»

29 December 2011

Kisah Benar Aku: Bertemu Hantu Pokok Durian

Salam malam Jumaat buat semua pembaca blog JR.

Bila tiba malam Jumaat, sekurang-kurangnya ada dua perkara yang selalu menjadi mitos ramai orang. Pertama, untuk mereka yang dah berkahwin malam Jumaat dikaitkan dengan malam berkat. Ehem ehem...sapa yang dah kawin pasti tau apa yang JR maksudkan dengan malam penuh keberkatan itu...

Yang kedua, malam Jumaat juga dikaitkan dengan kemunculan hantu. Entah dari mana datangnya kepercayaan itu tak taulah, kerana tiada riwayat dalam mana-mana hadis yang menyatakan malam Jumaat ada hantu mengganggu manusia.

Apapun, malam ni JR nak ceritakan satu kisah benar dalam kehidupan JR yang ada kaitan dengan hantu. 

Ia berlaku beberapa tahun dulu. Ketika itu JR bertugas di sebuah daerah di Pulau Pinang. JR yang ketika itu belum berkahwin tinggal di sebuah kuaters lama bersama seorang rakan. Kuaters tinggal kami itu berhampiran satu kawasan perkuburan Islam. Tak ada yang menariknya tentang perkuburan itu selain dari barisan batu-batu nisan di bawah teduhan pepohon kemboja. Malah kami sering pergi ke kedai tak kira siang atau malam dengan berjalan kaki menggunakan jalan pintas melaui pinggir kawasan perkuburan, kerana itulah jalan yang terdekat.

Setiap kali ke kedai, JR dan rakan perlu melalui beberapa pohon durian di mana salah satunya terdapat dua pasang batu nisan: satu berukuran agak panjang dan satu lagi pendek. Tapi kami tak pernah bertanya ia milik siapa kerana selain dari batu-batu nisan itu tak bernama, ia juga bukanlah sesuatu yang penting untuk kami ketahui siapa pemiliknya.

Hinggalah pada suatu musim durian, pokok durian di pinggir kuburan itu begitu menjadi sekali buahnya. Memandangkan pokok durian itu masih di bawah tanah milik majikan kami dan majikan kami membenarkan kami mengambil hasilnya, apa lagi,  JR dan rakan JR kerap mengambil buah-buah durian yang begitu enak itu untuk dimakan dan membahagi-bahagikannya kepada jiran terdekat  kami. 

Tapi kami hanya dapat mengutip durian-durian itu pada waktu siang. Waktu malam, waktu durian paling banyak luruh, ada mereka yang lebih "cekap" melarikan buah-buah durian itu. Kata majikan kami, terdapat budak-budak  nakal yang suka menceroboh mencuri durian  untuk dijual keesokan harinya.

Kerana geram dan tak mahu durian itu dicuri oleh budak-budak nakal itu lagi, JR mengupah seorang India Muslim bernama Jalal yang kebetulan adalah tukang kebun majikan kami untuk menjaga pokok-pokok durian itu di waktu malam. Selain dari memberinya upah, Jalal juga dibenarkan mengambil berapa banyak durian untuk dibawa balik ke rumahnya.

Malam pertama Jalal menjaga pokok-pokok durian itu, dia mendapat hasil yang sungguh lumayan. Pagi esoknya bila bangun kelihatan selonggok durian tersusun rapi di depan pintu rumah kami. Puaslah juga kami makan durian sambil sebahagiannya lagi dibahagi-bahagikan kepada jiran-jiran di sebelah rumah.

Begitulah juga hingga malam kedua, ketiga dan keempat, setiap pagi ada saja longgokan durian yang ditinggalkan Jalal di depan pintu rumah kami.

Tapi pada malam kelima, bila bangun pagi tiada lagi longgokan durian di depan pintu rumah kami seperti lazimnya. JR dan rakan tak berprasangka apa-apa, kami fikir mungkin Jalal ada hal keluarga menyebabkan dia tidak dapat datang berjaga pada malam itu. Tapi bila tiga hari berturut-turut tiada lagi longgokan durian di depan pintu rumah, sedang musim durian masih belum berakhir, ia mula menjadi misteri kepada kami. Jalal sakit ke?

Bila JR bertanya kepada majikan di pejabat tentang Jalal, majikan berkata Jalal sihat dan bekerja seperti biasa membersihkan kawasan rumahnya. 

Pada petang itu, JR yang kebetulan hendak ke rumah majikan atas sesuatu urusan rasmi terjumpa Jalal.

"Jalal" sapa JR, "Awat dah tiga hari tak pi kutip durian. Jalal sibuk ka?"

Tapi Jalal cuma diam saja seperti menyembunyikan sesuatu.

"Malam ni Jalal mai ka tunggu durian?" desak JR.

"Sori encik...encik cari orang lainlah. Saya tak mau tunggu itu durian lagi" jawab Jalal dengan suara sedikit bergetar.

"Awat Jalal tak mau lagi tunggu durian?"

"Itu malam saya jumpa orang la encik...saya takut!!!"

"Oooo...itu budak-budak jahat ada kacau Jalal ka?"  JR cuba meneka.

"Bukan itu orang...bukan...bukan...tapi...." Jalal berhenti seketika sebelum menyambung, "Apa punya orang..saya tak pernah tengok macam itu punya orang..saya takut!!!"

"Awat Jalal takut...orang yang Jalal jumpa tu macam mana?"

"Saya nampak orang tak ada kepala!!!" kata Jalal sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, "Saya takut, saya tak mau lagi jaga itu durian"

Orang tak ada kepala?? Dah setahun kami tinggal di situ, tak tau pula di seberang pagar rumah kami menyimpan misteri lembaga tak ada kepala!!

Esoknya bila JR ceritakan hal itu di pejabat, seorang pekerja yang agak veteran akhirnya bercerita tentang misteri di sebalik orang tak ada kepala yang ditemui Jalal itu:

"Sebenarnya pada zaman Jepun dahulu ada seorang wanita dan anaknya dihukum pancung oleh tentera Jepun. Kepalanya putus dan dia dikebumikan bersama anaknya di tempat berhampiran pokok-pokok durian itu. Di bawah batu nisan yang bersaiz besar itu  tertanam mayat ibunya, manakala batu nisan yang bersaiz kecil itu tertanam mayat anaknya. Sejak itu ramai orang pernah terjumpa lembaga tak berkepala, kadang-kadang bersendirian,  kadang-kadang mendukung anaknya.."

Sejak mengetahui misteri batu nisan di bawah pokok durian itu, JR dan rakan tidak pernah lagi menggunakan jalan pintas melalui kawasan perkuburan untuk ke kedai. Biarlah ikut jalan yang jauh sedikit, asalkan selamat....

No comments:

Post a Comment

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....