14 May 2015

Terima Kasih Cikgu Kerana Menghina Saya!!


"Hahahaha....muka macam ni ada cita-cita nak dapat A dalam SRP? Jangan haraplah! Kalau hang dapat gred A dalam SRP mai potong jari aku!!!" gertak cikgu Manoor dengan suara kuat seperti halilintar. Marah benar dia kerana sekali lagi aku gagal dalam subjek matematik, subjek yang diajarnya di kelas kami.

Satu kelas hening. Banyak mata pelajar yang tertumpu ke arahku. Aku cuma tunduk. Cabaran atau penghinaan yang diberikan oleh cikgu Manoor? 

Apa yang pasti aku sangat malu ketika itu! Rasa seperti nak terpa ke tingkap di tingkat tiga itu dan terjun. Biar berkecai kepala! Malu dengan kata-kata penghinaan cikgu Manoor.

Sebelum tinggalkan kelas cikgu Manoor sekali lagi merenung ke arahku sambil menunjukkan jari telunjuk kirinya, "Kalau kamu dapat gred A dalam SRP, potong jari cikgu!!!". Cuma sekali ini suara cikgu Manoor tak kuat seperti mula tadi. Bila suaranya normal dia berbahasa dengan muridnya "kamu" dan "cikgu". Bila dia marah pula "kamu" ditukarnya menjadi "hang", "cikgu" pula menjadi "aku".

Pagi itu aku tak pergi makan di kantin sekolah. Rasa malu dimarah cikgu Manoor dalam kelas dan cabarannya untuk memotong jari jika aku dapat A dalam SRP tak dapat aku terima. Bila seorang cikgu mempertaruhkan jarinya sendiri untuk dijadikann korban, itu maknanya dia sangat tak yakin dengan kemampuan anak muridnya.

Aku tau aku bukan murid pintar dalam kelas Tingkatan 3A. Tak pernah sekali pun dapat nombor 1 hingga 15 dalam 30 orang murid kelas kami. Selalu dapat nombor lebih dari 15 tapi tak pernah pula dapat nombor 30. Walaupun bukan murid pintar tapi setiap tahun dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 aku kekal dalam kelas A dari 7 kelas (A hingga G) di sekolah kami.

Di zaman tahun 1970an hingga 1980an peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran) memerlukan seseorang pelajar dapat Gred A untuk masuk ke Tingkatan 4. Kalau dapat gred C, confirm tak dapat masuk Tingkatan 4. Kalau dapat Gred B pula, jika nasib baik sebahagian kecil dapat masuk Tingkatan 4, nasib tak baik, majoritinya kandas ke Tingakatan Empat. Bagi yang kandas ke Tingkatan 4 perlu ulang semula di Tingkatan Tiga  sekolah swasta dengan bayaran yuran yang agak tinggi untuk ambil SRP sekali lagi. Jika tak ada duit untuk masuk Tingkatan Tiga sekolah swasta dan gagal ambil periksa ulangan SRP, terperap aje lah mereka kat rumah. Apa nak kerja pada usia baru 15-16 tahun?

Peperiksaan SRP ada beberapa bulan saja lagi ketika itu. Aku mula menyusun jadual belajar di rumah. Kawan-kawan ajak main guli, main kotak dan main wau pun aku enggan. Ketika itu cita-citaku cuma satu - nak dapatkan Gred A dalam SRP. Kata-kata penghinaan cikgu Manoor "Kalau hang dapat gred A dalam SRP mai potong jari aku!!!" sentiasa terngiang-ngiang dihati. Kata-kata penghinaan itu benar-benar jadi perangsang untukku belajar lebih bersungguh-sungguh.

Bila keputusan SRP keluar pada penghujung bulan Disember, aku menapak pergi ke sekolah dengan hati berdebar-debar. Dalam hati aku sangat tak yakin untuk dapat gred A dan B kerana tahun itu semua kertas sangat sukar untuk dijawab. Mesti dapat C...pasti!!

