»

12 October 2012

Peristiwa Yang Ingin Ku Lupakan


Hari ni Jumaat, di Kedah hari Jumaat cuti umum. Pagi tadi lepas pergi ke market, JR pulang ke rumah melalui Jalan Stadium. Entah mengapa tiba-tiba teringat nak lalu rumah lama yang pernah JR tinggal di Jalan Stadium. Kini rumah lama itu JR sewakan kepada orang selepas kami membeli rumah baru yang lebih harmoni di Jalan Langgar.

Setiap kali melalui rumah lama itu JR akan memandang ke bumbungnya. Mengapa JR tanpa sedar selalu terpandang ke arah bumbung rumah lama kami itu?

Ini kerana beberapa tahun lepas, tiga perempat dari rumah kami hangus di jilat api. Api bermula dari tingkat atas menjilat bumbung rumah itu dan siling di bawahnya. Seluruh bahagian atas rumah musnah semasa kebakaran itu.

JR masih ingat kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 malam. Ketika itu kami sekeluarga telah selesai makan, sedang menonton TV. Tiba-tiba terdengar seperti letupan kecil dan bekalan letrik terputus diikuti oleh bau sedikit hangit. JR pergi ke tingkat atas yang ketika itu tidak ada orang dan melihat api sedang membakar dinding dan siling. Allahu akbar...JR cepat-cepat turun dan meminta semua ahli keluarga keluar dari rumah. Anak-anak JR menjerit meminta tolong jiran, "Tolong...api..api..api..". 

Api merebak dengan sangat cepat, sekejap saja lepas terbakar mula terdengar runtuhan-runtuhan kecil dari bahagian atas. Dalam keadaan panik itu semua yang dicari tak jumpa, kunci kereta pun cari tak jumpa. JR hampir-hampir memecahkan pintu kereta dan bercadang untuk menolaknya, tapi nasib baik akhirnya kunci kereta ditemui oleh isteri JR. 

Dengan bantuan jiran-jiran kami cuba menyelamatkan apa saja yang terdaya diselamatkan. Yang paling penting dapur gas perlu dialihkan sejauh mungkin dan seorang jiran yang baik hati memotong bekalan letrik di luar rumah bagi memperlahankan aliran api yang bergerak melaui wayar letrik.

Ketika semua ahli keluarga telah berada di luar rumah, tiba-tiba anak nombor lima JR menjerit, "Abah, mana abang Mi??"

Ya Allah ketika itu baru JR sedar anak nombor empat JR tidak ada bersama kami. Rupanya dalam keadaan panik itu JR dan isteri terlupa Mi sedang tidur di dalam biliknya, kami keluar rumah tergesa-gesa tanpa dia bersama. 

Menyedari Mi tak ada bersama, JR dengan pantas cuba berlari memasuki rumah yang sedang marak dibakar api. Runtuhan kecil ketika itu mula berlaku, kayu dan batu mula jatuh ke bawah. Panas!!

Beberapa jiran menghalang JR dari memasuki rumah. "Masuk apa lagi..jangan masuk, bahaya!!" jerit mereka sambil memegang lengan JR.

JR meronta cuba melepaskan pegangan mereka.

"Anak saya di dalam, saya mesti cuba masuk!!" kata JR melepaskan pegangan jiran-jiran. Ketika itu JR berkata dalam hati "Ya Allah jika kau nak ambil nyawaku pun ambillah, tapi jangan ambil nyawa anakku!!"

Dengan lafaz bismillah yang kuat, JR berlari sekuat hati  memasuki rumah di celah kayu-kayu bumbung yang mula runtuh dan asap yang sangat menyesakkan nafas. Ketika tiba di bilik tidur, Mi sedang terpinga-pinga dengan wajah pucat. Dia berdiri kaku, tak tau nak buat apa sambil menangis. Nasib baik dia tidak lemas dalam asap yang mula tebal itu. JR menggendongnya membawa dia keluar dari rumah di celah-celah runtuhan kayu dan api yang amat hangat. 

Akhirnya dapat juga JR keluar dari rumah bersama anak JR tanpa kecederaan. Jiran-jiran bertanya kepada JR dan anak sama ada rasa lemas atau sesak nafas. Alhamdulillah JR tak rasa apa-apa, cedera pun tidak, terima kasih Ya Allah!!

Tak lama kemudia bomba sukarela sampai, diikuti bomba kerajaan. Mereka mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengawal kebakaran. Rumah jiran JR juga terbakar sikit, tapi rumah JR memang 75% hangus.

Memang kebakaran itu menyebabkan kerugian yang besar kepada keluarga kami. Nasib baik rumah itu ada insuran, kuranglah sikit beban yang ditanggung. Tapi barang-barang letrik dan perabot yang tak diinsurankan banyak yang hangus atau  rosak. Dalam kesibukan menyelamatkan barang, ada juga barang-barang yang hilang dicuri oleh pencuri yang mengambil kesempatan dari tragedi itu. Memang ramai yang membantu, tapi ada juga rupanya yang membantu sambil mencuri! Antara barang yang dicuri termasuk barang kemas isteri dan seutas jam tangan tag heuer calibre 36 yang ada sentimental value nya tersendiri.


