»

28 January 2011

Tragedi Tepung Bungkus

Alhamdulillah..hari ni JR bangun pagi tanpa rasa pening2 lagi. Overall boleh kata JR dah sihat 90% dari demam. Yang 10% tu ialah batuk-batuk dan kahak-kahak degil yang masih menjadikan kerongkong JR yang seksi ni sebagai lorong untuk bersembunyi...Apapun, terima kasih Tuhan, Alhamdulillah kerana mengembalikan kesihatan hambaMu kembali sihat dan bisa tersenyum seperti biasa...


Lokasi pertama lepas bangun dan membersihkan diri ialah mencari sarapan untuk dimakan. Selama dua hari selera makan sedikit tertutup, pagi ini tiba-tiba rasa lapar. Dan ketika singgah di gerai yang menjual nasi lemak terpandanglah JR kepada kuih ni:












Mak oooiiii...tepung bungkus!! Dah dua hari tekak JR yg payau mendambakan tepung bungkus, tepung bungkus, tepung bungkus...Puas melilau dalam masa 2 hari tu keliling bandar Alor Setar mencari tepung bungkus tapi tak jumpa-jumpa. Yang jumpa ialah tepung talam, lepat liat, lepat pisang yang tak didambakan oleh tekakku. Ketika tu hati tertanya-tanya: di mana kau tepung bungkus??

Tapi  pagi ni terjumpalah juga tepung bungkus, alhamdulillah, langsailah sudah kempunan yang ditanggung sekian lama!! Sedapnya makan dalam keadaan kelaparan ni tak boleh digambarkan dengan kata-kata!!

Bila bercakap tentang tepung bungkus, teringat pada aruah ayah JR yang di saat-saat akhir sebelum kematiannya begitu teringin nak makan tepung bungkus. Ketika itu hari sudah lewat petang, melihat dia yang sudah beberapa hari tak makan, JR bertanya: "Apa ayah nak makan, saya boleh carikan". Tapi ayah menggeleng-gelengkan kepala dengan amat lemah sekali, menandakan selera makannya dah tertutup rapat.

Ketika itu tiba-tiba JR teringat kepada tepung bungkus yang merupakan antara kuih favourite  aruah ayah. "Ayah nak makan tepung bungkus?". 

Dan mendengar saja "tepung bungkus", tiba-tiba wajah ayah kembali bercahaya, "Boleh dapat ke tepung bungkus petang-petang macam ni?". Rupanya mendengar saja tepung bungkus, selera ayah kembali terbuka!!

Lalu JR tergopoh gapah mencapai kunci kereta mengelilingi sekitar kawasan hospital Seberang Jaya tempat ayah dirawat untuk mencari tepung bungkus. Tapi malangnya seluruh kawasan Seberang Jaya di jelajahi tak jumpa juga tepung bungkus. Akhirnya mengikut gerak hati JR pergi ke Permatang Pauh pula dan alhamdulillah terjumpalah juga tepung bungkus di sana. Yang tinggal cuma 6 biji  tepung bungkus dan JR borong semua sekali pada petang tu.

Dan bila tiba semula di hospital, ayah memandang JR dengan penuh pengharapan. "Ada ke?" tanyanya.

'Ada", jawabku sambil membuka bungkusan daun pisang dan menyuapkan tepung bungkus itu ke mulut ayah.

Tapi belum pun habis separuh tepung bungkus memasuki tekak ayah, dia sudah mengangkat tangan menandakan dia sudah kenyang. Puas JR memujuk untuk menghabiskan sebiji tepung bungkus tapi ayah enggan. "Cukuplah" katanya, "Hang ambeklah bakinya,  boleh makan malam ni"

Dan dua hari lepas menjamah tepung bungkus itu ayah memejamkan matanya yang terakhir meninggalkan aku dan sembilan adik beradik kami untuk selamanya...

No comments:

Post a Comment

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....