Ketika cikgu kelas menyerahkan slip keputusan SRP, tiba-tiba kepalaku rasa seperti nak pengsan!

Berkali-kali ku renung slip keputusan SRP. Rabun ke aku? Aku yang bukan cerdik sangat dalam kelas ini boleh dapat gred A pula?

Tahun itu adalah tahun yang paling malang bagi sekolah kami kerana dari hampir 200 murid yang ambil SRP cuma 20 orang lebih saja yang dapat gred A. Kebanyakan yang lain termasuk Ketua Kelas 3A (sekarang dia orang kuat politik bergelar Datuk) cuma dapat gred C. Maknanya mereka tak dapat masuk ke Tingkatan Empat.

Aku mengucapkan alhamdulillah, syukur sangat-sangat kepada Allah kerana dapat gred A. Aku terus pulang ke rumah dengan segera tanpa menunggu murid-murid lain yang sebahagiannya berpelukan sama sendiri kerana mendapat gred A atau sedang menangis di bawah pokok (termasuk Ketua Kelas) kerana mendapat gred B atau C.

Ayahku bukan main gembira anaknya mendapat gred A dalam SRP. Tentu dia tak percaya budak bengap macam aku dapat gred A sedangkan tahun itu tahun SRP paling sukar dalam sejarah. Yang paling membanggakannya kerana aku adalah orang pertama di kalangan jiran-jiran kami yang anaknya mendapat gred A. Petang itu ayah yang merupakan orang kuat kelab kedai kopi mesti akan menghebahkan kejayaanku kepada seluruh jiran sekampung!

Bila sekolah dibuka semula pada 2 Januari, aku masuk kelas dengan wajah riang. Kerana tahun itu keputusan SRP sangat teruk, cuma ada satu kelas Tingkatan Empat saja dibuka di sekolah kami, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang biasanya ada 3 atau 4 kelas Tingkatan Empat. Yang tak berjaya masuk Tingkatan Empat  hanya ada beeberapa pilihan - ulang semula belajar di Tingkatan Tiga di sekolah swasta atau tolong mak bapa buat bendang atau menoreh getah.

Ramai kawan-kawanku  terkejut kerana aku menjadi salah seorang pelajar Tingkatan Empat. Kebanyakannya seperti cikgu Manoor tak yakin aku dapat masuk Tingkatan Empat kerana gred yang paling sesuai untukku cuma gred C!!

Ketika pelajar-pelajar lain menunggu kedatangan cikgu kelas di hari pertama persekolahan ini, aku bergerak penuh semangat ke Bilik Guru. Mataku mencari-cari cikgu Manoor.

Tak susah untuk mencari cikgu Manoor dalam Bilik Guru. Dengan suaranya yang kuat, orang pekak pun boleh tau di mana dia berada.

"Eh..kamu mai sekolah buat apa?" kata cikgu Manoor bila melihat wajahku mendekati mejanya. Dalam hati agaknya tentu dia hairan bagaimana pula budak bengap dan bodoh yang tercicir Tingkatan Empat boleh berada di sekolah pada hari ini.

"Tentulah saya mai, cikgu...sebab saya dapat masuk Tingkatan Empat!" kataku tersenyum.

Terbeliak mata cikgu Manoor memandangku. Tentu dia tak percaya aku dapat masuk Tingkatan Empat!!

"Diringkaskan cerita, macam ni lah cikgu...sebenarnya saya mai ni nak tunaikan janji cikgu" kataku penuh yakin dengan suara agak kuat. Aku saja perkuatkan suara supaya cikgu-cikgu lain boleh dengar apa yang aku nak kata.

"Janji cikgu? Apa yang cikgu janji dengan kamu?" kata cikgu Manoor dengan wajah berkerut.

Tiba-tiba ku keluarkan pisau dari poket seluar dan meletakkannya di atas meja cikgu Manoor. Cikgu-cikgu lain yang berada di dalam Bilik Guru tiba-tiba jadi gempar. Mereka tentu ingat aku nak mengamuk!

