09 November 2012

Destinasi Terakhir Sebuah Kehidupan.....


Entri terakhir JR di blog ini ialah pada 5 November lalu. Hari ini dah 9 November. Maknanya dah 4 hari JR tak bersiaran di blog ini. JR bukan berkabung atas kematian adik lelaki JR pada 5 November itu. Bukan. Mengapa perlu berkabung kerana dalam Islam sendiri tak ada hukum berkabung, kecuali untuk isteri yang kematian suami.

Sebenarnya jika dikira sedih memang JR masih terasa kesedihan atas kematiannya. Apa lagi jika kita pernah berjanji dengan si-mati tapi takdir telah mendahuluinya hingga janji tak dapat ditunaikan. Memang terkilan.

Kali terakhir JR bertemu dengan allayarham adik lelaki bernama Zack (Z) itu ialah pada Hari Raya Haji lalu, iaitu 10 hari sebelum kematiannya. Ketika itu Z nampak sihat kecuali kakinya yang berjalan terhinjut-hinjut akibat terjatuh dari rumah kakaknya. Dia memang adik yang disenangi kerana sangat ringan tulang dan suka menolong. Dan suatu hari ketika menolong memasang bumbung rumah kakaknya, Z tergelincir dan terjatuh ke bawah. Dia dibawa ke klinik. Hasil pemeriksaan klinik (termasuk x-ray) Z didapati sihat, tiada tulangnya mahupun organ penting yang tercedera. Z pulang ke rumah dengan ubat tahan sakit.

Ketika JR menemui Z pada hari itu dia mengadu kakinya sakit. JR meminta dia ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan. Tapi dia kata dia sudah pergi membuat pemeriksaan di klinik dan kalau ke hospital pun dia yakin hasilnya pasti sama seperti klinik juga - dia didapati sihat. Dia berkata nak cuba dapat rawatan berurut pula sebab mungkin kesakitannya disebabkan uratnya  terseliuh ketika jatuh. 

Mengikut cerita adik perempuan JR, Z pergi menemui seorang  bomoh urut beberapa hari sebelum kematiannya. Beberapa jam selepas balik mengurut  Z  mengadu kakinya semakin sakit. Tak lama lepas itu kakinya mula membengkak dan membengkak... Dia dikejarkan ke hospital dalam keadaan yang teramat sakit. Z dimasukkan ke ICU pada pagi 5 haribulan. Doktor memberitahu kakinya dijangkiti kuman dan kuman itu sedang bergerak cepat ke paha. Doktor menasihatkan supaya kakinya dibedah bagi menghalang kuman itu bergerak ke jantungnya. Tapi belum pun pembedahan dijalankan adik JR itu terlebih dahulu pergi menemui Tuhannya..

Ketika menatap mayatnya, JR cuba menahan air mata. Tidak sangka dia pergi begitu cepat. Mujur juga dia masih bujang, jika tidak pasti ia sesuatu yang begitu pedih untuk anak isterinya menerima hakikat sebuah kematian yang secepat itu. 

Menyentuh tubuhnya yang sejuk dan pipinya yang cekung mengingatkan JR kepada banyak kenangan bersamanya ketika kecil..

Semasa dia kecil JR sering mengangkat dan mendukungnya dan tak sangka pada hari itu JR kembali mengangkatnya....mengangkat mayatnya untuk dimandikan...

Semasa dia kecil JR pernah memandikannya dan tak sangka pada hari itu JR kembali memandikannya...memandikan mayatnya... 

Semasa dia kecil JR sering meletakkannya di atas belakang JR dan tak sangka pada hari itu JR kembali meletakkannya, bukan lagi atas belakang, tapi atas bahu ketika mengangkat keranda yang berisi mayatnya...

Semasa dia kecil kadang-kadang kami bermain sorok-sorok. Pernah satu hari Z menyorok di dalam satu lubang yang memakan masa yang sangat lama untuk JR menemuinya. Dan di perkuburan, antara barisan batu nisan sepi, dia kembali 'menyorok' di dalam lubang...lubang liang lahat. 
Jika semasa kecil JR memimpin tangannya keluar dari lubang tempat dia menyorok, kini tangan yang sama (tangan JR) tidak cuba menariknya keluar. Sebaliknya tangan JR yang lesu memasukkan gumpalan tanah kubur bagi menutup keranda yang berisi mayatnya untuk disemadikan ke destinasi terakhirnya...

Selamat jalan adikku. Tenanglah kau di sana bersama TuhanMu. Hari ini kau pergi meninggalkan kami, nanti suatu hari pasti kami pula yang akan pergi menyusulimu....

NOTA: Terima kasih kepada bloggers yang telah menitipkan ucapan takziah kepada JR, terima kasih.... 

9 comments:

  1. sedih sangat bile hilang orang yg kita sayang...

    semoga tabah menghadapi setiap dugaan..

    al fatihah untuk arwah..

    ReplyDelete
  2. takziah..

    semoga aman di sana..amin

    kueh

    ReplyDelete
  3. Tahziah JR...dapat bayangkan kesedihan kehilangan keluarga yang terdekat dengan kita.. akan ambil masa juga utk recoer kesedihan...moga arwag Z ditempatkan bersama2 orng2 yg beriman..ameen

    ReplyDelete
  4. takziah...dan al fatihah..
    semoga arwah dipermudahkan urusannya disana..

    hari dia telah tiba...hari kita bila pula..??

    ReplyDelete
  5. takziah..mg rohnya tenang disana...

    ReplyDelete
  6. alfatihah.. muge arwah adik JR ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.. amin.

    ReplyDelete
  7. Al-fatihah buat Z
    JR bnyk bersabar tp na sedih sgt baca entry ni..na fahamperasaan JR saat ni..harap tabah n kuat ye.

    ReplyDelete
  8. Sedih..mbaca entry ni..Ya Allah tempatkanlah Z di sisi orang2 beriman. Sebab asbab tulah ajalnya JR. Allah lebih sayangkan dia. Al fatiha..baru baca entry ni.

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....