»

06 October 2012

Haru..Mak Mentua Ajak Menantu Makan Dadah!!!!


Petang kelmarin lepas solat Jumaat di Masjid Bukhary Alor Setar, tiba-tiba JR terjumpa seorang kawan lama, Mat (bukan nama sebenar). Mat ni rakan JR masa kampus dulu, memang kadang-kadang kami tersua di masjid dan supermarket, tapi tak pernah dapat berborak panjang kerana masing-masing ada urusan lain.

Mat ni asalnya Kelantan tapi sekarang dah lama juga menetap di Alor Setar. Isterinya orang Kepala Batas, Pulau Pinang.

Bila bercakap tentang Mat, satu peristiwa yang tak dapat JR lupakan ialah kisah dia semasa mula-mula kawin dulu. Mat ni masa kat kampus dulu memang jenis Kelantan totok, slang Kelantannya agak pekat.  Kebanyakan rakannya juga orang Kelantan, JR adalah antara dua tiga kerat orang bukan Kelantan yang menjadi rakan karibnya.

Kata Mat masa dia mula-mula kawin dengan isterinya dulu dia sangat susah nak menyesuaikan diri dengan mentuanya. Terutama masalah komunikasi, kerana Mat jenis Kelantan totok manakala mentuanya pula Penang totok. Walaupun tak sampai tahap seperti ayam bercakap dengan itik, tapi lebih kurang macam ayam kampung bercakap dengan ayam turki...kadang-kadang  berlakulah miscommunication

Suatu hari ketika mak mentua dan bapa mentua berkunjung ke rumahnya (ketika itu Mat dan isterinya tinggal di Ipoh), terjadi satu insiden yang melucukan. Ketika itu Mat tergopoh gapah nak keluar rumah kerana isterinya meminta Mat membeli sesuatu barang di mini market dekat rumah mereka. Mak dan bapa mentuanya sedang berada di meja makan untuk makan tengahari.

"Awat kalut-kalut sangat tu Mat..." kata mak mentuanya,"Mai la makan dadah dengan kami kan senang, lepaih tu Mat pi la kedai, tak pa aihhhh ..lambat sikit pun tak pa. Mai la makan dadah!!"

Mat agak terkejut....aitttt..bapa dan mak mentuanya penagih dadah ke sampai ajak dia makan dadah?? Kalau dah sampai bapa dan mak mentua makan dadah, bagaimana dengan isterinya?  Haru betul!!

Lepas tu baru dia tau "makan dadah" tu perkataan Utara yang berasal dari perkataan "makan dah-dah" yang bermaksud "makan dulu".

Banyak juga perkataan Utara yang pada mulanya Mat tak begitu paham. Misalnya bila mak mentua suruh beli ikan "Uji Rashid", dia agak tercengang. Lepas tu baru dia tau ikan Uji Rashid sejenis ikan mata besar mengambil nama penyanyi 80an yang bernama Uji Rashid yang bermata galak itu.

Ikan Uji Rashid

Bila ayah mentua kata beli "ikan temenung" untuk digoreng Mat juga agak terkeliru. Ingat orang di wad gila saja suka termenung, ikan pun suka termenung. Rupanya di Utara ikan kembung dipanggil ikan temenung...

Lepas tu banyak lagi perkataan Utara yang Mat pelajari kerana bukan saja ibu bapa mentuanya, isterinya sendiri juga suka menggunakan perkataan Utara terutama perkataan-perkataan yang berkaitan bahan dapur:

Ikan kayu (ikan tongkol)
Daun cenohom (daun kesum)
Daun karapole (daun kari)
Tokua (tauhu)
Kacang Lendiaq (kacang bendi)
Daun asin-asin (cekur manis)
Kacang parpu (kacang dal)
Ubi benggala (ubi kentang)

Tapi sekarang Mat dah fasih betul cakap Utara. Mungkin sebab dia lama juga dah berpindah dan tinggal di Utara, mula-mula di Parit Buntar (Perak) dan sekarang di Alor Setar pula. Cuma sesekali slang Kelantannya terkeluar juga terutama bila dia marah atau bergurau. Misalnya tadi bila jumpa JR dia kata, "Mu ni nakuk paik!!" (kau ni penakut sangat) bila mengetahui JR cuma ada seorang isteri sedang dia secara diam-diam telah berkahwin seorang lagi wanita di Selatan Thai...

4 comments:

  1. Astagfirullah...
    Hahaha..kakya baru nak sembor mak mentua tu..

    Ada baiknya juga kita ambil tahu dialek yang pelik2 ni, supaya tidak disalahertikan. :)

    ReplyDelete
  2. tokua tu kena sengau sikit tau...

    ReplyDelete
  3. kelakar baca kisah mat di atas....kisah di atas terjadi jugak dekat cr gan hubby sekrg...pasal ikan kembung gan ikan temenung tue...hari nie baru cr tahu...ikan kembung gan ikan temenung adalah sama kikiki....buat malu jer...hubby cr orang perak ala utara sikit...cr orang ganu....

    ReplyDelete
  4. hehehehe..ikan kembung ngan temenung sama ler...err..terkomen ...komen CR kat atas lak..

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....