10 April 2014

Awas Anak Demam - Jangan Sampai Sawan Tarik


Beberapa hari ini bila buka blog, ramai kawan-kawan yang bercerita tentang anak kecil mereka yang demam. Ada seorang tu bercerita anaknya sampai kena sawan tarik akibat suhu badan yang terlalu panas.

Kepada mereka yang beranak kecil kalau anak demam jangan ambil mudah. Jangan sampai anak kena sawan tarik, bahaya!

Korang pernah tengok budak kena sawan tarik? Kanak-kanak yang demam dengan suhu badan melebihi 40° celcius mudah terkena sawan tarik. Budak-budak yang terkena sawan tarik badannya akan kejang, kaki dan tangan menyentak-nyentak, mata kaku tak bergerak yang nampak cuma mata putih dengan mata hitam naik ke atas...memang sangat menakutkan! 

JR sendiri ada pengalaman melihat budak-budak terkena sawan tarik. Pengalaman pertama masa JR masih budak-budak dulu pernah tengok adik JR kena sawan tarik.

Yang paling tak boleh dilupa ialah bila anak sulung JR sendiri kena sawan tarik ketika berusia kira-kira 2 tahun. Salah JR sebenarnya yang membiarkan suhu badannya sepanas itu tanpa membawanya ke klinik.

Hari itu hari Ahad - cuti umum. Ketika itu JR tinggal di rumah kami di Ampang Indah. Sejak malam anak demam dan semalaman itu juga JR tak tidur nyenyak asyik menjelum (membasah) kepalanya dengan tuala. Kadang-kadang hati cemburu melihat isteri tidur dengan nyenyak, boleh pula berdengkur kecil pula tu, sedang JR seperti suami-suami lain di seluruh dunia tak boleh tidur, sekejap-sekejap terjaga untuk menjelum kepala anak kerana takut sesuatu yang buruk berlaku kepadanya.

Bila pagi, pegang badan dan kepalanya masih panas. Tapi kerana di TV pada hari itu ada siaran langsung perlawanan tinju antara Mike Tyson dengan Evander Holyfield, JR tangguhkan sekejap untuk membawa anak ke klinik. JR memang sangat minat dengan Mike Tyson yang aksinya agresif dan gila-gila seperti JR itu. 

Dalam hati JR ketika itu berkata, lepas perlawanan tinju itu  selesai baru JR akan bawa anak cepat-cepat ke klinik.

Ketika JR menidurkan anak dalam buaian, walaupun badannya panas dia nampak OK saja, tidur dengan nyenyak.... Hingga satu saat, ketika tangan JR  sedang membuai anak manakala mata di kaca TV melihat aksi Tyson-Holyfield, tiba-tiba JR melihat buaian bergoncang kuat. Bila diperhatikan anak, matanya sudah kaku terjegil ke atas, kaki dan tangan tersentak-sentak kuat dan giginya terkancing rapat.

JR memanggil isteri yang ketika itu sedang berada di tingkat atas. Isteri yang panik menangis terisak-isak melihat situasi anak yang  tersentap-sentap tak terkawal itu.

"Abang....apa kita nak buat ni...tolong abang, mati la anak kita bang..." sampai sekarang JR masih ingat kalimah isteri yang JR tak suka dengar itu. Mengapa sebut mati???

Nasib baik juga JR pernah tengok adik JR terkena sawan tarik masa kecil dulu. Lalu JR bogelkan anak, cepung (angkat) anak ke bilik air, terbalikkan kepalanya dan terus mandikan dia sebanyak mungkin dengan penekanan diberikan kepada bahagian kepala (dengan memastikan air tak memasuki hidung).

Beberapa saat kemudian sentapan berakhir, anak sedar dan boleh bernafas semula seperti biasa. Dengan bantuan jiran sebelah rumah yang sudi menjadi pemandu pada pagi itu, JR terus bawa anak ke klinik terdekat (Klinik Kita). Dalam keadaan tergesa-gesa JR cuma sempat bungkus anak dengan tuala tanpa pakaian ketika tiba di klinik.

Di klinik doktor membogelkan anak, membasahkan seluruh tubuh anak dengan air dingin dan kemudian memasukkan ubat suppository voren ke dalam punggungnya.

Kata doktor anak yang terkena sawan tarik mudah terkena lagi serangan kedua selepas itu. Sebab itu penting mengelakkan mereka terkena serangan pertama.

Dan apa yang doktor kata itu memang betul. Enam bulan kemudian anak sulung yang sama terkena sawan tarik lagi. Ketika itu ia berlaku di Tasek Gelugor, Pulau Pinang ketika JR balik kampung melawat ibu bapa. Masa bertolak dari KL anak sihat-sihat saja. Tapi malam itu bila sampai di Tasek Gelugor badannya rasa agak panas sikit. Dan malam itu seperti ayah-ayah lain di dunia, JR tak dapat tidur nyenyak apabila anak sakit. Sekejap-sekejap memeriksa suhu badannya, menjelum kepalanya dan melayan rengekannya dengan menyediakan susu.

