28 December 2013

Jangan Hina Orang Pangkat Rendah!!


Pagi ini JR ke Pasar Awam Alor Setar. Singgah ke 'cafeteria' pasar itu untuk lapik perut sikit. Tapi bila duduk di kerusi, rasa tak ada selera nak makan pula. Cuma order teh ais dan sekeping karipap saja untuk melapik perut. 

Sambil minum, telinga lintah JR memintas dengar perbualan seorang lelaki bersama seorang perempuan (mungkin pasangan suami isteri) di meja sebelah.

"Tak patut betoi Pak Li hina orang macam tu. Kalau orang hina anak dia pula, apa dia rasa??" kata si-suami.

Berdasarkan percakapan mereka, JR menyimpulkan Pak Li adalah jiran kepada  suami-isteri di sebelah meja JR tu. Baru-baru ini ada rombongan datang meminang anak gadis Pak Li. Tapi Pak Li menolak mentah-mentah pinangan tersebut. Alasannya lelaki yang mahu memperisterikan anaknya cuma seorang atendan hospital

"Gaji pun tak sampai RM2,000 ada hati nak bela anak aku, mampukah? Pi mengaji tinggi-tinggi dulu, masuk universiti, kemudian baru mai sini balik..." si-suami mengajuk sindiran Pak Li kepada ketua rombongan meminang.

Tiba-tiba JR teringat dailog filem "Ibu Mertuaku":

Nyonya Mansor (ibu): "Kassim Selamat...? Siapa dia Kassim Selamat? Lawyer? Magistrate?"
Sabariah (anak): "Ahli muzik"
Nyonya Mansor:   "Ahli muzik?! Memang pantang datuk nenek aku ahli muzik. Anak tidak mengenang jasa!!"


Tapi hina sangatkah atendan hospital?

Teringat JR perbualan dengan seorang rakan yang merupakan seorang pegawai tinggi kerajaan di Putrajaya. Kawan JR bernama M itu menceritakan pengalamannya menemuduga beberapa jawatan pangkat rendah yang memohon kerja di Kementerian Kesihatan Malaysia. Antara jawatan kosong yang ditemuduga ialah atendan kesihatan, pemandu, pembantu am rendah (budak pejabat) dan pembantu rendah awam (tukang kebun).

Memandangkan ramai yang memohon, temuduga dijalankan selama 4 hari. Sebelum sesi temuduga bermula, calon seperti biasa akan diminta menunjukkan sijil-sijil kelulusan yang mereka bawa. 

Pada hari ketiga temuduga, M tertarik kepada seorang pemuda yang memohon jawatan atendan kesihatan. Kelulusan yang diperlukan untuk jawatan atendan cuma tamat Tingkatan Tiga, tapi calon yang ditemuduganya itu menunjukkan sijil PMRnya yang semuanya A!

"Bagusnya PMR awak...awak tak ambik SPM ke?" tanya M kepada pemuda itu.

"Saya ada SPM..." lalu pemuda itu mengeluarkan sijil SPM dari dalam sampul di tangannya. 

Sekali lagi M terkejut bila menatap sijil SPM pemuda itu, resultnya sungguh baik: semua dapat A, kecuali sejarah saja dapat B!

"Bagusnya SPM awak, eh, awak tak belajar lebih tinggi ke...pergi matrik ke, diploma ke, tingkatan enam ke??

Lalu pemuda itu mengeluarkan sekeping sijil bercop mohor merah. Sekeping ijazah!

"Ohh..jadi awak ni graduan UUMlah..ada ijazah dengan kepujian... Mengapa awak minta jawatan atendan yang cuma untuk budak Tingkatan Tiga? Mengapa tak minta jawatan yang setaraf dengan kelulusan awak?"

Lepas mengetahui ada pemohon yang mempunyai ijazah dan diploma juga memohon jawatan atendan, M akan bertanya calon-calon selepas itu sama ada mereka mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dari PMR dan SPM. M mendapati berpuluh pemohon jawatan atendan sebenarnya adalah pemegang ijazah dan diploma. Cuma dalam borang permohonan mereka tak beritahu mempunyai ijazah dan diploma kerana takut tak dapat kerja.

M berkata dia kesian sangat dengan sebahagian budak-budak yang datang temuduga tu. Mereka berkelulusan tinggi, tapi kerana tak ada kerja yang sesuai dengan kelulusan, terpakasalah mereka bekerja sebagai kerani kaunter tiket bas, pelayan restoran mamak, pembantu jualan di supermarket dan peniaga ikan di pasar borong. 

Mereka tak memilih kerja seperti kata sesetengah menteri. Mereka sanggup buat kerja apa saja, yang penting ada kerja.... 

Jadi kepada Pak Li, jangan memandang rendah kepada mereka yang berjawatan rendah. Mungkin lelaki yang meminang anak gadisnya itu juga ada ijazah dari Universiti Harvard, Oxford atau Cambridge siapa tahu??

11 comments:

  1. pangkat tinggi,gaji ribu riban tak habis makan,ijazah berjela2..tak guna juga kalau agamanya tunggang langang...saya ingat kalau nak meminang anak saya...nak test..suruh jadi imam masa solat hehe...lulus yg tu..baru yg lain lulus..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju....anak perempuan saya juga, saya perlu ambil pendekatan yg serupa...

      Delete
  2. Memang ada ibubapa yang pentingkan pangkat dan harta sebagai jaminan masa depan anak gadis nya tetapi kita terlupa yang wang ringgit bukan jaminan kebahagiaan.

    ReplyDelete
  3. masih lagi ade yg berpikiran kolot & mementingkan pangkat dan gaji...kalaulah attenden hospital pun kalau dpt bimbing & beri kebahagian pd anak pompuan itu..lagi elok drp yg berpangkat ttp takder iman..

    ReplyDelete
  4. Kerja sektor kerajaan mungkin ok lg dipandangan sesetengah org bila bab memilih calon ni..tp kalu kata keja kilang ..ramai yg fikir panjang sebab kilang x menjamin katanya wallhualam.

    p/s sy 10thn kerja swasta...sebenarnya rezeki masing2 bila dah kawin. .Dan bila ada anak rezeki bertambah dan mampu utk menjalani hidup bahagia..duit bukan segalanya.

    ReplyDelete
  5. Salam singgah,,,pertama kali berkunjung ke blog ni.... :D

    Pangkat dan darjat bukan pengukur kebahagiaan......

    ReplyDelete
  6. saya teringin nak tahu penamat kisah M dan lelaki yang ada ijazah UUM tu...adakah M luluskan permohonannya utk jawatan Attendan Kesihatan? Atau M proposed dia utk jawatan lebih tinggi?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malangnya lelaki itu tak boleh diperakukan utk jawatan lain yg lebih tinggi, dia cuma boleh disokong utk jawatan yg dipohonnya....

      Delete
  7. Sekit atau banyak gaji..yg penting berkat dan 'cukup'....semoga adik2 graduan (dan yg bukan graduan juga) dipermudahkan utk dpt kerja...apa2 pun lumrah dunia..org akan tetap pandang $$$$$
    Tiba2 teringat kat cerita ibu mertuaku..."Alah Kassim!!!!"

    ReplyDelete
  8. Sampai hati Pak Li...kalau Allah jodohkan anak dia dn lelaki yg lebih teruk dr itu macamana...?jodoh tu di tgn tuhan....

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....