12 May 2014

Jururawat Itu Isteriku


Hari ini 12 Mei 2014 adalah Hari Jururawat Sedunia.

Sempena hari jururawat, JR ingin ambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari jururawat kepada semua jururawat, terutama kepada seseorang yang begitu istimewa dalam hidup JR..

Sebelum JR bercerita tentang orang istimewa itu, JR nak ceritakan sedikit tentang beberapa fakta penting tentang profesyen jururawat:

1)   Jururawat pertama dunia ialah Rufaidah bt Sa'ad (570-632 M) dan bukannya Florence Nightingale (1820-1910) seperti yang kita pelajari dalam buku sejarah yang ditulis oleh Mat Salih. 

Rufaidah adalah jururawat profesional pertama dalam sejarah dunia yg hidup pada zaman Rasulullah SAW dan pernah membantu merawat tentera Islam dalam beberapa peperangan penting yang turut disertai Rasulullah. Beliau turut digambarkan memiliki pengalaman klinikal yang dapat disalurkan kepada jururawat lain untuk dilatih dan bekerja dengannya.

Rufaidah tidak hanya melaksanakan tugas sebagai jururawat dalam aspek klinikal semata-mata, dia juga melaksanakan tugas komuniti dan mencari punca pelbagai masalah sosial yang boleh menyebabkan timbulnya bermacam penyakit.

Rufaidah tinggal di Madinah dan lahir dari kalangan kaum Ansar, golongan pertama menganut Islam di Madinah. Ayahnya seorang doktor dan Rufaidah mempelajari ilmu perawatan ketika bekerja membantu ayahnya.


Rufaidah mengabdikan diri merawat kaum Muslim yang sakit ketika perang Badar, Uhud, Khandak dan Khaibar dengan beliau menjadi sukarelawan  merawat tentera yang luka dan cedera parah. Beliau juga mendirikan klinik  bergerak berdekatan setiap medan perang yang disertainya.


Nabi Muhammad SAW sendiri telah memerintahkan agar tentera yang cedera parah dirawat oleh Rufaidah. Pernah digambarkan ketika perang Khandak, Saad bin Maadh yang terluka terkena panah di tangannya dirawat oleh Rufaidah hingga sembuh.


Rufaidah turut melatih beberapa wanita untuk menjadi jururawat. Dalam perang Khaibar ramai sukarelawan wanita diketuai Rufaidah meminta izin Nabi Muhammad SAW untuk ikut serta di garisan belakang pertempuran bagi merawat mereka yang terluka dan Nabi mengizinkannya.


Rufaidah digambarkan memiliki keperibadian yang luhur, simpati kepada semua orang (termasuk tentera bukan Islam yang tercedera) dan melayani pesakit dengan baik. Sentuhan perikemanusiaan adalah hal yang penting bagi jururawat dan ramai kalangan tentera yang menyukai gaya layanan Rufaidah.


Sejarah Islam juga mencatatkan beberapa nama yang bekerja bersama Rufaidah seperti Ummu Ammara, Aminah, Ummu Ayman, Safiyah, Ummu Sulaiman dan Hindun.


Begitulah, ketika kita mengagung-agungkan Florence Nightingale sebagai jururawat yang terkenal ketika peperangan Crimea (1854), kita terlupa sebenarnya ada seorang jururawat Islam bernama Rufaidah bt Sa'ad yang telah menjalankan tugas kejururawatan 1,200 tahun sebelum Nightingale lahir di dunia ini lagi.

2)   Pernahkah korang terfikir tentang satu kerjaya di mana kita bergantung kepada penjawatnya seumur hidup kita? Kerjaya yang JR maksudkan itu ialah jururawat.

Ketika kita lahir, jururawat dan kakitangan hospitallah yang menyambut kelahiran kita.

Ketika kita di sekolah jururawatlah yang datang ke sekolah memantau kesihatan kita.

Ketika kita dewasa dan kemudian sakit, jururawat dan kakitangan hospital dan kliniklah yang merawat kita. Jika berada di wad, merekalah juga yang berada di sisi kita, memastikan kita diberi rawatan dan layanan sebaik mungkin hingga kesihatan kembali pulih.

Ketika di penghujung usia nanti, jururawat dan kakitangan hospitallah juga  (terutama doktor) yang cuba  sedaya upaya membantu merawat kita ketika berada di wad. Dan kemudian ketika malaikat Izrail memberi salam kepada kita, merekalah dengan wajah sayu memerhatikan kepergian kita. Kadang-kadang tiada waris di sisi ketika di hujung usia dan jururawat dan kakitangan hospitallah yang cuba mengajar kita mengucap syahadah terakhir sebelum kita dijemput pergi olehNya.

Begitu besar jasa jururawat.

3)   Selamat Hari Jururawat kepada semua jururawat. Selamat Hari Jururawat kepada isteriku yang juga seorang jururawat di sebuah klinik kerajaan di Alor Setar.

Dia seorang jururawat, seorang isteri dan seorang ibu kepada 6 anak. Tapi dia bukan saja jururawat yang merawat pesakit di tempat kerjanya. Dia juga pernah merawat suami dan anak-anak ketika kecemasan di rumah.

Dan lebih dari itu dia juga sering merawat hati suaminya yang sangat degil ini, menyiraminya dengan cinta dan kasih sayang sepanjang masa. Kerana dia jururawat dan jururawat itu isteriku....

                                    selamat hari jururawat, isteriku...
        

8 comments:

  1. Selamat hari jururawat Mak Lang!

    ReplyDelete
  2. selamat hari jururawat tuk semua jururawat serta isteri JR...actually sy pun baru tahu psal rufaidah tuh...thanks JR kongsi info..

    ReplyDelete
  3. tq2.. (opsssssss, terlebiy sudaa..)

    Selamat Hari Jururawat buat isteri JR..

    ReplyDelete
  4. Selamat hari jururawat sedunia. Juga khas utk wife abg JR. ^^ jururawat mmg byk berjasa. Mereka btungkus lumus jalankan tugas. Besar jasa mereka, lg2 klu niat krna Allah, besar ganjarannye di sisi Allah.

    ReplyDelete
  5. Selamat HAri Jururawat buat isteri JR..
    Besar pengorbanan jururawat ni..
    Saya pasti, isteri JR sangat penuh dedikasi dlm tugasnya..
    Entry saya pun kebetulan, tentang Hari Jururawat..:)

    ReplyDelete
  6. Selamat hari jururawat untuk semua jururawat sedunia..mak ngah.. adik ipar bunda juga seorang jururawat...

    Dan special Selamat Hari Jururawat untuk Mrs.JR...

    ReplyDelete
  7. selamat hari jururawat..

    ita temuduga jururawat kat 10 kali tapi langsung tak dapat jadi jururawat...stress betol lah..

    ReplyDelete
  8. ngape kelabu benor gmbr jururawat tu jr? heheh.

    Tak dinafikan, jasa jururawat mmg sgt besar.

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....