»

30 August 2012

Merdeka..Merdeka, Rumah Buruk Tinggal Rangka


Esok 31 Ogos 2012. Bermakna dah 55 tahun rupanya negaraku merdeka. 55 tahun merdeka banyak perubahan yang dicapai, walaupun tak sepantas perubahan di negara jiran Singapura, Hongkong, Korea atau Jepun tapi sekurang-kurangnya Malaysia lebih maju dari Papua, Myanmar, Bangladesh, Sudan, Somalia dan Kongo. 

Entah mengapa bila saja menjelang ulang tahun merdeka setiap tahun, JR akan teringat wajah Cikgu Ahmad CL yang pernah mengajar JR di sebuah sekolah menengah di Penang  dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3 dulu.

Cikgu Ahmad CL adalah seorang guru yang paling kacak di sekolah kami ketika  itu. Dengan kulit putih kemerahan ala mat salih, hidung mancung dan rambut ikal berjambul, dia adalah guru yang paling popular di kalangan murid-murid perempuan. Maklumlah cikgu hensem, murid-murid perempuan yang baru menempuhi fasa awal kegedikan seorang gadis sentiasa mencari jalan untuk mencelah bila sahaja dia mengajar subjek Bahasa Melayu.

Tapi yang menyebabkan JR sentiasa ingat tentang Cikgu Ahmad CL bila menjelang ulang tahun merdeka bukan tentang kekacakannya, tapi ialah  semangat patriotismenya yang sungguh tinggi. Seminggu sebelum 31 Ogos setiap tahun, pada setiap hari bila sahaja tiba subjek Bahasa Melayu dia akan membacakan sebuah puisi merdeka yang sangat menarik perhatian kami. Dengan wajah hensemnya, dengan suara garau ala-Jamal Abdillahnya, setiap hari menjelang 31 Ogos dia akan mengulangi bait-bait puisi yang sama. Kerana selalu sangat diulang-ulang puisi itu setiap hari menjelang merdeka, hampir satu kelas turut menghafal puisi pendek merdeka yang dideklamasinya di depan kelas itu:

Merdeka..merdeka..
Rumah buruk tinggal rangka
Yang kaya semakin kaya
Yang miskin papa kedana...
Merdeka..merdeka
Rumah buruk tinggal rangka!!

Walaupun dah puluhan tahun berlalu, tapi cara Cikgu Ahmad CL mendeklamasikan puisi merdekanya itu masih JR ingati, seperti ingatnya JR tentang bait-bait puisinya. Suara garau jantannya bergema memenuhi kelas sambil tangannya menggawang ke udara terutama bila tiba bait, "Rumah buruk tinggal rangka!!"

Bila beraya ke rumah kakak di Baling baru-baru ini, JR sengaja melalui jalan lama dan rupanya 'rumah buruk tinggal rangka' seperti dalam bait puisi Cikgu Ahmad CL masih wujud lagi di negara ini. Malah bila JR pulang ke kampung JR di Penang - salah sebuah negeri termaju di Malaysia - juga masih ada 'rumah buruk tinggal rangka'. 


Mengapa masih wujud 'rumah buruk tinggal rangka' di negara yang telah 55 tahun merdeka ini entahlah. Mungkin sudah begitu nasib sebahagian rakyat di negara merdeka yang terpaksa tinggal di 'rumah buruk tinggal rangka'?? Atau ada pihak yang terlupa menepati janji???

Salam hari merdeka ke-55. Semoga semua janji ditepati....

1 comment:

  1. Saya sebelum raya haritu ada masuk kampung orang asli, memang dah ada rumah batu kerajaan sediakan untuk diorang tapi ada jugak rumah yang still usang macam dalam gambar tuan kat atas tu.

    Jadi bila berbual dengan tok batin (ketua kampung), dia cakap memang liat betul orang kerajaan nak buat benda ni. Jadi bila lama sangat bertangguh, dia directly pergi jumpa Sultan Perak dekat istana.

    Terus kerajaan negeri hire contractor buat rumah untuk orang asli ni - tapi tok batin tu kata contractor tu pun buat kerja sambil lewa, rumah siap tapi semua rumah tak ada tandas.

    Jadi memang benda ni, semua pihak kene ubah mentaliti tak kira kita ni ahli politik ke, orang kontrak ke, pekerja ke - amanat yang bagi tu kene buat, jangan bila kene ketuk baru nak buat kerja.

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....