»

03 October 2013

Susahnya Jadi Orang Gemuk (Kisah Pengalamanku)


Bila melihat iklan ubat pelangsing badan, JR selalu tak dapat menahan ketawa. Tak la sampai ketawa bergolek-golek atas lantai bila tengok iklan tak masuk akal itu, tapi memang suara terkekek-kekek menahan gelak biasalah. Ini kerana JR teringat peristiwa silam...

Ia sebenarnya peristiwa lama, peristiwa lebih 15 tahun dulu. Ketika itu berat badan JR 80 kg. Memang bila timbang masa tu tepat 80 kg, bukan 81 kg atau 79 kg. Agaknya masa tu kalau tunggu setahun lagi mungkin akan naik 90 kg. Bayangkan dengan ketinggian 168 cm dan berat badan 80 kg, ia sudah masuk kategori obesiti.

Yang paling tak selesa bila masuk dalam kategori obesiti ini ialah nafas mudah tercungap bila buat kerja berat sikit. Waktu itu JR kerja di Damansara Height, KL, tempat parking pula di bawah bukit, kena jalan kaki pula untuk ke ofis. Bila terpaksa panjat ofis di tingkat 4 setiap pagi (pejabat empat tingkat itu tak ada lif), selalu rasa nafas tercungap-cungap. Apa lagi bila berada di tingkat bawah, tengok jam cuma tinggal 1-2 minit lagi sebelum pukul 8 pagi, bila bergopoh-gopoh panjat tangga untuk ke tingkat empat, memang berpeluh dan rasa seperti nak putus nyawa!

JR dah ikhtiar macam-macam untuk kurus. Pertama pantang makan, hingga pernah makan beras rebus yang diimpot dari India yang warnanya agak perang dan bila dimasak mengeluarkan bau yang sangat TAK HARUM! Beras ini kononnya baik untuk kesihatan kerana kandungan kanjinya dah dibuang. Selain itu cuba juga pelbagai ubat pelangsing badan.

Tapi hasilnya apa? Pantang punya pantang, sampai makan nasi beras berbau busuk, habis duit dengan ubat pelangsing, tapi berat badan cuma turun 1-2 kg dan lepas itu naik balik...

Hingga suatu hari boss JR mengarahkan JR menghadiri satu kursus wajib dalam perkhidmatan (Kursus Pengurusan) selama tiga bulan di sebuah institusi latihan di Sungai Petani. Ketika itu memang tak suka sangat nak pergi kursus di Sungai Petani. Maklumlah kena tinggal isteri tercinta di KL yang kebetulan sedang mengandung 5 bulan lebih. Kesian dia...sayang isteri ditinggal-tinggal. Bukan tinggal sehari dua, tiga bulan pula tu. Dia pula ada kerjaya sendiri, kalau suri rumah sepenuh masa senanglah, boleh hantar ke rumah ibu bapanya di Alor Setar.

Kursus 3 bulan di Sungai Petani itu memang satu kursus yang sangat padat. Pagi-pagi setiap Ahad hingga Khamis (Jumaat dan Sabtu cuti) perlu bangun awal, lepas solat Subuh pukul 6.30 pagi perlu berada di padang untuk bersenam. Biasanya ia dimulai dengan senaman ringan yang diketuai oleh instruktor kami, Mr Roger. Kemudian para peserta perlu berlari anak sejauh 4 km. Lepas itu sambung senaman lagi dengan pelbagai gerakan pantas selama sejam.

Lepas senaman selama satu jam, baru boleh breakfast. Pukul 8.30 pagi pula perlu berada dalam kelas hingga pukul 5 petang. Pukul 5.30 petang perlu berada atas padang sekali lagi untuk senaman dan sukan. Kena lari 4 km lagi diikuti pelbagai aktiviti senaman lasak.

Pukul 7 petang baru aktiviti senaman petang selesai. Lepas solat maghrib berjemaah, pukul 8.30 malam masuk ke kelas semula hingga pukul 11.30 malam.

Itulah rutin kami setiap hari selama tiga bulan itu. Pagi senaman selama sejam dan petang pula senaman lagi selama satu setengah jam. Kebanyakan masa lain pula berada dalam kelas dari pukul 8.30 pagi hingga 11.30 malam.

Lepas satu bulan JR rasa pinggang seluar macam longgar satu macam. Bila pergi timbang berat badan, terkejut bukan main, berat badan dah menggelunsur turun dari 80 kg menjadi 74 kg!

Begitulah seterusnya hingga bulan ketiga berkursus. Seminggu sebelum kursus tamat, kami sekali lagi diwajibkan membuat pemeriksaan kesihatan. Bila timbang berat badan...alamak...dah tinggal 65 kg saja! Macam tak percaya..dalam masa 3 bulan berkursus  hilang berat badan sebanyak 15 kg tanpa perlu berlapar, tanpa perlu ubat..

