»

08 May 2011

IBUKU SEORANG PEMBOHONG!!!





JR tak pasti siapa pencipta asal coretan pilu ini, tapi mengikut satu sumber, penulis asalnya ialah seorang ahli perniagaan Melayu terkenal yang kini tinggal di Australia.  JR juga pernah membaca cerita yang sama dalam versi Bahasa Inggeris.

Walaupun JR sudah baca banyak kali dalam banyak blog mahupun FB cerita ini, tapi seperti menonton filem P.Ramlee, walaupun puluhan kali membaca cerita yang sama tapi seperti tak pernah rasa jemu untuk mengulanginya lagi, mengulanginya lagi dan mengulanginya lagi. Mungkin kerana semua kita punya ibu dan kita sedikit sebanyak pernah rasa berdosa kepada ibu yang melahirkan kita, kerana itu kita tak jemu membaca cerita ini.

Apapun sempena, Hari Ibu JR mengulangi lagi cerita ini. Harap korang yang pernah membacanya tidak jemu mengulanginya:


Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.


Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Walaupun saya tahu ibu dalam keadaan letih dan lapar, tapi sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : "Makanlah nak ibu tak lapar." – INI PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

 
Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik.
 
Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu sebaliknya hanya duduk disamping kami dan memakan sisa-sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi..
 
Saya sedih melihat ibu seperti itu, dia hanya makan sisa-sisa daging ikan, sedang ikan segar diberikannya kepada kami.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." – INI PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

 
Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak.
 
Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk-hangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, tak apalah...ibu belum mengantuk lagi." – INI PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.



 
Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Ilahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih saying ibu yang jauh lebih kental. 

Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum air kopi yang masih bersisa. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata: "Minumlah nak, ibu tak dahaga!" - INI PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

 
Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. 

Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta, saya tidak perlukan lelaki." – INI PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

 
Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya.
 
Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah nak, ibu ada duit." – INI PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

 
Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang, kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya di luar negara.
 
Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya ke luar negara. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah nak, ibu tak biasa tinggal di negara orang." – INI PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

 
Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh di seberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta.
 
Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus.
 
Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan sambil menahan sakit ibu berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." – INI PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali. 

Jika anda masih mempunyai ibu dan ayah, anda sangat bertuah. Anda boleh memeluk dan menciumnya ketika dia masih mampu tersenyum. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata 'sayang' itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…

No comments:

Post a Comment

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....