»
Showing posts with label Aceh. Show all posts
Showing posts with label Aceh. Show all posts

19 May 2015

Sayangkan Suami Tinggal-Tinggalkan!!


Pagi-pagi tadi, lepas Subuh, bergegas JR keluar dari rumah hantar puan isteri ke airport Alor Setar. Isteri dan rakan-rakan ofisnya nak ke Padang, Indonesia. Mereka bercuti selama 4 hari di sana. Padang adalah ibu kota wilayah Sumatra Barat,wilayah yang kaya dengan adat Minangkabau yang berteraskan budaya Pepatih.

Dalam dairi hidup JR dan isteri meninggal dan ditinggal dah jadi perkara biasa. Sejak awal perkahwinan kami sudah terbiasa berpisah, tak tinggal sebumbung sebab urusan kerja. Campur, tolak, bahagi, dekat 10 tahun juga kami tinggal berasingan, cuma sesekali bertemu di hujung minggu. Dalam jarang-jarang jumpa itu pun sempat juga dia lahirkan 6 anak JR, hehehehe....

Jadi bila sesekali berpisah macam ni dah rasa tak apa-apa. Awal tahun ini pun isteri dan rakan-rakan ofisnya pergi bercuti di Bandung dan Jakarta. Tahun-tahun sebelum itu isteri pernah bercuti di Medan, Aceh, Bali, Ho Chi Minh City dan Bangkok, juga bersama kawan-kawan ofisnya. JR pernah cadangkan isteri ajak kawan-kawannya melancong ke Kutub Utara dan Kutub Selatan pula lepas ni untuk cari pengalaman bercuti yang lebih mencabar dan more adventurous. Tapi isteri kata tiada flight dari Malaysia ke sana, kalau ada memang dia nak cuba juga, hehehehehe....





           Kalau ke Padang, tak sah lawatan jika tak melawat Musium Adityawarman

Sebelum masuk ke pintu airport pagi tadi isteri tanya nak pesan barang apa untuk dibawa balik dari Padang nanti?

"Barang? Pesan barang special boleh tak?" tanya JR.

"Pesanlah.. Im cari sampai dapat!" itu janji sang isteri, janji yang mesti ditunaikan....

"Hmmm...kalau gitu, bawa balik gadis Minang dari desa Padang... amacam?".

Tak payah bayangkan muka isteri bila JR kata begitu. Tau-tau sendiri. Sweeet & sour!!!

Benar kata pepatah Melayu:

Sayangkan anak tangan-tangankan
Sayangkan suami tinggal-tinggalkan!

16 May 2015

Rohingya - Kejamnya Sebuah Kehidupan


Ketika kita sedang sedap-sedap hadap makanan yang berlambak-lambak atas meja:


ingatilah 8,000 pelarian Rohingya seagama dengan kita yang sedang kelaparan atas sampan usang di tengah lautan berdekatan Thailand, Malaysia dan Indonesia. Sudah berminggu-minggu mereka di tengah lautan, ada yang berbulan-bulan, tanpa makanan mencukupi. Mereka kurus kering, ramai yang sakit terutama kanak-kanak dan orang tua. Ada yang mati kelaparan dan sakit dan terpaksa dikuburkan ke dalam laut. 


Ada sampan usang Rohingya yang cuba hampiri perairan Thailand, Malaysia dan Indonesia. Tentera laut dan udara Thai membantu beri mereka makanan dan ubat tapi pelarian yang berada dalam sampan itu tak dibenarkan mendarat di Thailand. Mereka perlu berada di tengah laut entah berapa lama lagi.

Ada juga pelarian yang kelaparan cuba memasuki perairan Malaysia. Menurut berita, tentera laut Malaysia mengusir mereka ke tengah laut semula. Akhirnya sebahagian mereka dapat mendarat di wilayah autonomi Islam Acheh, Indonesia yang masih sanggup menerima saudara seagamanya.


Kita saudara seagama mereka di sini, makanan tak habis-habis, makan dari awal pagi hari ini sampai awal pagi esoknya. Jika pelarian Rohingya ramai yang mati kerana tak cukup makan, kita di sini mati kerana terlebih makan. 

Kita di sini makanan berlambak tak habis buang dalam bakul sampah. Kejam dan kontrasnya sebuah kehidupan...


Sambil sedap-sedap makan, ingat-ingatlah mereka. Mereka Islam, kita juga kan Islam...?