»
Showing posts with label cikgu. Show all posts
Showing posts with label cikgu. Show all posts

14 May 2015

Terima Kasih Cikgu Kerana Menghina Saya!!


"Hahahaha....muka macam ni ada cita-cita nak dapat A dalam SRP? Jangan haraplah! Kalau hang dapat gred A dalam SRP mai potong jari aku!!!" gertak cikgu Manoor dengan suara kuat seperti halilintar. Marah benar dia kerana sekali lagi aku gagal dalam subjek matematik, subjek yang diajarnya di kelas kami.

Satu kelas hening. Banyak mata pelajar yang tertumpu ke arahku. Aku cuma tunduk. Cabaran atau penghinaan yang diberikan oleh cikgu Manoor? 

Apa yang pasti aku sangat malu ketika itu! Rasa seperti nak terpa ke tingkap di tingkat tiga itu dan terjun. Biar berkecai kepala! Malu dengan kata-kata penghinaan cikgu Manoor.

Sebelum tinggalkan kelas cikgu Manoor sekali lagi merenung ke arahku sambil menunjukkan jari telunjuk kirinya, "Kalau kamu dapat gred A dalam SRP, potong jari cikgu!!!". Cuma sekali ini suara cikgu Manoor tak kuat seperti mula tadi. Bila suaranya normal dia berbahasa dengan muridnya "kamu" dan "cikgu". Bila dia marah pula "kamu" ditukarnya menjadi "hang", "cikgu" pula menjadi "aku".

Pagi itu aku tak pergi makan di kantin sekolah. Rasa malu dimarah cikgu Manoor dalam kelas dan cabarannya untuk memotong jari jika aku dapat A dalam SRP tak dapat aku terima. Bila seorang cikgu mempertaruhkan jarinya sendiri untuk dijadikann korban, itu maknanya dia sangat tak yakin dengan kemampuan anak muridnya.