»

01 May 2014

Sejarah 1 Mei


Hari ini 1 Mei 2014. Ramai orang mengingati 1 Mei sebagai hari cuti umum - hari untuk bersantai di rumah menonton TV, buat kerja rumah. Atau 1 Mei diingati sebagai hari untuk pergi piknik di pantai, air terjun. Atau bagi mereka yang malas nak buat apa-apa boleh bangun lewat, makan dan kemudian sambung tidur.

Ramai yang terlupa tentang sejarah 1 Mei. Ramai yang terlupa banyak darah yang mengalir di seluruh dunia sebelum 1 Mei diisytiharkan sebagai Hari Pekerja.

Hari Pekerja yang kita rayakan sekarang sebenarnya bermula dari rasa tak puas hati pekerja-pekerja di Australia yang ditindas dengan bayaran gaji rendah tapi masa kerja yang panjang, sesetengahnya perlu kerja 18 jam sehari. Pada 1 Mei 1856 ratusan ribu pekerja di seluruh Australia berkumpul menyatakan tuntutan untuk bekerja 8 jam sehari dengan gaji yang munasabah. 

Akhirnya selepas melalui satu sejarah perjuangan yang panjang, ramai pekerja yang terbunuh dan disumbat ke dalam penjara demi perjuangan membela nasib pekerja yang ditindas oleh majikan, akhirnya kerajaan Australia bersetuju menetapkan waktu kerja tidak lebih 8 jam sehari.
 
Kemenangan perjuangan pekerja di Australia itu memberi inspirasi kepada pekerja-pekerja lain di seluruh dunia untuk membuat tuntutan waktu kerja dan layanan gaji yang sama. Ramai yang terbunuh dan dipenjarakan di Amerika dan Eropah dalam perjuangan menuntut waktu kerja dan gaji yang lebih baik ini.

Sejak itu, kaum pekerja seluruh dunia bersatu untuk merayakan 1 Mei sebagai hari memperingati perjuangan supaya pekerja dilayani sebagai manusia oleh majikan mereka.

Di Malaysia, perayaan Hari Pekerja pada 1 Mei mula disambut seawal tahun 1972. Mula-mula ia dikenali sebagai perayaan Hari Buruh sebelum kemudiannya ditukar kepada Hari Pekerja. 

Semua kita sama ada pekerja pencuci longkang, pembersih sampah, tukang kebun, kerani, guru, pengetua sekolah, doktor di hospital kerajaan dan hospital swasta, pegawai tinggi kerajaan termasuk semua Ketua Pengarah, Ketua Polis Negara hingga Ketua Setiausaha Negara semuanya adalah pekerja. Semua yang ada pay slip yang dibayar gaji pada setiap bulan oleh majikan meraka adalah pekerja. Malah suri rumah tangga juga adalah pekerja.

1 Mei pada tahun ini di Malaysia disambut dengan cara agak berbeza. Petang ini satu perhimpunan sempena Hari Pekerja akan dibuat di hadapan Dataran Merdeka untuk menuntut cukai baru GST yang akan dimulakan pada awal tahun depan dimansuhkan kerajaan. Perhimpunan itu bermula pada pukul 2 hingga 5 petang ini. Melalui GST kaum pekerja dipaksa membayar satu lagi cukai baru yang membebankan ketika kos sara hidup semakin tinggi. Walaupun ramai orang termasuk bekas PM Tun Dr Mahathir menentang GST tapi ia tetap diluluskan kerajaan. Ada yang berkata kunjungan Presiden Obama baru-baru ini ke Malaysia adalah salah satu amaran dan ugutan negara pembuli itu kepada Malaysia supaya menerima GST.

Apa pun perjuangan pekerja bagi memperjuangkan masa depan generasi akan datang, semoga ianya berjalan dengan sopan, tanpa kekacauan, tanpa huru hara. 

Pihak polis telah meluluskan perhimpunan membantah GST petang ini di hadapan Dataran Merdeka. Polis telah menasihatkan pemandu kenderaan tidak melalui lapan kawasan yang dijangka berlaku kesesakan lalu lintas ekoran perhimpunan tersebut pada sekitar pukul 12 tengah hari sehingga 8 malam ini. Kawasan tersebut ialah KLCC, Sogo, Masjid Negara, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid India, Puduraya dan Dataran Maybank berhampiran Plaza Rakyat.

Selamat Hari Pekerja kepada semua mereka yang bekerja. Kepada mereka yang berhimpun di sekitar Dataran Merdeka,  harap sentiasa bekerjasama dengan polis supaya perhimpunan berlangsung dengan aman..

Nota: Entri di atas ditulis oleh JR berdasarkan beberapa sumber dari Wikepedia, akhbar dan blog. Jika tersilap fakta, sila betulkan..

4 comments:

  1. Pada pendapat saya, lebih byk persoalan drpd jawapan berkenaan isu GST ni. Susah nak faham ...

    ReplyDelete
  2. Saya setuju denganJR

    ReplyDelete
  3. Saya sependapat dengan en. JR .

    ReplyDelete
  4. Baru tahu asal usul bermulanya diujudkan Hari Pekerja....

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....