Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan bahawa rebat RM200 untuk telefon pintar  yang diumumkan dalam Bajet 2013 hanyalah untuk telefon pintar yang berharga maksimum RM500.

SKMM telah menerbitkan kriteria berikut dalam lamanwebnya:
  • Warganegara Malaysia berumur 21 tahun hingga 30 tahun.
  • Berpendapatan bulanan RM3000 ke bawah.
  • Model telefon pintar 3G yang diluluskan dengan harga maksimum RM500.
  • Pelanggan jalur-lebar mudah-alih sedia ada atau pakej baru.
  • Hanya satu telefon pintar untuk seorang belia.

Menurut notis yang disiarkan semalam, program rebat di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) telah diperuntukkan sejumlah RM300 juta oleh kerajaan yang akan memberi manfaat kepada 1.5 juta belia.

Permohonan untuk rebat adalah terbuka dari 1 Januari hingga 31 Disember 2013 dan para belia yang berminat boleh memohon melalui lamanweb SKMM.

NONESetem biru kelihatan di sudut kanan laman web yang bertulis
Janji Ditepati, Mulai 1 Januari 2013, Bajet 2013.

Bagaimanapun,Malaysiakini mendapati lamanweb tidak boleh diakses sejak pagi ini.

Pada 28 September, di bawah Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rebat RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G untuk belia berumur 21 hingga 30 tahun, dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah atau tanpa pendapatan bulanan, daripada peniaga yang dibenarkan bawah Pakej Komunikasi Belia.