»

12 May 2013

Hipokrit, Berlakon Atau Profesional?


Korang pernah masuk Parlimen? Atau jika yang tinggal di luar KL pernah korang memasuki Dewan Undangan Negeri (DUN) melihat wakil-wakil rakyat yang kita pilih berbahas?

Bagi yang tak pernah masuk, kita boleh masuk sebagai pelawat. Sekali-sekala cubalah pergi tengok apa wakil rakyat kita buat dalam Parlimen dan DUN. Tak gunalah kita lantik mereka, undi mereka, kemudian kita tak tau apa mereka buat dalam Parlimen dan DUN. Kita tak tau sama ada mereka bekerja atau sering ponteng atau dalam Parlimen cuma duduk sambil memejam mata..terlelap.. 

Masa JR bekerja di KL dulu sering masuk Parlimen kerana ia adalah sebahagian dari tugas untuk melaporkan perjalanan Parlimen kepada big boss kami. Biasanya kami bertugas di Parlimen mengikut giliran, setiap sesi Parlimen hanya sekali perlu hadir untuk melaporkan perjalanan Parlimen kepada big boss. Setiap kali bertugas dua pegawai dari agensi kami akan hadir, jadi jika seorang ke bilik air atau pergi minum masih ada seorang untuk mencatat apa yang berlaku di Parlimen. Laporan perjalanan Parlimen itu perlu berada di atas meja big boss awal pagi esok sebelum pukul 8.30 pagi. Jika tak sampai pada saat itu mengamuklah PA boss yang terkenal dengan mulut super-lasernya itu.

Jika dahaga pegawai petugas boleh pergi ke kantin Parlimen. Di kantin Parlimen kadang-kadang terjumpa Ahli Parlimen di dalamnya yang keluar sekejap untuk membasahkan tekak. Mana tahan terperap duduk di dalam Parlimen dari pukul 10 pagi hingga 6 petang (kadang-kadang pernah juga sampai 10 malam), kena minum juga membasahkan tekak...

Tapi apa yang mengejutkan JR semasa mula-mula bertugas di Parlimen ialah kemesraan Ahli-Ahli Parlimen dari part-parti yang berbeza. Walaupun ketika berbahas dalam Parlimen mereka bertengkar sakan dengan suara meninggi, menuding jari sambil mata terbeliak menahan marah malah kadang-kadang menepuk meja, tapi keadaan berbeza ketika mereka berada di kantin atau di ruang legar. Wakil Rakyat BN dan PR yang nampak macam nak bergaduh dan bertumbuk ketika berbahas begitu mesra di kantin. Mereka minum satu meja sambil bergurau senda penuh mesra dan kadang-kadang ketawa terbahak-bahak seperti abang dan adik. Bila keluar dari kantin pula, mereka (Wakil Rakyat BN dan PR) berjalanan seiringan, bertepuk bahu penuh mesra.

Tapi bila berada dalam Dewan lain pula jadinya. Episod serang menyerang dengan suara yang tinggi dan kadang-kadang menepuk meja berulang lagi.

Bila dah lama bertugas di Parlimen episod bergaduh dan kemudian bermesra di kantin itu dah jadi pemandangan biasa. Rupanya begitulah perangai Ahli Parlimen kita, mereka tegas ketika berbahas, tuduh menuduh, kadang-kadang menjerit, tetapi di luar Dewan mereka adalah rakan karib.

Mungkin ada yang berkata mereka berlakon dan hipokrit. Di dalam Dewan, di depan wartawan dan lensa kamera TV, pura-pura bergaduh seperti pelakon drama, tapi di luar Dewan, di dalam kantin mereka bukan main mesra.

Tapi JR rasa mereka bukannya berlakon. Tidak juga hipokrit buat-buat bergaduh tapi mesra. Mereka adalah Wakil-Wakil Rakyat kita yang sangat profesional. Mereka tahu membezakan antara tugas dan persahabatan. Di dalam Dewan Rakyat mereka berbahas dengan nada tinggi kerana itu adalah tugas mereka untuk mempertahankan dasar parti masing-masing. Di luar Dewan, di ruang tamu, di surau, di dalam bilik air, di kantin mereka bertegur sapa malah minum bersama dan solat bersama kerana mereka adalah sahabat walau berbeza parti. 

Yang tak dapat membezakan antara  parti dan persahabatan ialah penyokong-penyokong mereka di peringkat bawah. Kadang-kadang ada yang bergaduh sampai cedera kerana mereka berlainan parti....

3 comments:

  1. ahli2 parlimen kita belum sampai ketahap baling kerusi meja mcm kat luar negara hehe..

    dikelantan,taksub pada parti menyebabkan berpuak2...biru tak boleh campur hijau,kenduri tak dijemput penyokong parti lain...adik beradik terputus hubungan..

    ReplyDelete
  2. bab2 parlimen ni susah sikit nak komen...

    ReplyDelete
  3. kalu pemimpin dah taksub dan berpuak2, penyokong pulak jadi pak turut jer...

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....