»

27 May 2014

Israk Dan Mikraj Dari Perspektif Sains


Hari ini seluruh Kedah bercuti sempena Israk dan Mikraj.

Bila tiba Israk dan Mikraj, JR selalu teringat dua perkara. Pertama ceramah Israk dan Mikraj yang biasa diadakan di surau dan masjid sempena peristiwa bersejarah ini. Kedua, bila Israk dan Mikraj JR selalu teringat rakan lama JR yang dikenali sejak Tingkatan Enam ketika belajar di Pulau Pinang dulu.

Rakan JR itu bernama Gan Ming Yao. Kami memanggil namanya Gan saja. Bicara Melayunya sangat fasih, muka pula sebiji macam Melayu dengan kulit putih melepak dengan rambut sedikit perang. Ramai rakan-rakan pompuan Melayu cuba mengorat Gan tapi lelaki hensem ini selalu buat jual mahal. Lagi pun katanya dia seorang free thinker, seorang atheist yang tak percaya kewujudan Tuhan, mahukah mereka bersuamikan seorang yang tak percaya kepada agama?

Suatu hari pihak sekolah mengadakan ceramah Israk dan Mikraj. Seperti biasa, kedatangan diwajibkan, kecuali kepada pelajar bukan Islam. Tapi Gan secara sukarela pergi mendengar ceramah Israk dan Mikraj, katanya untuk mengetahui sesuatu yang sebelum ini cuma dibacanya dalam buku.

Ceramah ustaz pada hari itu tak banyak beza dengan ceramah-ceramah mengenai Israk dan Mikraj yang pernah JR hadiri sejak di sekolah rendah. Semuanya tentang perjalanan Nabi dari Mekah ke Baitul Maqdis dan kemudian ke tujuh lapisan langit dengan menaiki buraq diiringi malaikat Jibril dan 2 malaikat lain. Di setiap langit Allah menunjukkan keajaibannya dengan gambaran masa depan yang akan terjadi kepada manusia dan umat Muhammad. Memang ramai yang terlena mendengar ceramah ustaz, seperti mendengar cerita ulang tayang filem P.Ramlee di TV yang didengari sejak kecil lagi...

Bila ceramah habis, ustaz memberi peluang kami bertanya. Ramai jugalah yang bertanya, kebanyakannya tentang syurga dan neraka, tentang itu-itu juga...

Bila di penghujung soalan, tiba-tiba Gan bangun mencapai mikrofon untuk bertanya. Kami agak terkejut, apa yang nak ditanya oleh si-atheist ini?

Gan bertanya ustaz bagaimana Nabi Muhammad boleh sampai ke langit dan pulang semula ke bumi dalam tempoh satu malam saja? Jika kapal angkasa Apollo 11 mengambil masa selama 4 hari untuk sampai ke bulan, bagaimana Nabi boleh pergi ke langit cuma dalam tempoh sesingkat itu,sedangkan jarak langit lebih jauh dari bulan dan perlu melepasi seluruh sistem universe?? Secara logik kata Gan perjalanan ke langit akan mengambil masa beribu-ribu atau berjuta-juta tahun, bagaimana ustaz nak jelaskannya?

Jawapan ustaz sangat ringkas dan mudah - Allah adalah Tuhan Yang Maha Berkuasa, Dia  yang menjadikan bumi, bulan bintang dan alam semesta serta manusia di dalamnya. Segala yang berlaku adalah dengan kuasa dan keajaiban Allah dan kita sebagai manusia perlu menerima kebesaran Allah, termasuk percaya kepada Israk dan Mikraj. Titik....

Gan hanya tersenyum dengan jawapan ustaz. JR tau dia tak berpuas hati dengan jawapan ustaz yang tidak cuba menjawab soalan itu dengan jawapan  saintifik. Tapi apa nak kata, ustaz itu bukan ahli sains, bukan astronomis, dia cuma seorang guru agama yang lebih mahir tentang fiqah, tauhid dan sejarah..

Kira-kira 8 tahun selepas itu, ketika itu JR bekerja dengan sebuah agensi di Kuala Lumpur. Suatu hari agensi tempat kami bekerja mengadakan ceramah Israk dan Mikraj. Ceramah diberikan oleh Datuk Ustaz Abu Hassan Din al-Hafiz, bekas Penasihat Agama, Istana Negara (adik kepada Datuk Dr Haron Din).

Sepanjang mendengar ceramah Israk dan Mikraj, inilah ceramah yang paling berkesan di jiwa JR. Datuk Abu Hassan memberi ceramah mengenai perjalanan Israk dan Mikraj dengan begitu akademik, dilengkapi dengan bukti-bukti saintifik dan perkiraan matematik:

- Ustaz Hassan mula-mula bercakap tentang teori relativiti masa Albert Eistein dan membandingkannya dengan perjalanan Nabi yang tidak lari dari teori sains moden.

