Malam tadi JR dan mem ke pasar malam berdekatan pasaraya Pacific, Alor Setar. Ketika sedang menunggu pesanan makanan yang dibungkus untuk dibawa balik, terdengar perbualan dua lelaki separuh umur dalam loghat Utara yang pekat:
Lelaki A: Assalamualaikum, apa habaq, lama tak nampak, sihat ka?
Lelaki B: Habaq baik, oooii, makin sihat hang..Anak-anak apa habaq?
Lelaki A: Semuanya yang kat sini sihat, Samsul tu saja yang tak tau macam mana kat Jepun tu.
Lelaki B: Ya la, Samsul masih studi kat Jepun kan? Dia tak balik ka, dengaq kata loji nuklear depa meletup, ramai yang dah kena pindah?
Lelaki A: Kalau Kerajaan kita kata balik, balik la si-Samsul tu, ni Kerajaan kita diam saja, tak tau la aku...
Lelaki B: Memang la Kerajaan kita selalu slow...macam kes student kat Mesir dulu jugak...nak bunuh rakyat Malaysia kot!!
Nak bunuh rakyat Malaysia, eh apa pasai dia kata macam tu? JR senyum dalam hati, tak kan Kerajaan kita yang baik budi ni nak bunuh rakyat sendiri pula!! Tak lah, kata hati JR, Kerajaan kita tak sekejam itu. Cuma bila kata Kerajaan kita slow dalam apa-apa tindakan, memang itu betullah. Sebab tu Kondominium Highland Tower setinggi 22 tingkat itu runtuh pada 1993, sebab Kerajaan membiarkan bangunan di cerun bukit dibina, walaupun ia sangat bahaya. Sebab itu juga setiap tahun ada ada saja kapalterbang tentera jatuh terhempas, setiap tahun banyak tragedi kemalangan bas express, sebab kita slow dalam tindakan....
Dan sekarang, bila banyak negara mula memindahkan rakyatnya kerana takut terdedah kepada radiasi, Kerajaan kita masih lagi "tunggu dan lihat". Kerajaan tentu tau radiasi boleh mengakibatkan kematian dan kesengsaraan dan ia tak berlaku dalam sehari, sebulan atau setahun, tapi bertahun-tahun...Dan selepas bertahun-tahun, wujudlah generasi 'mayat hidup' seperti mangsa radiasi akibat letupan loji nuklear di Chernobyl, Ukraine, seperti ini:
atau seperti ini:
atau seperti ini:
Dan hari ini kalau korang baca dalam akhbar, apa Menteri Luar kita cakap mengenai keadaan 5,000 rakyat Malaysia di Jepun? Baca apa yang ditulis dalam akhbar hari ni:
Kuala Lumpur - Kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk memindahkan segera warganegara Malaysia di Jepun, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Kejadian letupan (loji nuklear) itu telah mencetuskan kebimbangan berlakunya kebocoran berikutan gempa bumi dengan kekuatan skala 9 pada skala Richter pada Jumaat lalu yang mengakibatkan terjadinya tsunami setinggi tujuh meter.
Beberapa negara termasuk China, Rusia dan Perancis sudah mula memindahkan warga mereka keluar dari Jepun. (sumber: Kosmo)
Semalam JR ada terbaca e-mail seorang kawan dalam satu blog. E-mail itu dari seorang rakyat Malaysia yang sedang berada di Jepun. Katanya suasana panik sedang menghantui rakyat Jepun kini, kerana mereka takut letupan loji nuklear itu akan menyebabkan radiasi dan menjejaskan kesihatan mereka. Dia juga memberitahu ada pelajar Malaysia menyatakan seorang konsul Malaysia di Tokyo memberitahu Kerajaan Malaysia tidak mempunyai wang yang cukup untuk membawa keluar rakyat kita di Jepun kerana banyak wang telah digunakan untuk membawa pulang pelajar Malaysia dari Mesir dahulu.
Entah betul atau tak betul kandungan e-mail itu tak taulah. Cuma jika peruntukan kewangan yang menjadi alasannya, JR sangat tak setuju, sebab bagi JR, keselamatan rakyat kita lebih dari segala-galanya. Kerajaan selalu bangga kedudukan kewangan kita sangat kukuh, tapi bila negara-negara luar mula membawa pulang rakyat mereka dari Jepun, kita masih dengan sikap "tunggu dan lihat", seperti memang kita betul-betul sengkek tak ada duit. Lagi pun tak logik Kerajan tak ada wang, kerana bukankah berbilion ringgit berjaya dikutip semasa kempen bayaran saman trafik baru-baru ini?
Atau Kerajaan memang sengaja nak simpan duit untuk kempen pilihanraya Sarawak yang perlu pakai banyak duit yang dikatakan akan diadakan pada bulan hadapan?
No comments:
Post a Comment
Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....