»

29 January 2012

Orang Islam Dibenarkan Bawa Anjing Masuk Rumah


Salam petang Ahad buat semua pembaca blog JR.

Hari ni JR agak terlewat bersiaran di blog ni. Maklumlah hari ni sibuk sikit sebab ada urusan persekolahan anak. Ketika di sekolah tadi JR terjumpa seorang waris yang bercerita tentang rumahnya yang sering dimasuki pencuri. JR juga pernah tinggal di suatu kawasan perumahan di sebelah balai polis, tapi jenis penyamun ni tak pernah heran dengan kehadiran polis. Hingga suatu masa kerana banyak sangat jenayah, JR pernah terfikir untuk memelihara anjing!! Tapi fikiran tu cuma datang ketika marah, bila dah cool balik, rasa takut pula kerana bukankah ada riwayat menyatakan malaikat tak masuk rumah mereka yang memelihara anjing?

Tapi salahkah orang Islam membela anjing untuk keselamatannya?

Kata Ustaz Zahazan, tak salah jika orang Islam nak membela anjing. Malah katanya hadis bahwa malaikat tak masuk rumah orang Islam yang memelihara anjing adalah berdasarkan satu hadis yang lemah.




Baca selanjutnya penjelasan ustaz:

DALAM satu riwayat, Rasulullah SAW menanti kedatangan Malaikat Jibril membawa wahyu Ilahi. Namun, Malaikat Jibril yang dinantikan tidak kunjung tiba sehinggakan ada yang mengatakan Muhammad telah ditinggalkan oleh Tuhannya.

Tidak lama kemudian Malaikat turun membawa surah ad-Duha. Ketika Nabi SAW bertanya kepada Malaikat Jibril sebab mengapa ia tidak datang, maka Malaikat Jibril menjawab: “Kami tidak masuk rumah yang di dalamnya ada anjing dan patung.”

Hadis ini dinilai sebagai da’if (lemah). Kerana itu ada sebahagian ulama membolehkan anjing masuk rumah.


Tetapi perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan ‘masuknya malaikat ke rumah’ adalah masuknya mereka membawa rahmat, sehingga sekiranya hadis itu dinilai sahih sekalipun, maka saudara tidak perlu keliru.


Perlu diketahui setiap ketika, malaikat selalu menyertai kita di mana pun kita berada, sama ada dalam keadaan mentaati Allah atau sebaliknya. Adanya malaikat pada ketika seseorang itu melakukan kederhakaan adalah ia menyaksikan dan mencatat kegiatan manusia.

 
Hanya dalam beberapa keadaan saja malaikat tidak menyertai manusia antaranya ketika seseorang masuk tandas dan melakukan hubungan suami isteri.

Ada juga hadis menyebut: “Nabi SAW diundang ke rumah si A, dan Baginda tidak datang. Kemudian ketika diundang ke rumah si B, Baginda datang. Ketika Baginda SAW ditanya mengenainya, Baginda SAW bersabda: Di rumah si A ada anjing. Kemudian Baginda diberitahu bahawa di rumah si B juga ada kucing. Lalu Baginda SAW menjawab: Sesungguhnya kucing tidak najis.”


Jika demikian keadaannya, maka yang dikemukakan Rasulullah SAW adalah persoalan anjing adakah ia najis atau tidak. Dalam perkara ini juga dapat bertemu dengan pelbagai pendapat. Mazhab Abu Hanifah berpandangan anjing tidak najis kerana anjing dapat di manfaatkan untuk menjaga dan berburu. Hanya mulut anjing atau air liur serta kotorannya yang najis.


Mazhab Maliki pula amat longgar. Anjing menurut pandangan mereka tidak najis. Baik anjing yang dijadikan sebagai penjaga atau pemburu. Bagi mereka yang najis hanyalah bejana (bekas) berisi air.


Jika ada seekor anjing memasukkan lidahnya, lalu ia menggerakkannya, lalu ketika itu kita dituntut untuk membuang air itu dan mencuci bekasnya sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan air tanah.


Apabila kaki atau anggota lain badannya menyentuh bekas berisi air itu, maka ia tidak najis dan tidak perlu dicuci salah satunya dengan tanah. Oleh itu, mungkin orang berpegang pandangan ini, mereka meletakkan anjing di rumah untuk menjaga keselamatan atau kepentingan lainnya. 

JR: Pernahkah korang terfikir untuk memelihara anjing di rumah kerana geram dengan penjenayah yang selalu menceroboh rumah korang??  Walaupun jawapan Ustaz Zahazan tidak menghalang orang Islam memelihara anjing, tapi mengenangkan air liur dan najisnya yang suka dibuang merata tu, sanggup ke korang memeliharanya? Buat payah aje....
 

1 comment:

  1. Tak berani nak komen la JR. Pada saya anjing itu haram. Walaupun mazhab lain banyak memberikan kelonggaran, saya tak terpikir pun nak bela anjing ni..

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....