Pada hal ketika berkursus JR makan bukan main banyak. Maklumlah selama kursus kami di'wajib'kan makan 6 kali sehari, bukan 3 kali sehari seperti di rumah. Mula-mula breakfast pukul 7.30 pagi, kemudian minum pagi pukul 10.30 pagi, makan tengahari pukul 1.00 tengahari, minum petang pukul 4.15 petang, makan malam pukul 7.45 malam dan akhir sekali supper pukul 11.45 malam.

Makan, makan dan makan, sedap-sedap pula tu, tapi berat badan susut 15 kg! Segalanya kerana senaman yang teratur. Tak perlu berpantang makan, tak perlu habisklan duit untuk beli ubat langsing yang sangat mengarut. Senaman secara teratur adalah cara terbaik untuk menurunkan berat badan.

Balik dari kursus JR memang tak pernah tinggalkan senaman hingga sekarang, setiap hari joging 6 km sehari selama lebih kurang sejam (termasuk regangan) kecuali hujung minggu rehatkan kaki sekejap.... Jika tak dapat joging waktu petang, waktu pagi-pagi buta sebelum Subuh JR akan berjoging mengelilingi padang bola berdekatan rumah. Mula-mula takut juga dikejar anjing sesat di pagi-pagi buta macam tu, tapi lama-lama anjing pun dah jemu untuk menyalak.

Sekarang walaupun dah lebih 15 tahun kursus 3 bulan itu selesai, tapi JR masih kekalkan berat badan pada tahap yang hampir sama antara 65 kg hingga 68 kg saja. Kadang-kadang pernah juga naik hingga 70 kg, tapi lepas joging lebih sikit selama beberapa minggu, insyallah berat badan akan turun balik. Sekali tu kerana terlebih joging, berat badan pernah jatuh sampai 62 kg, bila kawan-kawan lama jumpa, soalan wajib mereka ialah: "Sakit ke??". Lalu kena kendurkan sikit senaman supaya berat badan naik balik sedikit.

                                        

































Jadi bagi korang yang menghadapi masalah berat badan, tak perlulah diet berlebih-lebih sangat. Tak perlu juga makan ubat pelangsing badan. Semua tu mengarut saja..

Yang penting kena rajin bersenam, masa bukan halangan untuk bersenam, nawaitu untuk kekal sihat itu yang utama.  Janganlah manja-manjakan sangat badan tu atas perlbagai lasan tak logik. 

Tak payahlah sayangkan sangat lemak dalam tubuh, nak menternak lemak tu berpada-padalah....

10 comments:

  1. Wah bro JR. Siap berposing lagi tu. Hehe. Kalau dulu mesti moral down kalau nak posing macam tu.

    ReplyDelete
  2. saya tak suka sesangat,bila kita kurus sikit,ramai yg bertanya...sakit ke?tak lalu makan ke..??
    bila berisi..ditanya pulak..lalu makan kut...senang hati kut...

    ReplyDelete
  3. terbaik ni, boleh ajukan pada yang lain2. apa2 hal, senaman jugak ubat paling ajaib. yang penting kena taat dengan rutin tu...

    ReplyDelete
  4. Wow..6km setiap hari.
    Saya rasa ni mmg testimoni terbaik...bukti cuma dgn senaman yg teratur kita boleh kurus...dan sihat. Testimoni bergambar lagi..

    ReplyDelete
  5. Wahh, Kuat semangat time tu ye. Kalau saya pulak makan banyak mana pun tapi tak naik2 jugak. Aishh, masalah jugak. Apa2 pun masih bersyukur :)

    ReplyDelete
  6. Ni... macam camdek IM jer...

    Apapun, ini perkongsian yang baik. IM pun pernah baca pengalaman yang sama seperti JR.

    TK. insyaAllah, IM akan cuba fikir bagaimana untuk amal seperti ini...

    ReplyDelete
  7. betul la. mmg exercise je cara utk kurus. gmbr jr masa 80kg tu taknak share ke?

    ReplyDelete
  8. biar sy teka di mana JR berkursus hihi .INTAN eh..., pasal bersenam tu sy perlukan istiqamah...tang tu yg problemnya. insyaAllah..insyaAllah sy dah dapat kesedaran dari entri ini .

    ReplyDelete
  9. Setuju sgt dgn bro. Cara paling jimat kos tp berkesan. Pokok pangkal mesti ada disiplin dan azam yg kuat. Sy pun tak larat nk joging 6km tu. Nasib baik ada machine tummy slimmer. Buat 10 min je tp buat hari2. Alhamdulilah berkesan.

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....