"Cikgu tak ingat dengan janji cikgu? Cikgu tak ingat apa yang cikgu kata kat saya 5 bulan dulu? Cikgu tak ingat cikgu kata kalau saya dapat gred A cikgu nak potong jari cikgu. Cikgu tak ingat??" kataku dengan suara kuat.

Cikgu Manoor hanya memerhatikan pisau di depannya dengan wajah kosong. Sesekai dia merenung cikgu-cikgu lain dalam Bilik Guru yang sedang memerhatikan kami.

"Cikgu tak nak tunaikan janji cikgu? Cikgu takut potong jari cikgu??" kataku lagi bila tengok wajah cikgu Manoor yang kaku seperti batu.

"Cepatlah cikgu... nanti saya lewat masuk kelas pula. Tunaikan janji cikgu..." kataku sambil menunjuk-nunjuk pisau di depan cikgu Manoor.

Akhirnya selepas lama terdiam cikgu Manoor memegang pisau di atas meja. Dia memerhatikan cikgu-cikgu lain yang dah mula kelihatan panik. Kemudian merenung wajahku seperti meminta belas kasihan. Namun aku dengan wajah sangat kejam tidak berkata apa-apa.

Ketika jari kanan cikgu Manoor yang memegang pisau kelihatan hampir turun ke jari telunjuk kirinya aku menjerit, "Sudah cikgu...sudah... tak payahlah cikgu buat macam tu!!!"

Serentak dengan itu aku memeluk erat tubuh cikgu Manoor. Cikgu Manoor membalas pelukanku. Lama juga kami dalam keadaan itu. 

Bila pelukan dillepaskan, ku lihat air mata memenuhi kelopak mata cikgu Manoor. Dia tak henti-henti meminta maaf kepadaku. Ternampak juga beberapa guru wanita mengesat air mata mereka.

"Terima kasih cikgu kerana menghina saya" kataku separuh sebak, "Tanpa penghinaan itu tak mungkin saya berada di sekolah ini lagi. Tanpa kata-kata cikgu itu mungkin sekarang saya cuma bantu ayah saya motong getah. Terima kasih  cikgu, terima kasih cikgu...."

Selepas peristiwa itu hubungan aku dengan cikgu Manoor menjadi sangat rapat. Kalau sebelum ini aku menjadi murid yang tidak disukainya sekarang aku menjadi murid yang sentiasa ditegurnya walau di mana kami berjumpa. Walaupun cikgu Manoor tidak mengajar kelas Tingkatan Empat dan Lima tapi bila bersua dia akan memberiku semangat untuk terus belajar hingga ke universiti. Katanya dia sendiri cuma belajar setakat peringkat diploma pergurauan, dia akan bangga jika ada anak muridnya mendapat kelulusan melebihinya.

Berbekalkan semangat itu aku terus belajar bersungguh-sungguh hingga akhirnya dapat juga dalam kepayahan sebagai budak kampung masuk ke Universiti Malaya kemudiannya hingga ke peringkat ijazah dan mendapat 2nd Class Upper.

Selamat Hari Guru kepada cikgu Manoor dan semua warga pendidik dari JR. Kepada cikgu Manoor yang telah berpuluh tahun tidak ditemui harap cikgu masih sihat. Jasa cikgu tak mungkin dapat saya lupakan...

NOTA: Hari Guru disambut secara rasminya di Malaysia pada 16 Mei setiap tahun. Saja JR awalkan entri untuk sebuah kisah benar ini kerana esok dan lusa (Jumaat dan Sabtu) biasanya JR agak sibuk dan mungkin tidak dapat menulis entri....

16 comments:

  1. menitik air mata baca entry nie

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pernah terpikir dulu nak buat skrip drama untuk dihantar ke TV sempena Hari Guru, malangnya saya tak pandai tulis skrip....

