Geli hati mendengar cerita seorang rakan yang kecurian akhbar Sinar Harian semalam.
Dia letak akhbar itu dalam bakul motosikalnya dan masuk sebuah kompleks beli-belah. Apabila dia kembali 30 minit kemudian, akhbar itu lesap.
"Hai! Akhbar berharga RM1.20 itu pun ada tangan gatal sanggup kebas. Tentu ada benda menarik hingga orang sanggup curi," katanya separuh hairan, separuh kecewa.
Tetapi saya tidak geli hati apabila tiga rakan saya luka jatuh lubang dalam tiga kejadian baru-baru ini kerana besi penutup dikebas. Saya mengadu kepada seorang pegawai MBSA kira-kira tiga minggu lalu.
Masalahnya, dalam dunia ini, ramai sangat manusia yang sakit jiwa, yang suka ambil hak orang lain.
Anda baca laporan Sinar Harian Sabtu lalu mengenai syiling RM36,800 yang bertaburan di jalan apabila van syarikat keselamatan terbabas dan terbalik akibat tayar pancit di Kilometer 426 Lebuhraya Utara Selatan?
Sementara tiga orang yang cedera berusaha merangkak keluar dari kenderaan, pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu selamba sahaja berebut-rebut mengaut duit yang bertaburan itu. 
Berapa orang kembalikan wang itu setelah tahu pemiliknya? Tidakkah mereka sedar duit yang mereka kaut dan bawa pulang untuk anak isteri itu adalah duit haram?
Itu bukan kejadian pertama. Pada 18 Januari 2011, sebuah kenderaan yang membawa peti besi berisi syiling berjumlah RM75,000 terbabas dan terbalik selepas dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan dekat susur keluar ke Pedas, Rembau, Negeri Sembilan.
Muka tak pemalu rakyat Malaysia: Curi...curi..curi...
Seperti yang berlaku Jumaat lalu, pengguna jalan raya mengabaikan mereka yang cedera dan yang memerlukan bantuan, bahkan mengetepikan keselamatan diri sendiri semata-mata untuk mengutip duit syiling yang bertaburan itu.
Teringat pula kes sebuah lori membawa minyak masak terbalik dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Alor Setar ke Naka, Padang Terap, Kedah, pada 9 April lalu.
Walaupun masa itu hujan, orang ramai datang dengan botol, tong, periuk dan kuali (untuk mencuri).
Pelik, tetapi demikianlah yang berlaku. 
Betapa rosaknya kesopanan dan ketamadunan manusia di sesetengah tempat.
Di negara kita pun, malangnya, terdapat kegelojohan seperti itu.
Begitulah keadaan sesetengah manusia; sanggup melakukan perbuatan terlarang dan menghadapi apa sahaja risiko asalkan tercapai cita-cita palsu di dunia yang materialistik ini.
Betullah kata Maryam Jameelah, penulis lebih 30 buku mengenai budaya dan sejarah Islam, yang memeluk Islam pada 1961:
"Manusia boleh berenang di air seperti ikan, terbang di udara seperti burung, tetapi ada yang tidak boleh hidup di bumi seperti manusia."
(Sumber: Sinar Harian)