»

16 August 2013

Pengalaman Bedah Gigi....Sakitnya Mak Oooooiiii!!!


Beberapa hari ni JR agak sibuk. Itulah sebabnya dah hampir seminggu JR tak bersiaran. Mula-mula sibuk berhari raya dari rumah ke rumah dan menghadiri rumah terbuka. Punya la sibuk sampai puasa enam baru sempat buat  sehari...ada lima hari lagi!

Tiga empat hari ni pula JR sibuk dengan urusan pembedahan gigi di Unit Pembedahan Mulut, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar. Bukan JR yang kena bedah tapi anak bujang kedua JR yang kami panggil Angah aka Ngah yang dibedah gigi. Pembedahan besar, sebab bukan sebatang gigi Angah yang terpaksa dibuang, tapi lima gigi serentak! Masuk Dewan Pembedahan HSB pukul 3.30 petang, pukul 8.15 baru Angah dihantar balik ke wad. Hampir 5 jam juga untuk melapah gusi dan langit-langit Angah bagi mengeluarkan 5 batang giginya itu.

Sebenarnya masalah gigi Angah mula dikesan kira-kira 2 tahun lepas ketika dia membuat pemeriksaan kesihatan untuk memasuki UTHM. Ketika itu doktor gigi telah memaklumkan gigi taring Angah tumbuh secara tidak teratur, ia tumbuh secara condong dan menikam gigi di sebelahnya. Ketika itu doktor bertanya Angah nak dibuang ke gigi taring tu atau tidak. Kalau tak buang doktor beri amaran di masa depan ia mungkin akan sakit bila gigi taring mula menikam gigi di sebelahnya. Tapi kerana tak sakit, Angah kata tak payah buanglah dulu.

Dan kini, selepas dua tahun, apa yang diramalkan doktor gigi itu betul-betul berlaku...

Seminggu sebelum Raya Angah mula merasa kesakitan kerana gigi taringnya mula menerjah gigi di sebelahnya. Selepas membuat x-ray, doktor gigi di HSB memaklumkan gigi taringnya yang bermasalah itu perlu dibuang.  Selain dari itu hasil penelitian doktor mendapati gigi bongsunya juga tumbuh secara tidak teratur dan perlu juga dibuang. Bila dicampur-campur 5 batang gigi iaitu sebatang gigi taring dan 4 batang gigi geraham bongsunya perlu dibuang serentak. Cuma gigi taring yang boleh dibuat cabutan biasa, gigi geraham  bongsu pula perlu dibedah kerana akar gigi-gigi geraham bongsu itu tumbuh secara tak teratur.

Dan Isnin baru-baru ini bermulalah segalanya....

11.8.2013 (Isnin)

.Pukul 10 pagi JR bawa Angah ke Unit Bedah Mulut HSB.
.Tengahari doktor pakar dibantu dua doktor gigi memeriksa gigi Angah. Selepas sejam melalui pemeriksaan rapi, JR diberitahu Angah perlu ditahan di wad hospital hingga pembedahan selesai. Pembedahan dengan prosedur bius seluruh tubuh akan dilakukan esok.
.Petang Angah dimasukkan ke wad 6A HSB yang mempunyai 4 katil. Semua 4 pesakit dalam wad 6A akan menjalani prosedur pembedahan: 2 (termasuk Angah) pembedahan mulut dan 2 lagi pembedahan hidung.
.Malam ini Angah diminta berpuasa sehingga pembedahan selesai esok.

12.8.2013

.Pukul 3.30 petang Angah dibawa oleh petugas hospital memasuki Dewan Bedah.
.8.15 malam Angah dibawa balik ke wad 6A dalam keadaan separuh sedar akibat kesan bius. Mulutnya dipenuhi kapas dan saluran air dimasukkan ke tubuhnya.
.Pukul 9.00 malam darah yang agak banyak keluar dari mulut Angah. Empat orang doktor tergesa-gesa masuk membantu Angah yang kelihatan terkapai-kapai kerana tidak dapat bernafas akibat banyak darah tersumbat di kerongkongnya. Maklumlah bukan sebatang gigi yang dibedah, tapi lima batang sekali gus, gigi geraham pula tu, tentu banyak darah yang keluar.
.Malam ini Angah masih tak boleh berkomunikasi dengan JR dan isteri, kerana mulutnya dipenuhi kapas. Dia berkomunikasi dengan menaip apa yang ingin dikatakannya dalam hensetnya. Kesian sungguh!
.Malam ini JR menemani Angah hingga ke siang. JR tak dapat tidur sekejip mata pun sepanjang malam di hospital. Selain dari perlu menjaga Angah yang sering mengadu sangat sakit di seluruh bahagian mulut hingga ke tekak dan pipi, penghawa dingin di wad itu agak kuat. Lebih malang, JR terlupa membawa selimut atau sweater, memang sejuk giler semalaman itu!

