»

04 October 2012

Mana Hadiah Hari Jadi Untuk Ibu???


Masa kecil-kecil dulu JR memang seorang budak yang suka bertanya. Banyak pertanyaan yang ibu JR tak boleh jawab. Bila tak boleh jawab ibu akan tunjuk kepada ayah,"Pi tanya ayah hang pulak!!".

Itu memang cara nak cantas jawapanlah tu. Ibu tau JR tak kan berani tanya ayah yang terkenal garang macam singa jantan tu...

JR masih ingat pernah tanya ibu masa kecil mengapa langit warna biru, bukan kuning, ungu atau jingga? Jawab ibu mudah: dah Allah jadikan langit warna biru, birulah jadinya!! JR tanya lagi mengapa pula Allah jadikan biru dan bukan warna-warna lain? Ibu cuma senyum...tanda dia surrender tak boleh jawablah tu..

JR pernah juga tanya mengapa daun berwarna hijau dan bukan merah, putih atau hitam? Ibu jawab Nabi sendiri suka warna hijau, di syurga nanti juga dipenuhi warna hijau...Bila cikgu ajar Sains di sekolah barulah JR tau daun berwarna hijau kerana adanya dominasi pigmen warna hijau yang disebut klorofil  yang ada di dalam serat-serat daun.

Tapi ada suatu hari bila JR tanya mengapa orang suka buat majlis hari jadi, ibu memang tak boleh jawab. Mula-mula ibu kata, "Dah depa banyak duit depa buat la hari jadi...". Itu memang satu jawapan yang logik, bagi kami orang yang kurang duit ni memang tak pernah buat pun majlis hari jadi, tarikh lahir pun selalu lupa!!!


Lama lepas tu sambil menggoreng ikan Uji Rashid ibu tukar jawapan, "Depa buat majlis hari jadi sebagai tanda kesyukuran kepada Allah kerana mereka lahir dengan selamat pada tarikh itu". Jawapan yang logik juga...tapi...

"Tapi bukankah ibu yang lahirkan orang itu..ibu susah-susah lahirkan anak, tapi pasai apa hari jadi disambut  untuk anak dan bukan untuk ibu??"

Untuk soalan itu ibu tak ada jawapan!!

"Pi la tanya pak hang pula!!" kata ibu sambil mengalihkam ikan Uji Rashid di dalam kuali.

Bila JR kawin, di hari lahir JR di tahun pertama perkahwinan kami isteri JR menghadiahkan sesuatu yang memang JR suka. Jam tangan berjenama!! 

Selepas mengucapkan terima kasih kepada isteri tercinta, JR berkata kepada isteri, "Lebih afdal jika mak abang yang diberi hadiah sebab dialah yang melahirkan abang. Mak yang mengandung sembilan bulan, mak yang rasa sakit masa lahirkan abang, abang cuma dilahirkan, orang yang dilahirkan tak rasa sakit apa-apa pun, ibu yang lahirkan yang rasa sakit... Patutnya mak lah yang patut terima hadiah sebab dia yang melahirkan. Tapi untuk hadiah jam ni memang terima kasih banyak-banyak..."

Nampaknya apa yang JR kata tu meninggal kesan yang mendalam di hati isteri JR sebab sejak itu JR tak pernah terima apa-apa hadiah harijadi lagi daripadanya!! Sebaliknya isteri menggantikannya dengan hadiah kepada ibu setiap kali kami balik kampung...

Hari ini 4 Oktober 2012, JR tidak lagi boleh bertanya macam-macam kepada ibu seperti masa kanak-kanak dulu. Ini kerana ibu JR telah pergi mengadap Illahi kira-kira dua tahun lepas. JR juga tak boleh lagi menghadiahkan apa-apa  yang berbentuk material kepada ibu yang melahirkan JR, cuma al-fatihah dan doa untuk kesejahteraan ibu yang dapat JR panjatkan....

Terima kasih ibu yang melahirkan anakmu ini pada satu pagi bertarikh 4 Oktober....

6 comments:

  1. Selamat hari ulangtahun kelahiran JR. Satu catatan yang 'manis'. Tanpa ibu, siapalah kita, kan? :)

    ReplyDelete
  2. Betul JR. Suami saya pun ajar macam tu. Dan sama lah.. Lepas ni dah tak boleh nak bagi ucapan penghargaan lagi utk mak. Hanya boleh beri ucapan itu pada abah. Tapi sebelah suami masih ada peluang lagi. InsyaAllah.

    ReplyDelete
  3. AlFatihah..
    hari ini birthday anak buah saya..

    ReplyDelete
  4. Mula2 baca entri ni saya senyum meleret,dapat bayangkan anak saya pun macam JR juga nanti dan saya akan berda di tempat ibu JR untuk menjawab banyak soalan setiap hari..

    Tetapi bila berada di penghujung entri ini saya betul2 sebak,bergenang air mata.sayu hati.

    SELAMAT HARI LAHIR JR :).Semoga ALLAH panjangkan umur kamu,murahkan rezeki,dan yang paling utama diberi keredaan dan keselamatan dunia dan akhirat amin..

    AL-fatihah untuk Arwah..

    ReplyDelete
  5. Innalilahiwainalilahirojiun... semoga doa harian JR untuk emak JR itulah hadiah terbaik hari JR dilahirkan olehnya. Semoga mak JR ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Amin :)

    ReplyDelete
  6. selamat ulangtahun JR..sorry terlewat sehari..sedih gak baca...hok yg last tu sebab saya pun dah xder mak..selalu..kalau hari jadi mak..saya balik kampung..makan kek..sbb mak suka makan kek...

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....