»

07 October 2012

Suatu Maghrib Di Pasar Malam Dan Di Sini Dosa Tercatat..


Ketika JR di pasar malam dekat Pacific Alor Setar petang tadi, dari kejauhan terdengar azan Maghrib berkumandang. Ah, dah masuk waktu Maghrib ni. Lalu JR bergegas beli apa yang patut dan lepas tu cepat-cepat start kereta untuk balik ke rumah. Waktu maghrib dan isyak cuma selang lebih kurang satu jam saja, kalau buat ralit-ralit pasti terlepas Maghrib. Ehem...jangan lupa ada malaikat Raqib dan Atid sedang memerhatikan kita, mencatat pahala dan dosa!!

Ketika JR tergesa-gesa meninggalkan pasar malam tadi, kelihatan ramai yang masih sedang membeli barang atau makanan. Ada juga yang sedang pekena bihun sup yang sedang berasap bersama teh tarik di sebelah. Peniaga sate pula sedang sibuk mengipas sate yang sedang berasap tebal. Sempatkah mereka solat Maghrib??

Dan yang paling malang, ketika JR bergegas untuk pulang masih ada yang baru sampai ke pasar malam. Ada yang datang solo, ada yang datang seperti suami isteri, ada yang datang suami isteri ditemani anak-anak. Tertanya-tanya dalam hati: sempatkah mereka bersolat Maghrib yang masanya sangat singkat itu? Qadha solat? Itu memang mengarut, Nabi masa berperang pun tak tinggal solat, ini kan pula cuma untuk ke pasar malam boleh tinggal solat dan qadha di rumah??

Jangan lupa cik abang dan cik kak bertudung..malaikat Raqib dan Atid sedang memerhatikan kita..jangan pula ketika kita sibuk membeli laksa, malaikat Atid pula sedang sibuk mencatat dosa...

Bila melihat situasi ini teringat JR kepada pasar malam Padang Jawa, Shah Alam, Selangor. Pasar malam ini ditutup selama 20 minit setiap kali tiba waktu Maghrib bagi memberi peluang peniaga dan pembeli bersolat. 

Sejurus azan Maghrib berkumandang, lampu gerai ditutup dan urusan jual beli dihentikan serta merta. Tiada urus niaga dibenarkan selama 20 minit.  Dalam tempoh itu, peniaga dan pengunjung Islam pergi beramai-ramai menunaikan solat Maghrib di masjid berdekatan, sementara bagi bukan Islam mengikuti arahan penuh hormat dan bertanggungjawab. 


(Foto: putrinadira.blogspot)


Sejak amalan menutup pasar malam itu dipraktikkan hampir tiga tahun lalu, tak pernah pula berlaku kecurian barang. Peniaga tidak perlu  bimbang tentang barangan jualan mereka yang ditinggalkan kerana kawasan perniagaan dikawal oleh petugas  JKKK dan RELA.

Alangkah baiknya jika pasar-pasar malam yang lain di negara kita juga menutup seketika perniagaan bagi menghormati waktu Maghrib. Cari rezeki cari rezeki juga, cari makan cari makan juga tapi adalah lebih baik jika kita menghormati seruan Allah yang memberi rezeki kepada kita.

Cuma mungkin isunya sebahagian pasar malam jauh dari masjid dan surau. Tapi ia bukan masalah, nak seribu daya tak nak seribu dalih. Apa salahnya jika Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran berkenaan boleh pasang khemah di tapak berdekatan pasar malam untuk kemudahan jemaah bersolat Maghrib. Tak kan nak pasang khemah pun nak berkira... Jika setiap kali pasar malam orang Bandaran rajin datang kutip sewa dari peniaga, tentu mereka juga akan rajin juga untuk pasang khemah untuk bersolat. Besar pahalanya bang jika lakukan kebajikan...semoga malaikat Raqib akan mencatat pahala untuk amalan baik yang dilakukan itu...


7 comments:

  1. selalunya bende2 yg baik cmni nk kene tegur n nk kene kuat kuasa br org bertindak..

    ReplyDelete
  2. waktu berniaga pasar mlm di kebanyakan tempat bermula seawal pukul 4 petang. Memang wajib di tutup sejam untuk waktu solat maghrib. Jom kita tulis Surat pada majlis perbandaran..

    ReplyDelete
  3. Baru saya tau ada psr mlm yg tutup jap utk solat maghrib. Wow..alhamdulillah!

    Mmg saya ada jumpa org2 yg solat ikut sempat. solat bila kat rumah..time keluar tak mo solat.
    tapi selalu gak jumpa peniaga yg solat dicelah2 kesibukan dan dicelah brg2 niaga diorang.

    ReplyDelete
  4. padang jawa...ooo..dekat laa tuu..saya dok kg jawa....nnt try g pasar malam kat ctu eks..

    ReplyDelete
  5. ketika maghrib itu la ketika yg paling meriah dipasar malam...


    saya ke pasar malam jam 5.30 atau 6 ptg...tak pernah lbh dari tu...6.30 dah blk..

    ReplyDelete
  6. itulah yang sedihnya melihat situasi begini seolah2 laungan azan itu tidak diendahkan.mungkin kerana seksaan itu tidak diperlihatkan..

    cuba kalau ALLAH tunjukkan garenti masjid tak pernah cukup ruang.

    ReplyDelete
  7. Sedih jugak...time azan maghrib masih lagi ramai orang kat pasar...

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....