-  Ustaz Hassan berkata Nabi pergi dari Mekah ke Baitul Maqdis hingga ke langit ke tujuh diiringi malaikat. Nabi pergi ke langit menaiki buraq dan bukan menaiki kapal angkasa kerana jika menaiki kapal angkasa Nabi mungkin akan meninggal sebelum balik ke bumi kerana jarak perjalanannya yang jauh. Malaikat diperbuat dari cahaya dan pergerakan Nabi dari setempat ke setempat adalah sepantas cahaya, malah lebih pantas dari cahaya kerana sudah pasti malaikat yang diperbuat dari cahaya  mampu bergerak berkali ganda melebihi kepantasan cahaya. Oleh itu berdasarkan perkiraan matematik yang dibuat ustaz Hassan adalah tidak mustahil misi ke langit itu boleh disempurnakan dalam tempoh beberapa jam saja.

-  Jika angkasawan dipakaikan pakaian tertentu (baju angkasa) untuk ke angkasa, Nabi pula telah dibedah sebelum Mikraj bagi memastikan jasadnya dapat bergerak pantas mengikut kepantasan Jibril.

-  Kisah kejahatan manusia yang dibalas dengan siksaan yang ditunjukkan kepada Nabi adalah seperti  penghantaran maklumat dengan gelombang yang kini digunakan dalam pancaraan setelit. Cuma penghantaran gelombang melalui setelit ciptaan Allah sudah pasti berjuta kali lebih berkesan dan pantas berbanding pencapaian manusia hari ini sehingga Nabi melihat dia  betul-betul berada di lokasi yang ditentukan Allah itu.

-  Banyak lagi kupasan Ustaz Hassan Din - semuanya disampaikan dengan bukti-bukti saintifik dan perkiraan matematik yang menjadikan semua kami kagum kerana inilah pertama kali mendengar ceramah Israk dan Mikraj melalui perspektif sains.

Tapi sayangnya cara penyampaian Israk dan Mikraj seperti Datuk Ustaz Abu Hassan Din al-Hafiz itu hanya sekali itu saja JR dengar. Di masjid malam tadi pun ada ceramah Israk dan Mikraj, tapi biasalah...sama sepeti versi ustaz yang pernah di dengar sejak usia budak-budak dulu lagi...

Salam Israk dan Mikraj untuk semua mereka yang membaca entri ini. Juga salam Israk dan Mikraj buat Encik Ghanny Gan bin Abdullah (Gan Ming Yao), semoga dia dan keluarga sentiasa berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat...

9 comments:

  1. Alhamdullilah....rakan JR tu telah kembali ke agama fitrah ini.
    Menarik kupasan Ustaz Hassan Din tu....tentang penjelasan saintifik itulah yg saya baru dengar ceramahnya 2 hari lepas...oleh seorang ustaz di surau kawasan rumah saya...Jibril dari cahaya, dan Buraq, berasal dari perkataan Kilat. Kilat ialah pancaran cahaya...Jadinya, mmg boleh sgt baginda Rasul SAW bergerak selaju cahaya!

    ReplyDelete
  2. Ana pun dengar gak ceramah israk mikraj. Tp kali ni, ustaz lepasan urdun. Dengar kuliah dia, masya-Allah. Terpegun. Wpun sebelum ni dengar gak dari org lain. Tp x sehebat keterangan ustaz yg ana dengar kali ni.

    ReplyDelete
  3. Tersenyum dan syukur kerana akhirnya Gan telah diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk agama Islam dan menjadi umat Nabi Muhammad SAW..tertanya2 bagaimanakah hidayah itu datang...

    ReplyDelete
  4. Insaf yang teramat insaf . Terima kasih berkongsi cerita serta info yang sangat bagus.

    ReplyDelete
  5. terima kasih kerana berkongsi.

    ReplyDelete
  6. betullah JR, penceramah agama kena belajar lebih sikit (berkaitan teori saintifik), supaya boleh beri lebih kepada pendengar zaman teknologi ni.

    Alhamdulillah Gan bertemu jln yg benar, berkat usaha dia yg nak berfikir dan cari kebenaran.

    ReplyDelete
  7. Oo, jadi Gan dah revert? Cemana kisah dia boleh kembali tu? Tentunya bukan daripada ceramah Israk Mikraj yg ustaz kat skolah JR tu bagi kan?

    ReplyDelete
  8. Terimakasih berkongsi penerangan israk dan mikraj dari Datuk Ustaz Abu Hassan Din al-Hafiz.. sangat menarik!

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....