Pagi esoknya JR antara orang terawal berada di kilinik bersama anak yang demam (dapat gilliran nombor 3). Ketika sedang menunggu giliran, tiba-tiba anak JR terkena sawan tarik ketika dalam pangkuan JR. JR segera menolak pintu bilik doktor yang sedang melayan pesakit pertama dan meminta doktor membantu memulihkan anak JR segera.

Tak sangka pula doktor wanita itu juga seperti isteri JR agak panik menghadapi anak yang tak sedar diri dengan kaki tangan tersentap-sentap itu. Sampai nak cari ubat sisip punggung voren pun doktor tak jumpa, tapi akhirnya jumpa juga.

Selepas anak sedar, doktor klinik swasta itu meminta JR membawa anak segera ke hospital kerajaan untuk pemeriksaan lanjut. Setibanya di hospital anak JR dimandikan dengan ketulan ais hingga dia terketar-ketar kesejukan.

Kalau tak silap 2 hari juga anak JR berada di hospital. Mujur pemeriksaan doktor mendapati dia tak mengalami tanda-tanda meningitis.

Sejak itu JR tak pernah ambil mudah bila anak demam. Sejak itu juga di rumah sentiasa ada thermometer untuk menyukat suhu badan dan bekalan voren yang disimpan dalam peti ais jika berlaku kecemasan. 

Cuma anak sulung JR saja yang pernah kena sawan tarik. Lima anak-anak yang lain dengan izin Allah walaupun selalu demam tapi tak pernah kena sawan tarik. Mungkin kerana JR yang lepas itu tak ambil mudah lagi bila mereka demam kerana takut pisang berbuah 6 kali!!

Tips Jika Anak Kena Sawan Tarik:

1. Off course yang paling penting ibu bapa jangan panik (seperti isteri JR) bila melihat anak yang nyawanya seperti berada di hujung hayat. Mengucap banyak-banyak, ketika mulut berdoa, tangan terus lakukan rawatan kecemasan.
2.  Tanggalkan semua pakaian anak dan cepat-cepat angkat dia ke bilik air.
3. Baring anak mengiring bagi mengelakkan cecair dari kerongkongnya/muntah memasuki peparu.
4. Mandikan anak dengan air paip sebanyak mungkin untuk menurunkan suhu badannya.
5. Apabila anak sudah kembali sedar, segera bawa dia ke klinik/hospital terdekat untuk bantuan kecemasan.
6. Pastikan anak sedar semula dalam tempoh kurang dari 5 minit. Mengikut doktor jika anak masih tak sedar dalam tempoh lebih dari 5 minit ia agak bahaya dan jika 30 minit masih tak sedar ia amat-amat membahayakan kerana boleh menyebabkan kecacatan otak malah kematian apabila berlaku kekurangan oksigen di dalam otak.

11 comments:

  1. liya pun memang risau bila anak2 demam.. takut kene sawan tarik.. bahaya

    ReplyDelete
  2. masa kecik dlu ada kes anak jiran meninggal sbb demam panas ni. otak dah mati dan meningitis...budak agak besar jgk dah.dlm 7-8 tahun.
    sejak tu baru tau bahaya demam ni.tp JR..Perkongsian yg bagus..tips untuk hndle bila berlaku kes mcm ni depan mata..(Sebab pernah hadapi kes sawan kt tmpt keje..mmg panik!!)

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah anak akak demam tak ade yg kena sawan tarik ni JR.. takut juga kan.. tq share info tu :)

    ReplyDelete
  4. Boleh jadikan panduan bagi mereka yang mempunyai anak kecil.. termasuk jugak saya walaupun anak dah 3..

    ReplyDelete
  5. Info yang sangat bagus . Thanks.

    ReplyDelete
  6. saya pernah ada pengalaman. panik macam isteri JR juga sebab saya lihat anak dah lembik terlentok. nasib baik jiran sebelah dah balik kerja dan dialah yang tolong drive p klinik sebab saya panik...

    baguslah tip yang JR bagi tu

    ReplyDelete
  7. tak penah pulak melalui pengalaman mcm ni.pendek kata, belom penah lagi nampak yang symptom sawan ni kat depan mata. tapi lepas baca yang ni agak menakutkan jugak, mungkin terkial kial tak tau nak buat apa kalau benda ni berlaku depan mata.

    apa apa pun, terima kasih atas panduan yang telah diberikan melalui perkongsian jr harini. :)

    ReplyDelete
  8. Tak pernah melalui keadaan sawan tarik ini... terimakasih sharing, selepas ini kalau berlaku depan mata, dah tahu nak buat apa ..

    ReplyDelete
  9. gd sharing JR. Buat ingatan dan panduan kita. Kalau tak tau apa2, tiba2 kena mmg panik.

    ReplyDelete
  10. alhamdulillah tak terjadi lagi pada anak2...tp dulu2 biasa melihat abg ipar saya mengalami sawan tarik...
    tak pasti pulak bila dia mula kena sawan tu sbb lps kawen saya dah tgk dia biasa terjadi...depa pi berubat merata2...mcm2 buat kat rumah tu yg tok bomoh suruh...saya nak 'bersuara' pun..siapalah saya ,kan..:)

    ReplyDelete
  11. Alhamdulillah bunda belum pernah mengalami lagi... kalau suatu hari jadi depan mata tak tau lah... mungkin terpaksa juga buat apa yang patut dulu...

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....