibu bapa JR dulu:

i) Tiga tahun lepas, bapa mentua JR meninggal. Kebetulan JR berada di rumah adik ipar ketika bapa mentua sedang sangat uzur dan tenat. Sempat juga JR mengajar bapa mentua mengucap dan dia dalam kepayahan mengikutinya. Sempat juga JR membaca surah Yasin 4 pusingan sebelum keadaannya lebih kritikal dan meninggal beberapa jam kemudian. 

Rupanya apa yang JR pernah niat untuk lakukan kepada bapa sendiri di hujung usianya tak kesampaian, tapi Allah menganugerahkan bapa mentua untuk mencapai niat itu...

ii) Kini selepas bapa mentua meninggal, mak mentua tinggal di rumah JR. Dengan ibu kandung JR tak pernah menyediakan makanan dan minuman, tapi kini dengan mak mentua yang tinggal serumah, JR melakukannya setiap hari.

Setiap hari JR bangun paling awal, sejam sebelum isteri bangun. Di samping menyediakan breakfast untuk anak-anak yang nak ke sekolah, JR juga menyediakan breakfast  untuk mak mentua. Mak mentua pesakit diabetes kronik, makanan dan minuman yang disediakan untuknya berbeza dengan anak-anak. Selain breakfast, JR juga menyediakan ubat-ubat untuk mak mentua - 6 jenis ubat, termasuk darah tinggi, diabetes dan vitamin. 

Tengahari juga JR pastikan mak mentua disediakan makanan dengan sempurna.  Paling penting perlu ada ayam goreng berempah yang JR goreng sendiri - menu wajib yang paling digemarinya. Menu lain boleh dibeli di kedai tapi bab ayam goreng berempah dia hanya suka hasil air tangan menantunya sendiri. Kecuali tengahari itu tak dapat pulang ke rumah, terpaksa dicari alternatif lain.

Cuma untuk makan malam barulah isteri JR ambil alih tugas menyediakan makanan untuk ibunya. 

Memang kadang-kadang perlu lalui saat-saat tidak selesa bila menjaga orang sakit yang bukan sejenis dengan kita. Pernah satu masa ketika isteri bercuti di Medan, mak mentua terjatuh pengsan di bilik air tanpa sesiapa menyedarinya. Bila JR sampai ke rumah kelihatan dia terlentang di bilik air dengan bau hancing kerana tak sempat membasuh air kencingnya. Dalam keadaan itu terpaksalah JR membasuh kencing dan menyalin pakaiannya yang kotor. Memang rasa sangat tak selesa jika kita sebagai lelaki terpaksa membersihkan tubuh seorang wanita, walaupun dia ibu mentua sendiri. Tapi itulah satu-satunya pilihan yang ada ketika itu.

Bila mengingati semua itu rasa betapa bersyukur pada Allah atas  segala kebesaranNya. Apa yang JR tak sempat lakukan kepada mak dan ayah kandung sendiri, Allah memberi peluang melakukannya kepada mak dan bapa mentua di suatu masa yang lain.

Maha Besar Allah yang merancang segala yang terbaik untuk hambaNya...

11 comments:

  1. beruntunglah kamu JR. Besar pahalanya berkhidmat menjaga org tua.

    ReplyDelete
  2. memang beruntung bermenantukan orang seperti JR ni, kagum saya.

    ReplyDelete
  3. alhamdulillah ade menantu yg hebat budinya cam JR nie..untung keluarga JR seluruhnya...bila baca nie teringat akan pengalaman jaga Makmentua yg jatuh sakit tiba2, terpaksa pakai lampin bagai..ms tuh perasaan jijik tuh tolak tepi kesian lebih menebal...
    menjaga orang tua bagai investment tuk kita sendiri..inshaallah kalau kita jg orang tua kita, bila turn kita plak mesti Allah jaga kita...inshaallah

    ReplyDelete
  4. Bertuah ibu mertua JR..
    Moga ibu mertua JR kuat dan sihat hendakNYA.. begitu juga JR dan keluarga..

    ReplyDelete
  5. rencana ALLAH terkandung hikmah yg tak terjangkau dek akal kita....alhamdulillah..saya sangat seronok membaca kisah2 yg baik antara menantu-mertua...

    ReplyDelete
  6. alhamdulillah niat utk berbakti itu tercapai walaupun bukan ibu bapa kandung. hanya org baik shj ada niat begitu. untung isteri dot suami spt bro Jr nih :-)

    ReplyDelete
  7. Alhamdulillah tercapai hajat bro JR walaupun bukan pada kedua ibu bapa kandung. Sekurangnya Allah dah tunaikan yang lebih kurang sama.

    ReplyDelete
  8. Alhamdulillah..rezeki abg JR... diberi peluang berbakti dgn ibu bapa walaupun bukan sedarah sedaging...memberi azam utk sy melakukan hal yg sama....insyaAllah..

    ReplyDelete
  9. Niat yg sgt murni, dpt gak direalisasi walaupun dgn mertua. Insya Allah murah rezeki JR sbb berbakti kpd ibubapa.

    ReplyDelete
  10. Alfatihah buat arwah mak ayah JR. Nampaknye Allah menjadikan impian JR menjadi kenyataan. Alhamdulillah. Niatlah berbakti demi menebus kembali ape yg JR tak dapat buat kat parents JR dulu. :)

    ReplyDelete
  11. lakukanlah dgn sebaik mungkin . saya juga menjaga ibu yg uzur . utgnya my bonda x de sebarang jenis penyakit ... jika niat kita melakukannya krn allah , insha Allah , Allah akan permudahkan semuanya ...

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....