13.8.2013

.Kira-kira pukul 8 pagi doktor memberitahu Angah dah boleh makan. Sejak malam 11.8.2013 hingga pagi 13.8.2013, tiada sebiji nasi atau sekeping roti yang memasuki perut Angah...puasa yang begitu panjang, dah 32 jam dia tak makan! Sebenarnya pukul 2 pagi tadi Angah dah dibenarkan minum oleh doktor, dia memang cuba minum tapi katanya tekak dan mulutnya terlalu sakit sehingga seteguk air pun sukar memasuki tekak. Jadi dia terpaksalah menahan lapar dan dahaga...
.Kira-kira pukul 10 pagi doktor masuk ke wad dan bertanya sama ada Angah dah makan.  JR beritahu doktor, Angah masih tak mampu makan, minum sikit-sikit bolehlah.. Doktor "memaksa" Angah makan, kata doktor kalau dia makan, lewat petang ini dia dah boleh keluar hospital.
.Tengahari ini Angah mula makan beberapa sudu bubur nasi selepas 36 jam tak makan apa-apa.
.Petang ini sekumpulan doktor pakar memeriksa Angah dan mereka membenarkan Angah keluar hospital pada lewat petang. Angah dibekalkan ubat tahan sakit dan beberapa jenis anti-biotik. Angah tak dibenarkan makan nasi dan makanan keras selama seminggu ini. Dia cuma dibenarkan memakan bubur.
.Sebelum keluar wad, doktor juga mengajar cara pemakaian plate plastik lelangit mulut. Ini kerana buat sementara Angah perlu menggunakan lelangit palsu, kerana pembedahan itu menyebabkan lelangitnya terpakasa dilapah oleh doktor..Kata doktor kalau tak pakai pelapik lelangit, mungkin lelangitnya yang cedera itu akan jatuh dan dia akan menghadapi masalah pertuturan...
.Malam ini Angah kembali ke rumah dalam keadaan tak ceria...maklumlah orang sakit..

Sekarang..(16.8.2013)

Hingga kini, Angah masih mengadu sakit di seluruh mulut, rahang, pipi hingga ke kerongkong. Dia masih tak boleh makan makanan keras. Makanan lembut pun sukar ditelannya, apa lagi makanan keras. Terpaksalah makan bubur yang dikisar halus hingga Rabu depan..Rabu depan kena ke hospital lagi untuk pemeriksaan doktor.

Tak sangka pula pembedahan gigi akan serumit itu, berhari-hari menderita, tak boleh makan dan minum dengan sempurna..Tapi bila difikir yang perlu dibuang bukan sebatang, tapi 5 batang gigi, memang risiko kesakitan panjang perlu dihadapi Angah..Mujurlah juga pembedahan dilakukan ketika Angah sedang bercuti semester 3 bulan. Jika dia masih di kampus dan pembedahan dilakukan di Hospital Batu Pahat, susahlah juga...

Apapun, terima kasih tak terhingga kepada semua Pegawai Perubatan dan Pergigian dan staf-staf wad 6A yang telah memberi layanan ***** (lima bintang) kepada anak JR sepanjang 3 hari berada di HSB.

7 comments:

  1. kesiannya angah... kenapa buat 5 sekaligus... buat la sikit-sikit... haduiii... saya pulak terasa sakit dia... tapi takpe la... think positif... dah bedah buang lima sekaligus... lepas ni dah free...dah settle semua kan... sementara ni derita la sikit... jaga makan ye - pantang sikit supaya luka cepat sembuh... sabar ye angah...

    ReplyDelete
    Replies
    1. buat sekaligus mengelakkan kedatangan berulang dan menyebabkan patient trauma

      Delete
  2. owh, kesiannya sampai 5 batang sekali arung tuu.. mg dia dpt bertahan dan cepat sembuh..
    ngeri lak baca entry ni.. seriau..

    ReplyDelete
  3. kesiannya kat angah . ngilu gigi masa baca ni . hmmm kirim salam angah ye JR . heheh :D

    ReplyDelete
  4. Kalau dah kena bius seluruh badan, macam serius jer. Semoga Angah cepat sembuh. Teena pun lepas 2 3 hari raya, mula rasa sakit gigi. Sebab makan banyak sgt especially kepek2. gusi lebam, tapi still tak nak berhenti makan, haha.

    # Selamat Hari Raya

    ReplyDelete
  5. IM memang paling takut kalau kena cabut gigi. Takut masa doktor nak cucuk untuk masukkan ubat kebas.

    Tapi dalam dok takut tu, hampir semua gigi geraham IM dah hilang. Sekarang ni kalau pilih makan pun cuma yang lembut saja. Daging memang IM tak boleh makan dah. Lebih selalu makan ikan.

    Ada kawan IM lebih tua dari IM tapi struktur giginya masih elok. Pandalah dengan habitnya yang selalu gosok gigi selepas makan.

    Hinggakan di meja ofisnya, selalu ada berus dan ubat gigi.

    ReplyDelete
  6. Dengan bro JR bercerita pun dah terasa kesakitannya. Ni kan pula tuan punya badan yang terpaksa hadapi. Agak seram jugak. Harap angah cepat sembuh.

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....