28 February 2014

Khutbah Yang Menghempap Batang Hidung Sendiri


Tengahari tadi seperti biasa JR solat Jumaat di Masjid Bukhary, Alor Setar. Tajuk khutbah hari ini mengenai perbuatan-perbuatan yang boleh menjerumuskan Muslim ke pintu neraka. Antara perbuatan yang disebut khatib boleh menghantar Muslim ke pintu neraka ialah:

1. Tidak menghormati dan mempertikai Al-Quran, kandungan dan maksudnya. 

2. Mempertikai kerasulan Nabi dan kata-katanya (hadis). Tidak kurang dari 5 kali khatib menyebut nama  Kassim Ahmad tokoh anti-hadis yang baru-baru ini mengulangi kenyataan mempertikai hadis dan menghina Nabi Muhammad dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad. (Nasib baik khatib tak menyebut nama Dr Mahathir yang merasmikan seminar itu dan kemudian memuji keberanian Kassim Ahmad mengkritik ulamak...)

3.  Anak-anak yang tidak mempedulikan ibu bapa mereka. Kata khatib, kadang-kadang Allah sengaja memanjangkan usia ibu bapa kita untuk menguji sejauh mana sifat kebertanggung jawapan anak-anak kepada orang tuanya. Ada anak yang cuba membalas sebaik mungkin jasa-jasa orang tua mereka, tapi ramai pula yang kurang kepeduliannya terhadap orang tua yang masih hidup. Malah ada yang menjenguk muka orang tua pun jarang-jarang sekali kerana anak-anak sibuk dengan urusan duniawi, merebut pangkat dan harta.

Tentang isu nombor 1 dan 2, JR tak nak komen apa-apa, rasanya ia tak relevan untuk JR. Tapi isu nombor 3  mengenai kepedulian terhadap ibu bapa JR rasa begitu dekat dengan diri sendiri.

Ketika khatib berucap, teringat JR kepada mak mentua yang kini tinggal serumah dengan JR selepas kematian bapa mentua. Mak mentua seorang yang sangat pendiam sehingga sukar untuk kita meneka apa yang terbuku di hatinya. Tapi bila sesekali dia menyebut nama  anak-anaknya, JR boleh agak kerinduannya terhadap mereka.

Ipar-ipar JR (4 orang) bukan tinggal jauh sangat dengan rumah JR. Yang paling jauh pun naik kereta cuma memakan masa 30 minit untuk ke rumah JR. Yang paling dekat cuma tinggal 4 km dari rumah JR, jalan kaki pun sekejap saja. Tapi ipar-ipar JR jarang-jarang datang menjenguk ibu mereka yang tinggal dengan JR, kalau datang sebulan sekali itu dikira nasib baiklah. Yang tinggal paling dekat dengan rumah JR (rumahnya cuma 4 km dari rumah JR) yang paling jarang datang melawat ibunya. Kali terakhir abang ipar datang melawat ibunya masa Raya Haji dulu! Mungkin lepas pencen dia semakin tak ada masa?

Bila sesekali mereka datang melawat ibunya, JR perhatikan mak mentua yang usianya dah lebih 70 tahun itu sangat gembira. Dia yang pendiam jadi sedikit peramah. Wajahnya yang selalu nampak serius kelihatan berseri dan ceria. Walaupun dia tak pernah berterus terang tentang kerinduannya terhadap anak-anak, tapi JR rasa tak silap membuat kesimpulan dia sangat gembira dengan kehadiran mereka, sangat rindu kepada mereka.

JR berharap bila JR seusia mak mentua (jika panjang umur!) anak-anak tak malu untuk datang melawat JR. Yang diperlukan oleh seorang tua bukan wang (ibu mentua ada wang pencen yang mencukupi untuknya), bukan juga hadiah. Cukuplah secebis kasih sayang. Dan kedatangan anak cucu melawat mereka adalah sebahagaian dari manifestasi kasih sayang terhadap orang tua mereka...

JR tak pasti apa perasaan abang-abang ipar jika mereka juga berada di masjid yang sama tadi dan mendengar khutbah yang sama. Tidakkah rasa terkesan dengan kata-kata khatib itu seperti batu menghempap batang hidung sendiri?

3 comments:

  1. bila tiba waktu khutbah, fokus saya selalu diganggu rasa mengantuk. sebab tu sayang rasanya kalau terlepas perkara-perkara yang ada kaitan dengan diri kita.

    beberapa minggu lepas, saya sedikit kecewa dengan khutbah kat masjid tempat kerja (wilayah persekutuan) yang isinya tiba-tiba macam mengelak daripada isu sebenar...

    ReplyDelete
  2. En. JR, itu la, yg dirasai oleh ibu sy bila adik beradik saya tak dtg jenguk atau bertanya khabar.

    ReplyDelete
  3. sebaknya bila baca bab2 perasaan ibu ni. pastu ibu ni walau cemana pun anak dia pernah buat salah dgn dia, dia tetap jgk terima dan bagi peluang utk anak minta maaf. betapa bezanya perasaan seorang ibu terhadap anak dengan perasaan anak terhadap ibu.

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....