»
Showing posts with label guru. Show all posts
Showing posts with label guru. Show all posts

30 November 2015

Akulah Suami Duka Lara Itu..


"Guru duka lara?".

Haha..pandai juga pak menteri cipta istilah baru. Tapi sedap juga istilah baru "guru duka lara" yang dicipta oleh pak menteri kita itu walaupun membawa maksud yang tak sedap.


Kata pak menteri "guru duka lara" bermaksud guru yang tinggal berjauhan dengan pasangan masing-masing kerana lokasi tempat kerja mereka berbeza.

Kalau itulah maksudnya, bukan guru saja yang "berduka lara", golongan lain juga pernah atau sedang hadapi masalah duka lara yang sama. Tentera, polis, pegawai kerajaan lain, anggota badan swasta, ramai yang pernah "berduka lara" kerana demi tugas suami dan isteri terpaksa tinggal di tempat yang berbeza. Anak-anak pula bertaburan, ada kes anak-anak tinggal dengan isteri, ada pula anak-anak tinggal dengan suami, ada kes anak-anak berpecah dua - separuh tinggal dengan isteri, separuh lagi tinggal dengan suami. Kesian....

Dulu kisah suami isteri tinggal di tempat berbeza digelar "perkahwinan jarak jauh" atau  "suami isteri hujung minggu" kerana biasanya mereka cuma berjumpa pada setiap cuti hujung minggu.

JR sendiri pernah mengalami jiwa duka lara ini sejak lepas kahwin hinggalah  kami mempunyai 6 orang anak. Lepas saja kahwin isteri yang baru keluar kolej pergigian ditempatkan di Bentong, Pahang. JR pula ketika itu bertugas di Pulau Pinang.

Lepas itu bermulalah rentetan kisah duka lara perkahwinan kami yang maha panjang ini:

~ JR di Pulau Pinang, isteri di Bentong
~ JR di KL, isteri di Bentong.
~ JR di KL, isteri di Alor Setar
~ JR di Taiping Perak, isteri di Alor Setar
~ JR di Alor Setar, isteri di Pulau Pinang
~ JR di Alor Setar, isteri di Langkawi.

Tapi selepas dicampur-campur semuanya lebih kurang 9 tahun kami tak tinggal sebumbung, akhirnya episod suami isteri duka lara ini selesai juga. Sekarang sudah 8 tahun lebih kami tinggal sebumbung semula, alhamdulillah..

Berdasarkan pengalaman JR sendiri, suami isteri yang tak tinggal sebumbung lebih banyak buruk dari baiknya. Ada yang kerana selalu berjauhan dan kesepian terpalit dengan cinta tiga segi walau anak dah berderet. Mujur JR jenis suami setia, hahahaha..

Kesan psikologi lain tak usah cakaplah. Prestasi kerja merudum, selalu cuti kecemasan, kurang beri tumpuan di tempat kerja dan kadang-kadang sanggup bertindak di luar jangkaan. Sepi..sungguh sepi bila tinggal berseorangan dalam bilik..malam cuma merenung siling, bercakap dengan cicak di siling adalah perkara biasa. Bagi yang suka menulis seperti JR entah berapa ratus sajak tercipta dalam tempoh itu. Semuanya bertemakan kerinduan kepada keluarga.

Yang bagusnya cuma satu bila suami isteri tak tinggal bersama - bila berjumpa hujung minggu, masing-masing suami isteri sangat menghargai masa terhad yang ada itu yang akan digunakan dengan aktiviti berkualiti sebaiki mungkin. Kalau pasangan yang suka bertengkar mereka akan cuba mengalah sebanyak mungkin kerana tak mau masa terhad itu digunakan untuk pertengkaran yang sia-sia.

Dan bagi JR, dalam dok sibuk-sibuk berjauhan itu sempat juga isteri beranak  sebanyak 6 orang (tak masuk 4 keguguran). Mungkin kerana masa yang terhad itu digunakan sebaik mungkin untuk aktiviti berkualiti maka dalam berduka lara lahirlah anak berderet-deret, hahaha....

14 May 2015

Terima Kasih Cikgu Kerana Menghina Saya!!


"Hahahaha....muka macam ni ada cita-cita nak dapat A dalam SRP? Jangan haraplah! Kalau hang dapat gred A dalam SRP mai potong jari aku!!!" gertak cikgu Manoor dengan suara kuat seperti halilintar. Marah benar dia kerana sekali lagi aku gagal dalam subjek matematik, subjek yang diajarnya di kelas kami.

Satu kelas hening. Banyak mata pelajar yang tertumpu ke arahku. Aku cuma tunduk. Cabaran atau penghinaan yang diberikan oleh cikgu Manoor? 

Apa yang pasti aku sangat malu ketika itu! Rasa seperti nak terpa ke tingkap di tingkat tiga itu dan terjun. Biar berkecai kepala! Malu dengan kata-kata penghinaan cikgu Manoor.

Sebelum tinggalkan kelas cikgu Manoor sekali lagi merenung ke arahku sambil menunjukkan jari telunjuk kirinya, "Kalau kamu dapat gred A dalam SRP, potong jari cikgu!!!". Cuma sekali ini suara cikgu Manoor tak kuat seperti mula tadi. Bila suaranya normal dia berbahasa dengan muridnya "kamu" dan "cikgu". Bila dia marah pula "kamu" ditukarnya menjadi "hang", "cikgu" pula menjadi "aku".

Pagi itu aku tak pergi makan di kantin sekolah. Rasa malu dimarah cikgu Manoor dalam kelas dan cabarannya untuk memotong jari jika aku dapat A dalam SRP tak dapat aku terima. Bila seorang cikgu mempertaruhkan jarinya sendiri untuk dijadikann korban, itu maknanya dia sangat tak yakin dengan kemampuan anak muridnya.