»

11 July 2012

Salji De Alor Setar

Ketika JR menulis ni hujan masih turun mencurah-curah di luar jendela. Hujan ini turun sejak malam tadi hingga sekarang belum henti. Sekejap lebat, sekejap reda, tapi masih tak berhenti sepenuhnya dari malam hingga kini. 

Malam tadi tidur tanpa pasang kipas, sejuk sangat-sangat. Badan pula terpaksa ditutup dengan selimut agak tebal, sesuatu di luar kebiasaan JR yang tak suka berselimut. 

Pagi ini bila meninggalkan rumah nampak beberapa batang jalan pergerakan trafiknya  kurang lancar kerana ada air bertakung di sana sini. Bila hujan turun lama-lama begini teringat peristiwa banjir besar yang berlaku di Alor Setar pada November 2010. Mujur rumah JR terletak di kawasan yang agak tinggi. Ketika hampir seluruh bandar Alor Setar ditenggelami air, rumah kami masih menjadi 'koloni terapung' dikelilingi lautan air yang jaraknya cuma 600 meter dari rumah. Keluarga ipar dan mentua terpaksa tinggal sementara di rumah kami kerana rumah mereka dinaiki air.

Foto banjir besar di Alor Setar 2010

Itu peristiwa banjir tahun 2010. Harap-harap Allah menjauhi peristiwa yang sama berulang lagi. Tak sanggup lagi menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan bahan dapur kerana kebanyakan kedai ditutup akibat banjir. Dan yang lebih teruk tak sanggup lagi tak mandi selama hampir seminggu dan pakaian tak berbasuh selama tempoh itu kerana bekalan air terputus disebabkan empangan ditenggelami air. Nak solat terpaksa guna air catuan yang dibawa lori tangki yang jadual kedatangannya tak boleh diharap langsung. Semoga dijauhkan Allah peristiwa itu berulang lagi...

Ketika JR menulis ini titis-titis hujan masih turun dengan lebat di luar jendela, seperti titis-titis salji yang luruh dari langit London di suatu musim dingin. Sejuk menggigit seperti hingga ke tulang belulang, jurai-jurai hujan seperti mutiara jatuh ke bumi, seperti jurai-jurai salji, salji di Alor Setar.... 

2 comments:

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....