Selama ini media kita sering memberi gambaran salah tentang pekerti rakyat Malaysia. Mereka kata negara ini makmur, rakyat kaya raya. Mereka kata orang Malaysia bersopan santun dan berbudi bahasa. Mereka kata orang Malaysia lemah lembut dan hormat menghormati.
Kalau nak tengok ciri-ciri orang Malaysia yang kaya raya, bersopan santun dan hormat menghormati tu, tengoklah gambar di bawah ni:
Apa orang Malaysia di negara kaya dan makmur ini sedang buat dalam gambar di atas?
Petang semalam beratus-ratus kilogram beras daripada sebuah treler membawa muatan beras tumpah di Lebuhraya PLUS berhampiran simpang Behrang-Tanjung Malim. Ia berlaku apabila treler membawa beras itu merempuh sebuah lori membawa muatan pasir. Akibat perlanggaran itu, kelindan treler membawa beras maut manakala pemandunya cedera parah. Mangsa yang terkorban Hanafi Mohd. Daud, 19 (kelindan treler), manakala mangsa yang cedera, Ahmad Rozlin Ahmad Murad, 22 (pemandu treler).
Ramai pengguna-pengguna lebuhraya yang melaui lebuhraya itu tidak mempedulikan kelindan lori yang maut di tepi jalan dan pemandu lori yang tersepit dan cedera parah di dalam lori. Mereka sebaliknya dengan wajah muka tembok tanpa rasa malu asyik berebut-rebut mengaut sisa-sisa beras yang tumpah atas lebuh raya, tanpa mempedulikan ada orang mati dan cedera parah yang perlukan bantuan berdekatan mereka.
Itulah wajah-wajah orang Malaysia yang sangat-sangat-sangat memalukan JR. Ia bukan kejadian pertama rakyat Malaysia begitu kebulur dan kemaruk harta hak milik orang lain. Pada 19 Januari lepas sebuah Toyota Hilux yang membawa wang tunai RM75,000 terbabas di Lebuhraya Pedas-Seremban. Ramai pengguna-pengguna lebuhraya yang terdiri dari rakyat Malaysia yang tak tau malu, kemaruk duit orang dan kebulur itu keluar dari kenderaan masing-masing untuk menyamun wang yang bertaburan atas jalan itu.
Sekali lagi timbul persoalan di hati JR, jika negara ini makmur dan kaya raya, mengapa rakyatnya begitu kebulur dan kemaruk sesuatu yang bukan milik mereka? Beras itu beras orang, wang yang bertaburan atas jalan itu wang orang, mengapa mereka dengan selamba mengambil sesuatu yang bukan hak mereka?
Jika rakyat negara ini berbudi bahasa dan bersopan santun mengapa mereka tidak memasukkan kembali wang yang jatuh ke dalam kereta mangsa kemalangan sebelum polis tiba atau tolong mengumpulkan beras yang tumpah untuk dikembalikan kepada pemiliknya?
Jika rakyat negara ini hormat menghormati mengapa ramai yang tak mempedulikan ada saudara seagama mereka yang sedang nazak dan sedang kesakitan, sebaliknya mereka hanya asyik menumpukan perhatian untuk mencuri wang dan beras milik orang? Bagi yang beragama Islam: halalkah beras yang dicuri dan wang yang disamun itu?
Patutlah kita selalu baca dalam berita ramai rakyat Malaysia jadi mangsa samun, rompak, ragut, menerima rasuah dan rogol, kerana di negara ini kita punya ramai manusia yang berpotensi untuk tidak menghormati hak orang lain. Bagi mereka yang penting ialah memenuhkan kantung dan nafsu sendiri, lu mau hidup atau mati apa gua peduli!
No comments:
Post a Comment
Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....