Apa pun JR bersyukur kerana walaupun banyak harta benda musnah dan hilang, apa yang penting semua kaum keluarga kami diselamatkan oleh Allah. Mujur juga JR tidak mengikut nasihat jiran-jiran supaya tidak masuk ke dalam rumah, jika tidak JR pasti akan menyesal seumur hidup kerana tak dapat menyelanmatkan anak.

JR juga bersyukur kerana tragedi itu berlaku ketika kami belum tidur. Bayangkan jika ia berlaku pada jam 2 atau 3 pagi ketika kami sedang tidur....JR tak boleh membayangkannya!!

Korang pasti nak tau apa punca kebakaran itu? Ia berpunca dari kelalaian JR sendiri yang melantik juruletrik tak bertauliah untuk kerja-kerja re-wiring rumah kami. Perangai orang Melayu seperti JR ialah suka mencari kontraktor termurah dan akhirnya JR terpaksa menanggung akibatnya. Lain kali jangan cari kontraktor dengan harga termurah tapi carilah kontraktor terbaik dan berpengalaman..

Peristiwa itu sampai sekarang sukar JR lupakan, walaupun sedaya upaya cuba dilupakan. Traumanya memakan masa yang panjang, beberapa bulan sering diulit mimpi rumah terbakar, menggeletar bila hidung terhidu bau hangit dan tak boleh tengok video mengenai kebakaran rumah dan bangunan...

Tuhanku....
selamtkan hambaMu dan seisi rumahku selalu....

12 comments:

  1. Syukur Alhamdulillah seluruh ahli keluarga JR dilindungi Allah dari kecederaan.

    Kalau ke AS, kakcik biasanya menginap di
    Seri Malaysia...

    ReplyDelete
  2. Syukur kerana semuanya selamat. Walaupun kehilangan harta benda tapi JR sekeluarga dapat pengalaman yang cukup berharga, yang boleh dijadikan iktibar dan dikongsikan bersama..

    ReplyDelete
  3. Subahanallah..sayu sedih dan takut terbaca. Namun akhirnya terfikir Allah masih selamatkan keluarga JR. Alhamdulillah. Saya nampak JR seorang yang handal, bijak dan menjadi perwira ...demi anak..tengok niat ikhlas selamat anak ke 4. Itulah perjuangan..kasih sayang dan redha serta masih mengharap ada kuasaNya memberi pertolongan. terima kasih kongsi pengalaman ini.

    ReplyDelete
  4. hehehe..kuat Kelantan ya belasah Selangor...tebus habis2an..

    ReplyDelete

  5. Allahuakbar! cemas dan berdebar2 saya ikuti tulisan ini...mmg boleh trauma kan? apa pun syukurlah semuanya selamat dan awak memang seorang hero...ya saya pun tak berani nak bayangkan apa akn jadi kalau awak tak nekad merempuh api tu, lebih2 lagi bila dah terpandang anak2 yg berdiri terpinga2 menangis dicelah runtuhan kayu terbakar...

    naper tader tindakan utk juruletrik tak bertauliahj ni ya, kerja2 mereka yg tak sempurnah boleh membawa bencana dan mengancam nyawa...

    ReplyDelete
  6. meremang bulu roma baca cerita JR nie....sedih pun ada ..alhamdulillah anak JR selamat...tak per rugi...harta boleh dicari balik namun kehilangan yg tersayang ...menyesal seumur hiup jika tak berbuat apa2..semuanya telah ditakdikan...

    ReplyDelete
  7. Ya allah..berdebar2 saya baca entri ni,di pertengahannya saya sebak,membayangkan keadaan anak JR.nasib baiklah JR sanggup ambil risiko.

    Kalau sy pun di tempat JR saya pun sanggup bergadai nyawa demi anak.

    Alhamdulillah Allah itu maha pengasih dan penyayang

    ReplyDelete
  8. Alhamdulillah semuanya selamat.

    tempat saya ni baru je mggu lepas berlaku kebakaran. 4 biji sekali hangus....tp alhamdulillah penghuninya selamat.

    ReplyDelete
  9. Sayu dan berdebar hati cr baca entry nie...tak dapat bayangkan kalau rumah cr terbakar...Nasib baik semua selamat..

    ReplyDelete
  10. Bukan semua orang ada pengalaman sebegini..

    ReplyDelete
  11. Ya Allah..syukur alhamdulillah, semangat Jay yang kuat untuk menyelamatkan anak juga keyakinan Jay pada kuasa Allah membantu dalam usaha itu. Kelemahan Nurul, bila membaca atau melihat sesuatu keadaan, automatically, Nurul seperti berada dalam keadaan tu, melihat keadaan tu .. susah nak melupakan perasaan makan hari juga.. Nurul doakan kehidupan kita semua lebih baik dan terhindar dari dugaan/ujian yang berat2.. in shaa Allah

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....