»

30 April 2013

Menteghi Besaq Kami


Agaknya dah lama juga JR tinggalkan kelas dialek Utara (1 Hari 1 Dailek Utara). Nampaknya JR tak dapat menunaikan janji, janji tak ditepati, janji dicapati la pulak..

Tapi kalau  hangpa (korang) tengok tajuk entri di atas, ia menggunakan dialek Utara. Harap-harap hangpa paham maksud tajuk tu noooo...

Jangan risau, mungkin 4-5 hari lagi JR nak mulakan balik kelas dialek Utara tu. Atau jika tak sempat sebab sekarang sibuk berkempen, JR akan mulakan lepas 5 haribulan nanti..

Ketika menulis ni JR baru membaca satu artikel di Sinar Harian yang bertajuk 'Apabila MB Dipanggil Pak Cik'. Agak menarik tajuknya, sebab tu JR baca artikel akhbar online tu sampai habis.

Sebenarnya artikel berkenaan mengenai catatan seorang wartawan Sinar Harian bernama Rizal yang tidak menyangka orang tua yang dujumpai di sebuah kampung adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak. Dia tak perasan orang tua itu adalah Menteri Besar sebab penampilan Datuk Seri Azizan yang bagai orang kampung biasa, cuma berkain pelikat dan berbaju t-shirt cap pagoda (kalau tak silap JR, harga t-shirt cap pagoda di pasaraya Mydin tak sampai RM10).

Sebenarnya Menteri Besar Kedah yang lebih rakyat Kedah kenali sebagai Ustaz Razak, memang seorang yang sangat merendah diri. Dia sendiri tak tinggal di Kediaman Menteri Besar di Mentaloon yang merupakan sebuah banglo agam serba mewah itu. Sebaliknya untuk jimatkan wang rakyat, dia cuma tinggal di sebuah rumah kampung serba sederhana dekat Yan.

Menteri Besar Kedah ini juga tak suka berpakaian hebat-hebat seperti menteri-menteri lain. Dia cuma membeli baju di kedai biasa yang harganya tak sampai RM20 sehelai (alamak....lebih mahai dari baju aku!!).

Baca selanjutnya catatan wartawan Sinar Harian dalam artikelnya bertajuk 'Apabila MB Dipanggil Pak Cik' yang bagi JR agak menarik ini:


ASSALAMUALAIKUM,” laung seorang anak muda sambil tertinjau-tinjau di sisi bangunan pinggir Terusan Wan Mat Saman yang selari dengan jalan Alor Setar - Sungai Petani, pada suatu pagi dua tahun lalu.Seketika kemudian, kedengaran suara salam dijawab dari  belakang bangunan. Anak muda bertubuh tinggi, berambut lebat itu segera mencari arah datangnya suara.

Tiba di sana, dilihat sekumpulan empat lelaki agak baya sedang bersembang di satu ruang yang pintunya terbuka. Seorang daripada mereka - yang paling tua - berbaring di pangkin.

“Saya Rizal, skuad Sinar (Harian) baru di kawasan Yan,” kata anak muda itu dengan senyuman seperti dipaksa. Dia dipersilakan masuk.

Lelaki yang berbaring di pangkin bangun. Setelah berbasa basi untuk seketika, lelaki itu bertanya: “Hang tau dak saya ni sapa?”

“Minta maaf pakcik, saya tak tau ...,” jawab si anak muda, jujur.

“Tak pa, hang boleh tanya depa ni,” balas lelaki itu yang berkain pelikat dengan baju pagoda.

Barang kali kerana kasihan kepada si anak muda, seorang lelaki lain kemudian berkata: “Inilah Ustaz Azizan, Menteri Besaq Kedah.”

Anak muda itu hilang kata-kata! Dia seperti tidak percaya.

“Saya bukan tak kenal MB Kedah, tapi hari tu dia nampak lain sangat. Dengan baju pagoda, kain pelikat, tak pakai cermin mata, kopiah pun tak pakai... itu yang saya panggil dia Pakcik,” kata Rizal mengimbas peristiwa itu kepada saya beberapa minggu kemudian.

Ya, mungkin ramai yang tidak tahu, Ustaz Azizan sejak dilantik Menteri Besar, tidak pernah menghuni Seri Mentaloon di Alor Setar. Kediaman rasmi MB Kedah itu hanya diguna untuk acara rasmi.

Dia masih tinggal di rumah lamanya di bahagian belakang bangunan Markas Pas Jerai di Batu 15, Padang Lumat, dekat Guar Chempedak itu selain sebuah lagi rumah di Jalan Sultanah, Alor Setar yang dibeli daripada keluarga mertuanya.

Walaupun sudah bergelar MB, Ustaz Azizan masih mengekalkan gaya hidup biasa.