      Delete
  2. Cikgu dulu ramai yang cengih-cengih. Tapi cengih depa pun, dalam hati kita tau, memang niat depa nak ajaq anak murid bagi jadi pandai. Lagipun, mak bapak dulu tak macam sesetengah mak bapak zaman sekarang ni yang mudah melenting bila dapat tau cikgu sound anak depa.

    ReplyDelete
  3. Sebak baca kisah benar JR ini..
    Saya dulu pun ambil SRP..
    saya pun kelas 3A2.. kelas A ni ambil mata pelajaran Perdagangan..
    Pada zaman saya tu siapa dapat gred A akan masuk kelas sains dari aggregate 20 kebawah. Alhamdulillah saya dpt Gred A tapi aggregate saya cuma 20 saja Dan Kalau saya hendak lanjutkan pelajaran dlm perakaunan ke pergi ke sekolah lain sbb sekolah saya tak ada, yg ada cuma dua ajer sains Dan sastera. jadi terpaksalah saya pilih sastera sbb mak abah tak mampu nak hantar sekolah lain yg Jauh dari rumah.
    Alhamdulillah akhirnya saya berjaya juga.
    Selamat hari guru buat semua guru saya ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
    2. Sekolah saya juga tak dapat wujudkan aliran sains tahun itu kerana pelajar yang dapat gred A sikit sangat...

      Delete
  4. Terbaik cerita JR ni.
    Berderau saya baca.
    Cikgu Maanor tu, mesti cikgu yg garang kan..
    Tahniah JR, sebab ada kesedaran masa tu.

    Cuma saya nak tanya, sistem SRP masa tu takde kira bilangan A ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sistem SRP zaman itu tak kira berapa subjek dapat A: 9A, 8A, 5A seperti sekarang. SRP zaman itu berdasarkan pencapaian keseluruhan yang dipecahkan mengikut gred: gred A, B dan C berdasarkan agreegate beberapa subjek utama yang diambil pelajar.

      Delete
  5. terbaik .....tq cikgu !!
    ai suka hari guru sbb boss dan ramai org kat opis ni tak de kat pejabat ...hooorey

    ReplyDelete
  6. Time bunda dulu pun tingkatan 3 SRP / LCE... tingkatan 5 SPM/MCE...bunda ambil LCE...mata pelajaran utama tak salah masa tu math, sains,BM dan BI...kalau salah satu mata pelajaran utama tu fail...maka fail lah semua...walau pun mata pelajaran yang lain cemerlang...itulah yg terjadi dgn bunda...hanya math saja yang bunda fail...so tak dapat masuk form 4...tapi bunda bernasib baik, bunda layak mengulang semula , retain ke sekolah kerajaan...

    Tapi pada zaman tu sekiranya mengulang semula kesekolah swasta/private school, memang dipandang rendahlah...berbeza zaman sekarang ni, sesiapa dapat belajar kesekolah menengah swasta kira bangga lah ...orang berkemampuan lah kiranya...

    ReplyDelete
  7. Ada org apabila dikutuk dan dicabar semakin membara semangat utk membuktikan yg sebaliknya.... tapi ada jugak yang terima bulat2 tanpa usaha utk berubah.

    ReplyDelete
  8. Mulanya saya agak dah, JR buat drama. Tapi baca hingga akhir, saya percaya ini satu pengalaman yang hebat...

    Kalau saya pun tak sanggup la pi jumpa cikgu bawa pisau....

    ReplyDelete
  9. memang boleh wat drama ni tak pun cerpen
    :-))

    ReplyDelete
  10. wow! mcm tak percaya ni real story.
    apapun, tahniah pada JR! Semangat & kecekalan tu yg hebat.

    ReplyDelete
  11. ada juga cikgu yg tegur saya mcm tu masa tkt 4 . alhamdulillah , saya dpt masuk u juga ...

    ReplyDelete
  12. Cikgu Sejati Harapan Negara......!!

    *bukan lagu Sejati yang Wings nyanyi*

    ReplyDelete

Tak kan baca ajer..? Komen la sikit....