»

26 April 2013

Mencari Seorang عمر بن عبد العزيز .... Apakah...?


Tengahari tadi, seperti biasa JR bersolat Jumaat di Masjid Al-Bukhary, Alor Setar. Ia masjid terbesar di Alor Setar yang dibina menerusi dana jutawan terkenal Malaysia, Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Hari ini khatib masjid Al-Bukhary memberi khutbah tentang mencari pemimpin yang beriman. Kata khatib, masyarakat seharusnya dipimpin oleh muslimin yang benar-benar beriman kepada Allah. Katanya jika masyarkat dipimpin oleh pemimpin yang beriman, keseluruhan masyarakat itu akan selamat dan malaikat di langit turut akan mendoakan kesejahteraan masyarakat itu.

Bagaimana contoh pemimpin yang beriman? Kata khatib contoh pemimpin yang beriman sudah ada dalam sejarah Islam. Dia memberi contoh Umar Abdul Aziz (عمر بن عبد العزيزkhalifah Bani Umayyah yang sangat terkenal dengan sifat-sifatnya yang mementingkan masyarakat melebihi dari kepentingan diri dan keluarga. Itulah contoh pemimpin yang beriman kerana itulah sifat-sifat pemimpin yang difirmankan Allah dalam al-Quran. 

Antara contoh betapa tinggi iman Umar Abdul Aziz ialah bila dia dilantik sebagai khalifah, Umar kelihatan sangat sedih dan menangis tidak henti-henti sehingga selama berhari-hari dia berkurung dalam bilik dan menimbulkan kegelisahan kepada isterinya Fatimah. Bila isterinya bertanya apa yang disedihkannya sehingga air matanya tumpah keseluruhan muka dan janggutnya, kata Umar dia takut tidak dapat melaksanakan amanah Allah kepada rakyatnya. Dia takut sepanjang pemerintahannya masih ada rakyat yang miskin dan dizalimi kerana akhirnya dia akan menanggung dosa kerana tidak berlaku adil kepada mereka.

Kerana takut kepada Allah, Umar Abdul Aziz telah menjadi khalifah yang sangat adil kepada rakyatnya, tidak mementingkan anak isterinya (contoh paling terkenal ketika anak memasuki pejabatnya, Umar menutup lampu biliknya kerana dia tidak mahu menggunakan harta negara untuk keluarganya . Dalam satu peristiwa lain Umar menampar tangan anak kecilnya kerana anaknya mahu mengambil sebiji epal yang merupakan harta rampasan perang yang menjadi milik negara).

(Ketika itu JR teringat jika seorang Perdana Menteri menang dalam pilihanraya pada minggu depan adakah dia akan mengurung dirinya dalam bilik dan menangis tak henti-henti jika tak dapat menunaikan amanah Allah kepada rakyatnya seperti Umar Abdul Aziz? Atau Perdana Menteri yang menang dalam pilihanraya pada minggu depan akan ketawa besar, megah dengan kemenangannya sambil dipeluk oleh anak isteri dan bakal-bakal menteri dan kemudian menghadiri berbagai majlis meraikan kemenangannya tanpa setitik air mata keinsafan pun yang keluar??)

Kata khatib seorang pemerintah yang menangis di dunia kerana insaf dengan kesusahan rakyatnya, apabila di akhirat nanti terhapuslah segala air matanya  itu. Sebaliknya seorang pemerintah yang membiarkan rakyatnya menangis di dunia kerana kesusahan dan dizalimi, di akhirat nanti Allah akan membiarkan dia menangis dengan deraian air mata kerana membiarkan rakyatnya menderita semasa dia berkuasa dahulu.

(Ketika itu JR teringat rancangan "Bersamamu" di TV3 yang sentiasa dipenuhi cerita orang-orang kurang bernasib baik  di negara kita yang dikatakan makmur ini. Dan setiap kali menonton "Bersamamu" pasti ada suara sayu dan tangisan dari mereka yang bernasib malang itu. Apakah pemerintah yang membiarkan rakyatnya menangis di dunia seperti dalam rancangan "Bersamamu" mereka akan menangis di akhirat nanti seperti yang dikatakan oleh khatib?)

Di dalam kereta bersama anak-anak selepas solat Jumaat, JR bertanya dalam hati: mungkinkah suatu hari nanti  negara ini akan memperolehi seorang pemerintah yang lebih mementingkan negara dan rakyat berbanding keluarganya seperti khalifah Umar Abdul Aziz? Tiada lagikah golongan miskin dan terbiar di negara ini hasil kebijaksaan seorang pemerintah seperti zaman pemerintahan Umar Abdul Aziz dimana ketika pemerintahannya tak ada  seorang pun rakyatnya yang hidup melarat sehingga tiada yang layak menerima zakat? 

Juga JR tertanya-tanya dalam hati: lepas PRU-13 ini adakah lagi rancangan "Bersamamu?". Mungkin rancangan "Bersamamu" tidak ada lagi bila kita sebagai rakyat dapat memilih pemerintah sesederhana Umar Abdul Aziz....

NOTA: Serius benar kan entri JR petang ini? 
Malam ini, insyaallah, JR akan menulis sesuatu yang lebih santai tentang jawapan kepada teka teki:  "Mengapa Orang Yang Tinggal Di Tepi Rel Keretapi Punya Ramai Anak?". Apa yang JR lihat dalam komen, memang ada yang menjawabnya dengan tepat. Siapa gerangan dia...nanti JR akan umumkan....

3 comments:

  1. Perkongsian yg sgt menarik...utk direnung bersama.
    Lg bagus kalau dibaca oleh para pemimpin.

    ReplyDelete
  2. panjangnya entry...huhuh

    mana entry pasal loghat utara tuu..dah habis ker ??

    ReplyDelete
  3. pemimpin sekarang amat jauh dengan pemimpin zaman nabi dulu...

    air hidung pun takde

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....