Setiausaha akhbarnya, Helmi pernah menceritakan,  Azizan hingga sekarang jika mahu beli seluar, baju, tempatnya adalah sebuah kedai di Pekan Simpang Empat Kangkong.

“Dia selalu suruh aku pi kedai tu, Kedai Timor. Kata dia, baju, seluaq di kedai tu murah-murah. Kita sendiri tak sanggup pakai yang tak dak brand macam tu,” kata Helmi. Difahamkan, kebanyakan baju yang dipakainya berharga tidak lebih RM20 sehelai.

Selain Kedai Timor,  Azizan juga biasa beli pakaian di sebuah kedai India Muslim di Lebuh Chowrasta di Pulau Pinang.

“Satu hari, mamak kedai tu mungkin sebab baru  perasan tengok muka Ustaz  di TV, dia kata, Haji, ini hari saya tak mau jual lagi pada Haji. Ustaz tanya, sebab apa? Dia kata, sekarang Haji sudah jadi menteri, orang besaq. Elok pakai baju, seluaq yang tempah, bukan yang dia jual,” katanya.

Ustaz Azizan tetap Ustaz Azizan.

Tidak lama dulu, saya dijemput hadir kenduri kahwin anaknya di Kampung Teras Jernang, Bangi. Lokasi kenduri sebuah rumah kampung tidak jauh dari kampus UKM.

Ketika bersalam, Ustaz Azizan berpesan, “mai makan kenuri sudah naa, jang dok buat berita buh dalam surat habaq.”

Selepas makan, saya bertanya kepada Setiausaha Politiknya, Sanusi, apa sebab Ustaz Azizan tak buat kenduri di Alor Setar?

Jawab Sanusi: “Ini kenduri kahwin anak yang kedua dia buat lepas jadi MB. Kali pertama di Kedah. Belanja terlalu tinggi (sebab nak kena sedia hidangan banquet). Untuk tampung kos, Ustaz terpaksa pinjam dari beberapa orang exco RM20,000 seorang.

“Kali ni dia tak sanggup nak meminjam lagi, sebab itu dia buat di sini. Di sini tak perlu nak jemput orang-orang besar sebab kenduri kampung saja,” katanya.

Ujar Sanusi lagi, Ustaz Azizan cukup menjaga integriti dan dia tidak mahu ada pihak ambil kesempatan menaja majlis peribadinya.

“Sebagai Menteri Besar, apa yang dia buat ini memang ambik risiko. Mungkin ada yang berkecil hati apabila dia tidak buat kenduri kahwin anak di Kedah. Tetapi inilah prinsip Ustaz yang tidak mahu timbul fitnah dalam pentadbirannya,” katanya.

Rakyat Kedah kini di persimpangan sama ada mahu mengekalkan kerajaan sekarang dengan Ustaz Azizan juga dikekalkan sebagai menteri besar, ataupun ini kali mahu tukar kepada menteri besar yang baru pula.

Soalnya, jika mereka mahu tukar kepada BN, apakah Datuk Mukhriz Mahathir sedia untuk jadi pemimpin yang ‘down to earth’?

Selamat mengundi!

Harap-harap korang yang tinggal di negeri-negeri lain yang Menteri Besarnya hidup serba mewah itu tidak mentertawakan Menteri Besar kami. Janganlah ingat kerana Menteri Besar Kedah cuma tinggal di rumah kampung, pakai baju  murah, malah nak buat kenduri anak pun kena pinjam duit kawan-kawan, dia tak layak jadi Menteri Besar. 

Jangan ingat hanya mereka yang berpakaian jenama mewah, tinggal di banglo besar lagi agam, mempunyai deretan kereta mewah dan punya isteri yang subang bergemerlap di telinga, pakai gelang dan cincin berlian berjuta-juta ringgit saja layak jadi menteri. Khalifah Umar Al-Khatab juga tinggal di rumah kecil dan cuma tidur di atas pelepah kurma tapi dia menjadi Khalifah yang sangat dihormati rakyat dan dikagumi negara-negara lain pada zamannya...

7 comments:

  1. serupa dgn MB Kelantan jugak...dok umah kg,sapa2 boleh pi umah dia..isteri dia ajar budak2 ngaji...:)

    ReplyDelete
  2. Rahmat Ilahi sentiasa bersama dengan mereka yang bersederhana.

    ReplyDelete
  3. oooo.. rumah kat jalan sultanah tuh rumah sape pulak?

    ReplyDelete
  4. smpai mcm tu skali rendah diri ? wahh . hebat .

    ni baru lah menteri ;)

    ReplyDelete
  5. Saya tak tau kisah pun psl MB kedah, yg biasa tersebar MB kelantan. Berbanggalah jadi rakyat kedah kalo gitu.

    ReplyDelete
  6. sama lah macam tuan guru nik aziz

    ReplyDelete
  7. salam jay ar
    Selamat hari pekerja

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....