»

19 September 2013

Kisah Bangsal Anjing Pak Mie (Muhammad Azmi Ismail)


Beberapa hari ni heboh di beberapa akhbar mengenai kisah hidup seorang pencinta haiwan bernama Pak Mie (Muhammad Azmi  Ismail 55 tahun) dan isterinya Halija Idris (65 tahun) dengan 700 ekor anjing dan 100 ekor kucing peliharaan mereka. 

Sebenarnya kisah hidup Pak Mie dan anjing-anjing dan kucing-kucing peliharaannya bukan rahsia besar kepada orang Alor Setar, kerana ramai yang mengetahui tentang pusat perlindungan haiwan (lebih sesuai dipanggil kandang) seluas 500 meter persegi yang dibina Pak Mie di tanah rizab kerajaan berdekatan Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar. Pak Mie akan mengutip mana-mana anjing dan kucing terbiar dan menempatkannya di kandang yang dibinanya di atas tanah kerajaan itu, memberi makan, malah memandikan binatang-binatang itu.


                    (Gambar foto dari blog Pak Mie)

JR sendiri pernah melalui kawasan kandang pemeliharaan anjing dan kucingnya itu yang terletak cuma kira-kira 4 km dari rumah JR. Tapi setakat melalui saja, JR sendiri tak pernah mendekati kandang haiwan yang dibina Pak Mie, kerana sejujurnya JR seorang yang sangat fobia dengan anjing (kerana masa kecil ada pengalaman ngeri dikejar anjing dan ia berulang 3 tahun lepas!).

Kisah hidup Pak Mie cuma menjadi heboh baru-baru ini apabila Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memberi notis kepada Pak Mie untuk merobohkan kandang anjing dan kucingnya itu, kerana ia dibina atas tanah kerajaan. Jika Pak Mie tidak merobohkan kandang haiwan itu sebelum 19.9.2013 (hari ini) MBAS sendiri akan merobohkannya. Tapi mengikut jiran-jiran JR, isu utama kandang perlindungan haiwan Pak Mie ini bukan kerana ia terletak atas tanah kerajaan, tapi disebabkan rungutan jiran-jiran Melayu di taman perumahan itu yang tidak senang dengan bau tidak nyaman dan kebisingan akibat salakan anjing-anjing peliharaan Pak Mie.

Dan berikutan notis dari MBAS itu, timbullah desakan dari beberapa NGO yang meminta MBAS atas dasar peri kemanusiaan  menangguhkan kerja perobohan kandang anjing dan kucing Pak Mie. Pak Mie sendiri telah merayu supaya dia diberi sedikit masa untuk berpindah ke tapak baru dan meminta MBAS supaya 700 ekor anjing dan 100 ekor kucing terbiar peliharaannya tidak dimusnahkan.

Tapi hari ini Pak Mie boleh menarik nafas lega. Pagi tadi MBAS mengadakan mesyuarat mengenai isu ini dan mengambil keputusan untuk menangguhkan kerja-kerja merobohkan kandang perlindungan haiwan Pak Mie itu hingga bulan Disember. Dengan itu Pak Mie masih ada masa kira-kira dua bulan lebih lagi untuk mencari tapak baru bagi menempatkan anjing-anjing dan kucing-kucing terbiar peliharaannya. 

Untuk makluman korang, Pak Mie juga mempunyai blognya sendiri PakMieShelter. Tapi JR tengok blognya itu dah agak lama juga tak dikemaskini.

Semoga Pak Mie dan isteri tabah meneruskan usaha murninya memelihara haiwan terbiar... Apa yang penting sebagai seorang Islam bermazhab Shafie (jika Pak Mie bermazhab Shafie), kebersihan tubuh perlu diutamakan ketika berdampingan dengan anjing-anjing peliharaannya.



HUKUM ORANG ISLAM MEMELIHARA ANJING:

Alor Setar: Orang ramai khususnya yang beragama Islam dibolehkan memelihara anjing untuk tujuan tertentu, tetapi diwajibkan melakukan samak jika terkena jilatan atau air liur atau bersentuhan (basah) dengan haiwan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, bagi isu Md Azmi Ismail, 55, atau Pak Mi yang memelihara kira-kira 700 anjing, dia dan isterinya berbuat demikian kerana terlalu menyayangi binatang terbiar itu.

Menurutnya, perlakuan manusia sama ada harus atau sebaliknya banyak bergantung pada niat seseorang, namun anjing yang dibela dengan tujuan membantu menjaga ternakan seperti ayam atau itik adalah diharuskan.

“Dalam surah al-Maidah diterangkan bahawa anjing yang diajar dan terlatih harus digunakan seperti berburu dan harus makan buruannya, cuma keadaannya yang najis memerlukan kita untuk menyamak jika tersentuh anjing berkenaan.

“Sebahagian ulama tafsir menyatakan bahawa ar-Raqiim adalah nama seekor anjing yang menyertai pemuda Ashaabul Kahfi. Sebenarnya, sebelum Eropah memperkenalkan organisasi pencinta binatang, al-Quran dan sunnah sudah menganjurkan untuk memelihara dan menyayanginya, berkaitan anjing yang ditemukan dalam al-Quran dan al-Hadis dalam bentuk kemanusiaan.

“Perkara ini sesuai dengan kedudukan manusia sebagai Khalifah di muka bumi. Al-Quran juga membolehkan menggunakan anjing dan binatang buas yang diajar untuk berburu dan hasil buruannya, selama tidak dimakannya walau sedikit adalah halal dimakan oleh sesiapa pun,” katanya.

Beliau berkata, dalam pada itu, Nabi Muhammad SAW juga menegaskan dalam sebuah hadis bahawa ada seorang bergelumang dengan dosa, tetapi dosanya diampunkan Allah kerana memberi minuman kepada seekor anjing yang kehausan.

“Selepas dikumpul semua hadis, dapat dibuat kesimpulan adalah harus memelihara anjing yang terlatih seperti untuk berburu, menjaga kebun, keselamatan dan keperluan yang bermanfaat,” katanya.

- myMetro 22 Feb 2013

9 comments:

  1. byk sungguh anjing yg di bela nya....sampai 700 ekor dh huhuu

    ReplyDelete
  2. 700 ekor anjing...hehe kalau menyalak mmg la bingit jadinya...

    saya jugak amat takutkan anjing...masa sekolah dulu pernah dikejar anjing ketika berbasikal...sekarang pun kalau tgk anjing2 sesat,lalu depan rumah..tetap rasa takut..

    ReplyDelete
  3. Mmg elok niat pak mie ni, cuma sbg langkah berhati2 & menjaga agama (mazhab kita cuma benarkan bela anjing utk tujuan keselamatan/keperluan)... sebaiknya dia serahkan pd non muslim. Dia boleh bela kucing je.
    Setakat saya tahu gitulah...

    ReplyDelete
  4. Banyak betul anjing yang dibela pak mie nie. Mana dia nak pindah lepas ni.

    ReplyDelete
  5. salam jay ar
    Kagum dgn pecinta haiwan.

    ReplyDelete
  6. Moga niat dan pbuatan baiknya suami isteri dlm mberi perlindungan dan jagaan pd haiwan2 tu dberi gnjaran yg besar d sisiNya..moga Allah pmudahkan sgala urusannya..amin

    ReplyDelete
  7. uishh sampai beratus ekor mmg super duper bisinglah.... pak mie juga harus utamakan perasaan jiran jiran sepadan dgn niat dia membewa binatang tuu...

    ReplyDelete
  8. Niat dia memang murni tetapi bagi saya perasaan was-was terhadap kebersihan mengikut agama tetap ada.

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....